Masyarakat Islam Singapura akan mula berpuasa pada 2 Mac, setelah Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir mengisytiharkan awal Ramadan 1446 Hijrah jatuh pada hari tersebut.
Dalam pengisytiharan awal Ramadan pada 28 Februari, Dr Nazirudin berkata:
“Mengikut kiraan hisab yang berpandukan kriteria imkanur rukyah yang dipersetujui oleh negara-negara anggota Mabims (Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Agama Brunei-Indonesia-Malaysia-Singapura), anak bulan Ramadan tidak dapat dilihat di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi (28 Februari, bersamaan 29 Syaaban).
“Ini bererti esok (1 Mac) adalah hari pencukup Syaaban sebanyak 30 hari.”
Tarikh awal Ramadan di Singapura ditentukan mengikut kiraan hisab, berdasarkan kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota Mabims.
Dalam pada itu, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengumumkan kadar zakat fitrah bagi Ramadan 2025 ialah $5 seorang bagi kadar biasa dan $7.90 seorang bagi kadar lebih tinggi.
Kadar zakat fitrah ditentukan oleh Jawatankuasa Fitrah Muis dengan menggunakan harga purata 2.3 kilogram bagi dua gred beras, yang merupakan makanan utama masyarakat Islam di Singapura.
Pada 2005, Muis memperkenalkan kadar zakat fitrah dua peringkat untuk mempermudah urusan pembayaran zakat bagi mereka yang ingin membayar lebih daripada kadar biasa berdasarkan pemakanan gred beras lebih tinggi.
Orang ramai boleh memilih kadar sesuai dengan pemakanan harian mereka. Zakat fitrah perlu dibayar dalam Ramadan dan paling lewat pada pagi Hari Raya sebelum solat Aidilfitri.
Bagaimanapun, masyarakat Islam dinasihati supaya membuat pembayaran awal.
Muslim Singapura digalak menunaikan kewajipan zakat secara digital melalui kaedah dalam talian menerusi portal zakat di laman web, www.zakat.sg.
Mereka juga boleh membayar zakat fitrah melalui salah satu cara berikut:
1) Mesin AXS di seluruh negara
2) Bayaran dalam talian menerusi laman atau aplikasi DBS/POSB
3) Bayaran dalam talian menerusi laman CIMB Clicks.
4) Secara tunai atau di kios layan diri di masjid-masjid tertentu.
5) Menerusi cek yang dihantar secara peribadi atau melalui pos ke Muis di 273 Braddell Road, Singapura 579702
Sementara itu, Brunei dan Malaysia juga mula berpuasa pada 2 Mac, manakala Muhammadiyah Indonesia mengumumkan mulanya berpuasa pada 1 Mac.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg