Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syed Harun mudah dekati penduduk Nee Soon, didorong kerja masyarakat sejak remaja

Mantan NMP ingin sambung usaha AP GRC Nee Soon pertingkat mutu kehidupan penduduk
Apr 11, 2025 | 7:21 PM
Mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Syed Harun Alhabsyi (empat dari kanan), berhasrat menyambung usaha yang telah dijalankan Anggota Parlimen (AP) Nee Soon yang ada sekarang semasa lawatannya ke sebuah kedai kopi di Blok 747 Yishun Street 72 pada 11 April. Turut hadir dalam lawatan itu ialah Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam (dua dari kanan); Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (lima dari kanan); dan mantan pengarah Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Cik Goh Hanyan (tiga dari kanan).
Mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Syed Harun Alhabsyi (empat dari kanan), berhasrat menyambung usaha yang telah dijalankan Anggota Parlimen (AP) Nee Soon yang ada sekarang semasa lawatannya ke sebuah kedai kopi di Blok 747 Yishun Street 72 pada 11 April. Turut hadir dalam lawatan itu ialah Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam (dua dari kanan); Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (lima dari kanan); dan mantan pengarah Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Cik Goh Hanyan (tiga dari kanan). - Foto ST

Interaksi yang terjalin mesra antara Dr Syed Harun Alhabsyi dengan penduduk di kejiranan GRC Nee Soon dimudahkan oleh pengalamannya menyertai dan menyumbang pada kegiatan badan Melayu/Islam di Singapura.

Justeru, segalanya terasa tidak janggal dan semula jadi sahaja.

Inilah antara perkara yang dikongsi mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Syed Harun Alhabsyi, 39 tahun, kepada Berita Harian (BH) ketika ditemui selepas lawatan beliau ke Blok 747 Yishun Street 72 pada 11 April.

Dr Syed Harun, yang merupakan konsultan psikiatri dan pengarah perubatan di The Starfish Clinic of Psychiatry & Mental Wellness, terlibat dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan dan menggalas amanah sebagai Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).

Kerja sukarelanya di Yayasan Mendaki ketika beliau masih remaja, serta jawatan sebagai ahli majlis di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) selama tujuh tahun, antara 2016 dengan 2023, juga banyak membantu dalam mempersiapkan dirinya bagi kerjaya politik.

Apa yang diharapkan Dr Syed Harun ialah peluang menyambung usaha murni yang telah dijalankan Anggota Parlimen (AP) Nee Soon sekiranya diberi kepercayaan untuk berkhidmat.

“Sambutan mesra oleh penduduk di sini mencerminkan ikatan kukuh yang telah dibina oleh penyandang jawatan AP sebelum ini.

“Interaksi ramah saya setakat ini merupakan sesuatu yang datang secara semula jadi, saya akan teruskan menyumbang buat masyarakat di sini termasuk penduduk Melayu/Islam,” kata Dr Syed Harun.

Baru-baru ini, beliau juga melawat ke tapak sementara Masjid Darul Makmur di Blok 530 Yishun Ring Road, Masjid Ahmad Ibrahim di Jalan Ulu Seletar, dan meninjau kegiatan kariah di daerah Yishun.

Beliau berkata usaha meningkatkan mutu kehidupan masyarakat Melayu/ Islam seperti menggerakkan projek peningkatan Masjid Darul Makmur adalah antara inisiatif yang akan beliau perkembangkan lagi.

Namun begitu, beliau turut menekankan sumbangannya bukan terhad kepada satu kaum sahaja.

“Sumbangan saya tidak akan dihadkan kepada masyarakat Melayu/Islam sahaja, tetapi kepada seluruh masyarakat Singapura secara am,” tambahnya.

Semasa lawatan tersebut, Dr Syed Harun turut ditemani Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; serta mantan pengarah Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Cik Goh Hanyan.

Dr Faishal akui pengundurannya daripada GRC Nee Soon untuk bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights mungkin merisaukan penduduk Melayu/Islam di kejiranan Nee Soon.

Namun, beliau yakin Dr Syed Harun mempunyai keupayaan dan pengalaman untuk meneruskan segala inisiatif yang telah dibina.

Katanya, Dr Syed Harun mampu mengekalkan hubungan rapat dengan penduduk Melayu/Islam di Nee Soon dengan latar belakang beliau yang kukuh dalam perkhidmatan masyarakat.

Dr Syed Harun ialah mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) yang telah meletakkan jawatan di Parlimen pada 14 Februari.

GRC Nee Soon kini diterajui oleh Encik Shanmugam (Chong Pang); Dr Faishal (Nee Soon Central), Encik Louis Ng (Nee Soon East), Cik Carrie Tan (Nee Soon South), dan Encik Derrick Goh (Nee Soon Link).

Mereka berjaya mengekalkan kerusi Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Nee Soon dengan meraih 61.9 peratus undi semasa Pilihan Raya Umum (GE) 2020, menewaskan Parti Kemajuan Singapura (PSP).

Bagi GE akan datang, parti pembangkang Titik Merah Bersatu (RDU) telah melahirkan hasrat bertanding di GRC Nee Soon.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg