Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mufti seru masyarakat Islam renung kepentingan Nuzul Quran, lailatulqadar

Mar 26, 2025 | 5:33 PM
Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, menekankan kepentingan sambutan Nuzul Quran pada 17 Mac di Masjid Al-Muttaqin dan acara Malam Lailatulqadar di Masjid Sultan pada 21 Mac.
Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, menekankan kepentingan sambutan Nuzul Quran pada 17 Mac di Masjid Al-Muttaqin dan acara Malam Lailatulqadar di Masjid Sultan pada 21 Mac. - Foto SALAMSG

Dalam suasana Ramadan penuh keberkatan, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, berkongsi tentang kepentingan meraikan sambutan Nuzul Quran dan Malam Lailatulqadar dalam dua acara berbeza yang berlangsung pada 17 dan 21 Mac.

Acara itu merupakan sebahagian daripada inisiatif SalamSG 2025 yang bertujuan memperkasa hubungan masyarakat Islam dengan ajaran Al-Quran.

Pada acara sambutan Nuzul Quran di Masjid Al-Muttaqin pada 17 Mac, SalamSG, dalam kenyataannya, menjelaskan Dr Nazirudin menitikberatkan peranan Al-Quran bukan sekadar sebagai kitab bacaan, bahkan sebagai panduan hidup yang mampu menyentuh hati dan memperkaya kehidupan.

“Al-Quran bukan sekadar sebuah kitab untuk dibaca, tetapi merupakan satu panduan hidup atau kalam Allah swt yang mengubah hati dan memperkayakan kehidupan kita.”

“Dengan itu, ia mengajar kita nilai ihsan yang sebenar, iaitu dengan menerapkan kasih sayang, kebijaksanaan, dan rahmat dalam setiap interaksi harian kita.

“Apabila kita memahami dan menghayati prinsip-prinsip ini, kita secara semula jadi menjadi sumber rahmat bagi mereka di sekeliling kita,” ujar beliau.

Masyarakat Islam turut berkumpul di Masjid Sultan pada 21 Mac bagi memperingati Malam Lailatulqadar dan 10 malam terakhir Ramadan.

Acara yang bermula selepas solat isyak itu diteruskan dengan solat tarawih dan tazkirah bertema, Malam-Malam Terakhir Ramadan.

Dalam ucapannya, Dr Nazirudin menekankan kepentingan istiqamah dalam amalan ibadah.

“Lailatulqadar mengajar kita bahawa keunggulan dalam iman bukan terletak pada ibadah sesaat, tetapi dalam keazaman dan keteguhan sepanjang hayat,” katanya.

Sesi tersebut turut dilanjutkan dengan satu perbincangan yang diselaraskan personaliti media sosial, Sujimy Mohamad, selaku moderator.

Perbincangan itu menyentuh soalan orang awam mengenai keistimewaan malam-malam terakhir Ramadan.

Kemuncak acara adalah solat qiamullail yang diadakan pada pagi Sabtu sebagai peluang untuk mempertingkat ibadah.

Masyarakat Islam boleh menantikan program lebih bermanfaat di bawah inisiatif QuranSG yang menggalakkan pemerkasaan kerohanian melalui program tadabbur Al-Quran, kata SalamSG.

SalamSG 2025 yang digerakkan oleh masjid-masjid dan disokong Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), diusahakan bagi menyemarakkan semula program masjid, serta menggalakkan masyarakat Muslim agar menghidupkan kehidupan beragama, sama ada dalam talian atau secara fizikal di masjid.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg