Masjid Yusof Ishak telah menyediakan buku untuk masyarakat menzahirkan dan mencoret ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamha Puan Noor Aishah Mohammad Salim.
Buku yang tersedia di aras dua berdekatan dengan Pejabat Khidmat Pelanggan masjid itu akan disediakan untuk jemaah menulis ucapan mereka dari 22 hingga 24 April.
Pihak masjid juga akan mengadakan majlis tahlil untuknya pada 24 April selepas solat Maghrib.
Berkongsi kepada Berita Harian (BH), Pengerusi Eksekutif Masjid Yusof Ishak, Ustaz Mohammad Fairuz Shah, berkata buku tersebut diadakan untuk memperingati jasa dan usaha Allahyarhamha kepada masyarakat dan negara.
Menurutnya, Allahyarhamha sangat mesra dan dikenali jemaah masjid.
“Beliau kerap menghadiri majlis ilmu dan kegiatan kemasyarakatan di Masjid Yusof Ishak sewaktu beliau masih sihat dahulu.
“(Beliau juga) mesra dengan pegawai masjid dan ahli lembaga pentadbir masjid dengan mengundang mereka ke rumahnya untuk makan tengah hari,” kata Ustaz Fairuz.
Dalam satu kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 22 April, ia berkata Allahyarhamha Puan Noor Aishah telah menyokong pembangunan Masjid Yusof Ishak sejak perancangannya pada 2014 hingga perasmiannya pada 2017.
Antaranya, beliau telah membantu dalam usaha pengumpulan dana dan menyumbangkan tumbuhan dari tapak semaiannya sendiri untuk landskap masjid tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg