Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muis agih zakat kepada pelajar ITE, poly dari keluarga susah

Mar 26, 2025 | 2:48 PM
Pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan politeknik daripada keluarga berpendapatan rendah akan terus menerima bantuan wang tunai sebagai sebahagian daripada pengagihan zakat Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada Ramadan.
Pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan politeknik daripada keluarga berpendapatan rendah akan terus menerima bantuan wang tunai sebagai sebahagian daripada pengagihan zakat Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada Ramadan. - Foto fail

Pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan politeknik daripada keluarga berpendapatan rendah akan menerima antara $150 dengan $2,100 seorang, sebagai sebahagian pengagihan zakat Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada Ramadan.

Jumlah yang akan diterima mereka bergantung saiz isi rumah. Mereka juga akan terus menerima bantuan wang tunai, menurut Muis dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 26 Mac.

Pengagihan habuan itu dijalankan pada 14 Mac.

“Muis akan terus meluaskan pengagihan zakat kepada pelajar ITE dan politeknik daripada latar belakang berpendapatan rendah dan mencabar. Melalui asnaf riqab, sokongan ini bertujuan menggalak pelajar Islam dalam menuntut ilmu dan memberi bantuan tambahan bagi perbelanjaan persekolahan mereka sepanjang Ramadan dan Syawal,” kata Muis.

Di Singapura, riqab merujuk kepada individu memerlukan bantuan bagi meneruskan pendidikan mereka. Kebiasaannya, golongan ini terdiri daripada anak penerima zakat.

Bantuan khas ini adalah tambahan kepada bantuan kewangan zakat bulanan (FA), dan bertujuan berkongsi kegembiraan perayaan dengan umat Islam yang miskin dan memerlukan di Singapura, kata Muis.

Pengagihan wang tunai Ramadan tambahan ini akan diberikan kepada penerima zakat FA bulanan, penerima Bantuan Jangka Panjang ComCare, isi rumah terpilih daripada Pusat Khidmat Keluarga, dan penghuni rumah kebajikan terpilih.

Zakat adalah rukun Islam ketiga dan berfungsi mengukuhkan masyarakat dengan menyalurkan sumbangan daripada pembayar zakat kepada kumpulan penerima (asnaf) tertentu, yang merangkumi golongan fakir dan miskin.

Selain zakat, Muis berkata kakitangannya akan menyertai kempen Ramadan Muis, SalamSG Gives, dengan menyampaikan sendiri hamper biskut Raya kepada penerima memerlukan.

Inisiatif itu, kata Muis, akan bermanfaat bagi lebih 100 penerima zakat terpilih, lebih 300 penerima Bantuan Jangka Panjang ComCare, dan penghuni lebih 40 rumah dan institusi kebajikan.

Selain itu, Muis akan menyediakan juadah berbuka puasa kepada rumah kebajikan terpilih bagi menyemarakkan lagi semangat perkongsian. Lebih $700,000 dana fidyah juga akan disalurkan kepada masjid yang menyelenggarakan bantuan sosial untuk aktiviti Ramadan, katanya.

“Aktiviti, program dan inisiatif ini dijayakan melalui sumbangan dermawan masyarakat Muis melalui kutipan zakat dan fidyah tahunan.

“Kami memohon sokongan berterusan bagi memastikan zakat dapat mengukuhkan masyarakat kita dan menyebarkan rahmat kepada semua,” kata Muis

Sejak 22 Februari, Masjid Al-Khair, Masjid Abdul Aleem Siddique dan Masjid Al-Muttaqin menganjurkan acara SalamSG bagi meraikan semangat memberi dan kesukarelawanan masyarakat.

Inisiatif itu memberi manfaat kepada 480 isi rumah, bertambah 30 peratus berbanding pada 2024 dalam membantu keluarga membuat persediaan fizikal dan rohani untuk Ramadan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg