Mualaf hargai sokongan keluarga erat hubungan melalui dua sambutan
Mualaf hargai sokongan keluarga erat hubungan melalui dua sambutan
Anggap sokongan mentua penting dalam capai keseimbangan antara tradisi Tahun Baru Cina dengan tumpuan kepada ibadah puasa Ramadan
Setiap kali musim perayaan menjelang, Cik Ayra Lek, sering merenung perubahan haluan hidupnya sejak memeluk Islam pada 2021.
Bagi mualaf yang dilahirkan dalam keluarga Cina beragama Katolik itu, perayaan itu kian menjadi lambang perubahan antara budaya Cina dengan kepercayaannya.
Malah, gabungan antara dua budaya itu akan terserlah semasa jamuan makan malam istimewa sempena Tahun Baru Cina yang jatuh hampir dengan Ramadan 2026, bersama suaminya, Encik Muhammad Amirul Zulkifli, 30 tahun, serta dua anak kecil mereka.
Detik itu akan lebih bermakna dengan kehadiran kedua-dua ibu bapa mentuanya, Cik Rahmah Dolgani dan Encik Zulkifli Abdullah.
Dalam pada itu, Cik Lek, 28 tahun, yang mendirikan rumah tangga pada 2022, menyifatkan pasangan tersebut sebagai tunjang sokongan yang membantunya menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai seorang mualaf.
Meskipun berlainan budaya, mereka turut serta dengan menyediakan hidangan Cina yang telah disesuaikan agar halal, serta memberi angpau sebagai tanda menghargai warisan asal Cik Lek.
Sokongan sebegini amat penting bagi mualaf seperti Cik Lek yang mendambakan keseimbangan antara tradisi Tahun Baru Cina dengan tumpuan kepada ibadah puasa.
Pada masa sama, seorang bapa saudaranya, yang beliau hanya kenalkan sebagai Encik ‘Tan, satu-satunya anggota keluarga kandungnya yang masih dihubungi, telah menyesuaikan jadual kunjungan ke rumah Cik Lek di kawasan Admiralty, sebagai tanda hormat terhadap perjalanan keagamaannya.
Keharmonian antara kedua-dua pihak keluarga itu terhasil daripada sikap saling memahami dan usaha berterusan untuk menghormati perbezaan budaya serta kepercayaan masing-masing, kata ibu kepada dua orang anak, Muhammad Aqil Afzal Muhammad Amirul @ Chen He Jun, tiga tahun; dan Amelia Daneen Muhammad Amirul @ Chen Yi Lin, yang berusia setahun itu.
“Saya bersyukur kerana mereka cuba memahami budaya saya, dan pada masa yang sama, saya juga belajar menghargai tradisi Islam,” katanya.
Mengimbau fasa ketika beliau mengumumkan hasratnya untuk memeluk Islam beberapa tahun lalu, Cik Lek akur keputusan itu bukan sahaja mengubah pegangan hidupnya, malah mencetuskan pertikaian keluarga sehingga beliau menjauhkan diri dari rumah asal dan memulakan hidup baru dengan sokongan keluarga mentua.
“Saya tinggalkan rumah dengan hampir tiada apa-apa, hanya beg kerja dan diri sendiri.
“Waktu itu memang susah kerana saya perlu bermula daripada sifar, tetapi saya percaya ini pilihan terbaik untuk diri sendiri,” ujarnya, seorang jurutera farmaseutikal.
Namun, layanan terbuka daripada ibu bapa mentuanya telah membantu beliau melalui fasa tersebut ketika sedang menyesuaikan diri sebagai mualaf sambil membina keluarga baru.
“Mereka bukan sahaja menerima saya seadanya, malah cuba memahami latar belakang budaya saya.
“Dari situlah saya rasa seperti masih ada keluarga yang menyokong perjalanan hidup saya,” tambahnya.
Mengulas tentang kepentingan keharmonian kaum serta menghargai sikap terbuka keluarganya dalam menerima perbezaan budaya itu, Encik Amirul berkata:
“Kami mungkin datang daripada budaya berbeza, tetapi nilai hormat kepada orang tua, menjaga tradisi dan mengutamakan keluarga sebenarnya sama.
“Bila kami cuba mengenali budaya Cinanya dengan lebih dekat, ia menjadi satu peluang untuk kami bina kasih sayang yang lebih mendalam antara keluarga ini,” kata Encik Amirul.

