Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Darul Makmur ruang tabur bakti, timba ilmu

Nov 15, 2025 | 8:44 PM
Saridah Sapiei, Suhanah Ahmad
Sukarelawan Masjid Darul Makmur, Cik Saridah Sapiei (kiri) bersama pegawai agama masjid itu, Ustazah Suhanah Ahmad. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Apa yang bermula sebagai misi peribadi Cik Saridah Sapiei untuk memperkukuhkan rohani seakan melentur hasrat dan tujuan buat ibu empat anak berusia 65 tahun itu, tatkala beliau meniti usia senja.

Sukarelawan Masjid Darul Makmur itu berkongsi betapa sebahagian besar hayatnya atau lebih 30 tahun diperuntukkan untuk khidmat sebagai guru sekolah rendah sehinggalah terdetik keinginan untuk memperkukuhkan rohaninya apabila beliau menghampiri usia persaraan.

Sekitar 10 tahun lalu, beliau mula mendekatkan diri ke masjid dan menghadiri kelas agama, yang ada kalanya dikendalikan Ketua Unit Pembelajaran Islam Dakwah Masjid Darul Makmur, Ustazah Suhanah Ahmad.

Ketika ditemui Berita Minggu (BM) di Masjid Darul Makmur pada 15 November, Cik Saridah berkata:

“Saya bersara sebagai pendidik di sekolah rendah selepas berkhidmat selama 36 tahun. Sepanjang kerjaya, saya sibuk mengajar dan tidak dapat banyak terlibat sama dalam kegiatan masjid.

“Sebelum saya meninggalkan kerjaya itu, saya buat senarai matlamat untuk dikotakan kerana saya perlu lakukan sesuatu (setelah bersara) – salah satu matlamat ini adalah menabur bakti sebagai sukarelawan untuk saling melengkapi kelas-kelas agama yang saya hadiri.”

Berbekalkan matlamat dan semangat inilah beliau berkecimpung sebagai sukarelawan masjid tersebut pada 2016 dan sejak itu, Cik Saridah dapat merasakan kesan titik peluhnya terhadap anggota jemaah masjid mahupun masyarakat secara umum.

Cik Saridah dan Ustazah Suhanah merupakan antara dua individu yang menghadiri majlis penyelesaian kerja naik taraf Masjid Darul Makmur pada 15 November.

Majlis itu dihadiri tetamu terhormat, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Menyingkap pengalaman sejauh ini, Cik Saridah berkata banyak detik manis yang beliau raikan bersama anggota jemaah.

Namun, apa yang masih terpahat dalam sanubarinya ialah tindakan beliau memberikan pin kepada seorang anggota jemaah wanita kerana telekungnya berkibaran semasa menunaikan solat terawih.

“Walaupun ini satu tindakan yang nampak kecil, jemaah itu ingat dan menegur saya kerana bantuan saya itu,” ujarnya.

Dengan keriangan jelas terpancar pada wajah Cik Saridah, beliau teruja kerja-kerja naik taraf yang amat menyeluruh selama dua tahun sudah selesai, sekali gus tahap keselesaan lebih baik berada di masjid itu dapat dirasakan anggota jemaah di situ.

Kerja-kerja naik taraf masjid itu, yang menelan belanja $15 juta, meliputi perluasan kapasiti masjid daripada 3,000 kepada 4,000 individu pada satu-satu masa serta ruang solat wanita, yang kini ada kemudahan akses langsung ke tempat wuduk, tandas dan bilik penyusuan bayi.

Semua penambahbaikan ini, kata Cik Saridah, menyumbang kepada pengalaman lebih baik bagi jemaah.

Beliau, yang menetap di salah sebuah blok di sekitar kawasan masjid selama lebih kurang 40 tahun, berkata:

“Jika dahulu kaum wanita ada kalanya perlu beratur untuk menggunakan tandas, kini mereka mempunyai lebih banyak pilihan dengan adanya lebih banyak tandas wanita.

“Ini lebih penting kerana masjid ini dikunjungi ramai warga emas.”

Sehubungan itu, Ustazah Suhanah, 67 tahun, menggesa agar semangat kesukarelawanan – seperti yang ditonjolkan Cik Saridah, perlu diteruskan.

Ini lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi lebih muda agar tanggapan masjid hanya untuk golongan warga senja dapat dibasmi.

Beliau, yang telah menyumbang jasa kepada masjid itu selama 37 tahun, malah sebelum tertubuhnya Masjid Darul Makmur, berkata:

“Jika anda (golongan muda) ada pengalaman dan ilmu, datanglah ke masjid supaya masjid ini bukan sahaja untuk golongan warga emas semata-mata, tetapi untuk segenap lapisan usia, termasuk anak-anak muda.

“Anda pelapis kami untuk generasi akan datang.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg