Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tapak letak kereta di Arab Street diguna bagi bina kampus baru SUSS, SCIS

Nov 4, 2025 | 9:00 PM
Singapura, Arab Street, MOE, SUSS, SCIS
Pada Mac, Kementerian Pendidikan (MOE) mengumumkan pembinaan kampus baru Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) di tapak lama Rochor Centre dan kawasan sekitarnya, yang dijangka siap menjelang pertengahan 2030-an. - Foto fail

Sebuah tapak tanah seluas kira-kira 80,000 kaki persegi di kawasan Bugis, yang dibatasi Ophir Road, Victoria Street dan Arab Street, ditetapkan untuk pembangunan semula dua kampus pendidikan baru.

Tapak tersebut mempunyai nisbah plot kasar 4.2 dan kini menempatkan sebuah tempat letak kereta.

Sebelum ini, tapak itu ditetapkan untuk kegunaan komersial dan kediaman di bawah Pelan Induk 2019, lapor The Business Times (BT).

Usul penukaran kegunaan tapak tersebut kepada institusi pendidikan, yang dikemukakan pada 17 Oktober, akan memberi laluan bagi pembangunan kampus baru Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan Kampus Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).

“Lokasi kampus SUSS dan SCIS berada di tengah bandar, berhampiran pusat pertukaran MRT Bugis. Ini memudahkan para pelajar mengakses lokasi tersebut,” kata Pengarah Kanan Analitik Data Huttons Asia, Encik Lee Sze Teck.

Meskipun kediaman baru sedang diperkenalkan untuk menjadikan kawasan pusat bandar itu lebih meriah untuk didiami, bekerja dan bersantai, aspek pendidikan di sana boleh dipertingkat untuk menyokong aspek kediaman dan runcit, tambah Encik Lee.

Ketua Pegawai Eksekutif ERA Singapore, Encik Eugene Lim, turut berkata langkah menukar kegunaan tapak itu “menyokong usaha merancakkan semula pusat bandar dengan membawa kumpulan pelajar dan golongan muda”.

“Kehadiran pelajar dijangka akan meningkatkan aliran pengunjung ke kedai-kedai berhampiran, sekali gus memberi manfaat kepada perniagaan tempatan.

“Peniaga kemudian boleh menggunakan peluang tersebut dengan menawarkan produk dan perkhidmatan lebih menarik dan inovatif bagi memenuhi keperluan pelajar,” tambah beliau.

Encik Lim memberi contoh transformasi serupa di Fortune Centre, yang menjadi lebih rancak menyusuli pembukaan Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) dan Maktab Seni Lasalle berhampiran.

Penukaran kegunaan tapak itu selaras dengan inisiatif lain seperti Insentif Pembangunan Strategik dan Skim Insentif Kawasan Pusat Bandar (CBD), yang bertujuan merancakkan transformasi persekitaran bandar, tambah Encik Lim.

“Menempatkan institusi pengajian tinggi berhampiran hab perniagaan membantu menggalak kerjasama industri-akademia yang lebih kukuh serta usahasama antara syarikat dengan universiti.”

Pada Mac, Kementerian Pendidikan (MOE) mengumumkan pembinaan kampus baru SUSS di tapak lama Rochor Centre dan kawasan sekitarnya, yang dijangka siap menjelang pertengahan 2030-an.

Tapak lama Rochor Centre, yang dibatasi Rochor Road dan Ophir Road, terletak berhampiran tempat meletak kereta di Arab Street.

Menurut MOE, lokasi yang terletak di pusat bandar itu akan memudahkan akses bagi pelajar sepenuh masa yang ingin mengikuti program ijazah serta golongan dewasa yang bekerja dan ingin melanjutkan pelajaran.

SUSS menawarkan program sesuai untuk pelbagai golongan pelajar, termasuk golongan dewasa yang bekerja, dengan banyak kelas diadakan selepas waktu bekerja.

Pada masa ini, universiti tersebut menawarkan lebih 100 program sarjana muda dan possiswazah merangkumi lima sekolah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg