Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anugerah Jauhari cermin kemajuan, aspirasi masyarakat

Nov 16, 2025 | 5:30 AM
Lidah pengarang
Lidah pengarang - BH

Anugerah Jauhari Berita Harian (BH) yang diadakan setiap tahun bukan sekadar upacara meraikan kecemerlangan individu semata-mata, tetapi cerminan aspirasi, daya bingkas, dan kemajuan kolektif masyarakat Melayu/Islam.

Tahun ini, Brigedier-Jeneral (BG) Fairoz Hassan penerima Anugerah Jauhari, manakala pengasas bersama kolektif sastera belia Meja Conteng, Cik Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria penerima Anugerah Jauhari Harapan.

Kisah mereka, walaupun berbeza latar belakang dan bidang, membawa mesej yang serupa: kejayaan dibina atas ketekunan, integriti, dan semangat yang tidak pernah luntur untuk berbakti.

Sebagai pegawai Melayu/Islam kedua yang mencapai pangkat Brigedier-Jeneral, BG Fairoz menunjukkan kecemerlangan dalam jasa baktinya kepada negara.

Misi cemerlangnya hampir tiga dekad dalam pertahanan negara, termasuk penglibatannya dalam misi kemanusiaan, mencerminkan nilai kepimpinan yang berteraskan semangat berpasukan.

Dalam ucapannya di majlis penyampaian anugerah itu, beliau berkongsi pengajaran daripada pengalamannya di SAF: “...secara keseorangan kita mungkin tidak sempurna, tetapi sebagai satu pasukan, kita boleh mencapai kesempurnaan.

“Kita perlu sedar kekuatan dan kelemahan sendiri, namun yang lebih penting adalah membina pasukan yang mampu menutup kelemahan dan memperkukuh kekuatan kita.”

Cik Nur Aisyah Lyana, penerima Anugerah Jauhari Harapan, melambangkan semangat penulisan dan daya tahan generasi muda dalam mengatasi rintangan peribadi.

Kisah beliau sangat mengagumkan: Beliau bukan sahaja mencapai keputusan akademik yang cemerlang, malah berjaya menguruskan tanggungjawab keluarga ketika ibunya, Allahyarhamha Cik Noor Hasnah Adam, seorang penulis dan bekas guru, jatuh sakit.

Namun, kejayaan terbesarnya adalah sumbangannya dalam pembinaan masyarakat. Beliau telah menubuhkan Meja Conteng, sebuah kolektif untuk penulis-penulis muda Melayu.

Inisiatif ini bukan sekadar platform untuk berkarya, tetapi juga wadah untuk suara belia didengari dan diperkukuhkan.

Seperti yang dikatakan Cik Aisyah sendiri: “..saya menubuhkan Meja Conteng, sebuah kolektif untuk penulis muda Melayu, bagi menghargai peninggalan (ibu saya).

“Meja Conteng berhasrat menyinari isu-isu kemasyarakatan dan hal ehwal dunia melalui karya kreatif.”

Cik Aisyah membuktikan bahawa khidmat sosial dan pemeliharaan budaya boleh dilakukan oleh generasi muda dengan cara yang inovatif.

Apabila telusuri kembali perjalanan kedua-dua Jauhari ini, kita melihat dua tunjang utama yang mesti diserap oleh masyarakat Melayu/Islam: kepimpinan (BG Fairoz) dan kreativiti yang bersifat bakti (Cik Nur Aisyah).

Daripada BG Fairoz, kita pelajari kepentingan ketekunan, disiplin, dan matlamat jangka panjang dalam bidang kerjaya yang mencabar.

Daripada Cik Nur Aisyah, kita saksikan kepentingan daya bingkas dan bakti sosial yang berakar umbi daripada pengalaman peribadi yang sukar.

Kedua-duanya melambangkan hasrat masyarakat untuk maju bersama, dan sentiasa menyumbang semula kepada masyarakat.

Moga kisah-kisah kejayaan ini akan menyemarakkan semangat masyarakat, dan moga insan ini juga menjadi suri teladan kepada generasi muda.

Mereka membuktikan bahawa latar belakang atau cabaran yang dihadapi tidak menghalang kejayaan.

Sebaliknya, ia dijadikan sebagai batu loncatan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi, sama ada anda memimpin pasukan di barisan hadapan negara, atau menggunakan penulisan untuk membentuk masa depan sastera dan pemikiran masyarakat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg