Sebagai seorang tokoh yang bukan sahaja memainkan peranan penting di sisi Presiden pertama Singapura, Allahyarhamha Puan Noor Aishah Mohammad Salim turut memberi sumbangan besar kepada masyarakat dengan caranya yang tersendiri, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Dalam ucapannya kepada media di pekarangan Masjid Ba’alwie pada pagi 22 April, sebelum pengebumian isteri Presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak itu, Encik Wong berkata bahawa Allahyarhamha telah menyahut cabaran dengan penuh kecekalan meskipun berada dalam perhatian umum pada usia yang muda, dan memberi impak yang berkekalan – baik sebagai Wanita Pertama Singapura mahupun berjuang bagi pelbagai tujuan kebajikan – ketika negara memberikan penghormatan terakhir kepadanya.
Allahyarhamha menghembuskan nafas terakhir di Hospital Besar Singapura (SGH) pada 4.28 pagi, 21 April. Beliau berusia 91 tahun dan meninggalkan tiga anak dan beberapa cucu.
Jenazah Allahyarhamha dibawa ke Masjid Ba’alwie untuk disembahyangkan selepas solat zuhur. Ia diimamkan pengerusi Masjid Ba’alwie, Imam Habib Hassan sendiri.
Pekarangan masjid dibanjiri jemaah dan tetamu yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamha.
Selepas memberi penghormatan terakhirnya kepada Allahyarhamha di Masjid Ba’alwie, Encik Wong berkata:
“Beliau telah menjadi tumpuan umum pada usia yang sangat muda, namun beliau menyahut cabaran tersebut dan memberikan sumbangan yang berkekalan sebagai isteri kepada Ketua Negara kita, Mantan Presiden Yusof Ishak.”
Menyifatkan Allahyarhamha sebagai “seorang tokoh kebajikan dengan caranya sendiri”, Encik Wong berkata Puan Noor Aishah memperjuangkan pelbagai sebab sosial dan menjadi penaung kepada banyak organisasi.
Beliau menambah bahawa ramai rakyat Singapura telah tersentuh dengan kehidupan Allahyarhamha – dan beliau sendiri tidak terkecuali.
Pernah bertemu dengan Allahyarhamha dalam beberapa acara awam, Encik Wong “sentiasa terkesan dengan keanggunan, kelembutan suara serta martabat” yang ditampilkan Allahyarhamha.
Encik Wong turut mengirim surat takziah kepada anak Allahyarhamha, Dr Imran Yusof Ishak dan keluarga, yang antara lain merakamkan penghargaan rasmi pemerintah atas jasa dan sumbangan Allahyarhamha sepanjang hayatnya.
“Allahyarhamha Puan Noor Aishah telah mengangkat martabat institusi Presiden dan memberikan sumbangan besar kepada Singapura. Bagi pihak pemerintah, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa dan legasi beliau.
“Doa dan ingatan kami bersama anda sekeluarga dalam saat yang sukar ini.”
Dalam catatan Facebooknya juga, pada hari yang sama, Encik Wong mengenang sumbangan Allahyarhamha menyifatkan beliau sebagai seorang yang sentiasa berada di sisi suaminya, Allahyarham Yusof Ishak dengan keanggunan dan kekuatan yang tenang, menyokong beliau sepanjang tahun-tahun penuh cabaran dalam pembinaan negara.
Malah, di luar lingkungan Istana, Allahyarhamha turut mendedikasikan dirinya kepada khidmat masyarakat menerusi organisasi seperti Palang Merah Singapura dan Persatuan Wanita Islam Singapura (PPIS), tambah Encik Wong yang tiba di Masjid Ba’alwaie sekitar 10.30 pagi.
Lebih 500 tetamu, termasuk beberapa pemimpin akar umbi dan masyarakat, hadir untuk memberikan penghormatan terakhir di Masjid Ba’alwie dan disolatkan.
Solat jenazah diadakan selepas solat zuhur, sebelum jenazah Allahyarhamha dibawa keluar dari masjid pada 1.45 petang dengan penuh istiadat menggunakan Pedati Meriam Upacara menuju ke Tanah Perkuburan Negara Kranji.
Bagi memberi laluan kepada perarakan jenazah, jalan masuk ke Lewis Road ditutup sementara.
Jenazah tiba di Tanah Perkuburan Negara Kranji pada 2.30 petang dan selamat dikebumikan bersebelahan pusara Allahyarham Presiden Encik Yusof Ishak pada 3.30 petang.
Sementara itu, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, menyifatkan pemergian Allahyarhamha sebagai “satu kehilangan besar”.
Semasa ditemui di Masjid Ba’alwie, beliau berkata:
“Saya mengenali beliau (Allahyarhamha) sejak kecil, ketika saya berusia tujuh tahun dan bermain di Istana sewaktu beliau menjadi isteri kepada Yang di-Pertuan Negara.”
Encik Lee turut berkongsi bahawa dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau terus berhubung dengan Allahyarhamha, termasuk ketika melancarkan buku Allahyarhamha pada 2017 serta semasa merasmikan Masjid Yusof Ishak.
“Beliau (Allahyarhamha) telah menjalani kehidupan yang penuh makna dan memberi sumbangan besar, khususnya dalam tahun-tahun awal kemerdekaan negara. Kita akan terus mengenang dan merindui beliau,” ujar Encik Lee yang akui beliau tahu akan kesihatan Allahyarhamha yang mula merosot sejak Mac.
Sumbangan Allahyarhamah turut dikenang Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang menyifatkan Allahyarhamah sebagai contoh teladan kepada wanita Melayu/Islam Singapura.
Berkongsi kepada media di Masjid Ba’alwie, Encik Masagos berkata:
“Banyak sekali sumbangan beliau sebagai seorang wanita yang muda. Beliau juga menjadi model bagi wanita Melayu Islam Singapura – menunjukkan bagaimana seorang wanita membawa diri sebagai Duta Singapura.”
Antara pemimpin Singapura lain yang hadir di Masjid Ba’alwie juga termasuk Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Maliki Osman; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Yaacob Ibrahim, mantan Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim, Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean; mantan Presiden, Puan Halimah; Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri dan Kesihatan), Encik Amrin Amin dan juga mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), yang juga Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin), Encik Zainul Abidin Rasheed.
Ucapan takziah turut dizahirkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di catatan Facebooknya pada 22 April.
Mengenang Allahyarhamha sebagai tokoh wanita yang menjadi tunjang kekuatan Singapura dalam tahun-tahun pembentukan identiti nasional, Encik Anwar berkata: “Puan Noor Aishah tidak sekadar pendamping kepada seorang tokoh dan pemimpin negara, tetapi merupakan ikon kesetiaan dan kemuliaan budi yang menjadi teladan kepada wanita di rantau ini.
“Kesederhanaan beliau pula menjambatani hubungan antara pemimpin dengan rakyat terbanyak.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg