Masyarakat Islam di Singapura bakal menyambut Hari Raya Haji pada 7 Jun, setelah Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nazir, mengisytiharkan awal Zulhijah 1446 jatuh pada 29 Mei.
Dalam pengisytiharan tersebut pada 27 Mei, Dr Nazirudin berkata:
“Mengikut kiraan hisab, berdasarkan kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota Mabims (Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Agama Brunei-Indonesia-Malaysia-Singapura), anak bulan tidak kelihatan di atas ufuk Singapura setelah terbenam matahari petang tadi (27 Mei).”
“Ini bererti esok (28 Mei) adalah hari pencukup Zulkaedah 30 hari.”
Justeru itu, awal Zulhijah 1446 jatuh pada 29 Mei.
Dengan ketibaan Zulhijah dan Aidiladha, beliau berkata:
“Marilah kita mengambil kesempatan pada hari-hari mulia dalam bulan suci ini untuk memperbanyakkan amal ibadah dan mendoakan keselamatan para jemaah haji serta semua yang ditindas, khususnya di Gaza, Palestin.”
Sementara itu, Brunei dan Malaysia juga bakal menyambut Hari Raya Haji pada 7 Jun, manakala Muhammadiyah Indonesia mengumumkan sambutan Aidiladha pada 6 Jun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg