Topik diikuti
Pergi ke BHkuMaybank penyampai rasmi Anugerah Jauhari BH 2026
Maybank penyampai rasmi Anugerah Jauhari BH 2026
Maybank penyampai rasmi Anugerah Jauhari BH 2026
Berita Harian (BH) memperkukuh kerjasamanya dengan Maybank setelah institusi kewangan itu dilantik sebagai penyampai rasmi Anugerah Jauhari BH 2026.
Dengan kerjasama itu, satu kategori anugerah baharu diperkenal iaitu Anugerah Perkasa BH–Maybank, yang memberi pengiktirafan kepada individu yang berjaya mengatasi cabaran sosioekonomi untuk mencapai kejayaan.
Penyertaan Maybank sebagai penyampai rasmi menandakan satu lagi perkembangan penting bagi anugerah tahunan berprestij itu, yang telah diadakan sejak 1998, bagi mengiktiraf individu dan pertubuhan Melayu/Islam di Singapura atas pencapaian cemerlang dan sumbangan mereka kepada masyarakat.
Sementara itu, BH turut membuka pencalonan bagi tiga kategori anugerah untuk edisi ini, iaitu Anugerah Jauhari BH, Anugerah Jauhari Harapan BH dan kategori baharu, Anugerah Perkasa BH–Maybank.
Berbeza daripada kategori sedia ada yang memberi penekanan kepada pencapaian dan kepimpinan, Anugerah Perkasa BH-Maybank diperkenal bagi meraikan dua rakyat Singapura yang membuktikan ketabahan luar biasa dalam meningkatkan taraf kehidupan mereka menerusi pendidikan, kerjaya, perniagaan atau ketahanan diri.
Diilhamkan daripada perkataan ‘perkasa’, anugerah itu memberi tumpuan kepada kisah-kisah mobiliti sosial, iaitu mereka yang berjaya mengatasi kekangan hidup hasil usaha gigih dan keazaman tinggi.
Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata BH berbesar hati menyambut penyertaan Maybank sebagai penyampai rasmi Anugerah Jauhari.
“Kami amat gembira mengalu-alukan Maybank sebagai penyampai rasmi Anugerah Jauhari BH.
Pada 2026 ini, kami turut memperkenalkan Anugerah Perkasa BH–Maybank bagi mengiktiraf rakyat Singapura yang menunjukkan keazaman dan kegigihan luar biasa untuk memperbaik kehidupan mereka melalui usaha keras.
“Mereka telah membuktikan bahawa mobiliti sosial boleh dicapai menerusi kecemerlangan akademik, kejayaan dalam perniagaan serta bidang-bidang lain yang memberi impak, sekali gus menjadi inspirasi kepada masyarakat,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negara Maybank Singapura, Encik Alvin Lee, pula berkata lebih daripada sekadar mengiktiraf pencapaian, kerjasama bank tersebut dengan BH meraikan individu yang mempamerkan daya tahan, kepimpinan dan komitmen untuk memartabatkan diri dan sekali gus masyarakat mereka.
“Anugerah Perkasa BH–Maybank menyediakan platform penting untuk menonjolkan kisah-kisah yang memberi inspirasi ini, sekali gus memperkukuh pegangan bahawa kejayaan tidak hanya diukur melalui pencapaian peribadi, tetapi juga melalui impak positif yang kita cipta untuk orang lain.
“Kami bangga dapat bekerjasama dengan BH dalam menganjurkan Anugerah Perkasa BH–Maybank.
“Ini mencerminkan komitmen bersama kami untuk mengiktiraf rakyat Singapura yang perjalanan hidup mereka memberi inspirasi kepada orang lain untuk mengejar kecemerlangan bermakna dan mencipta impak positif dalam masyarakat,” ujar beliau.
Semua pencalonan akan dinilai oleh panel yang dipengerusikan bersama Encik Nazry dan Duta Bukan Pemastautin Singapura ke Kuwait, Encik Zainul Abidin Rasheed.
Ketua Perbankan Islam Maybank Singapura, Encik Sazzali Sabandi, turut menyertai panel penilai edisi kali ini, bersama beberapa tokoh daripada sektor akademik dan masyarakat iaitu Dr Intan Azura Mokhtar, Dr Norshahril Saat dan Encik Fazlur Rahman Kamsani.
Pemenang akan dipilih berdasarkan pencapaian, impak kepada masyarakat serta keupayaan mereka menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
Orang ramai boleh mengemukakan pencalonan mulai 1 hingga 18 Ogos bagi ketiga-tiga kategori anugerah menerusi pautan https://bh.sg/bhaoy26 atau dengan mengimbas kod QR yang disediakan.
Sepanjang sejarahnya, Anugerah Jauhari BH telah mengiktiraf ramai tokoh terkemuka, termasuk Presiden Halimah Yacob; mantan tokoh perbankan, Encik Bahren Shaari; dan pemain golf profesional Mardan Mamat.