Topik diikuti
Pergi ke BHkuIbu bersyukur saksi akikah di Masjid Omar Salmah
Ibu bersyukur saksi akikah di Masjid Omar Salmah
Selepas laksana akikah untuk tiga anak di luar negara, suri rumah kini hayati pengertian Aidiladha di S’pura
Ibu bersyukur saksi akikah di Masjid Omar Salmah
Kesyukuran dilafazkan Cik Siti Hajar Osman sekeluarga sebaik sahaja kambing yang dibawa masuk ke pekarangan Masjid Omar Salmah tiba pada pagi 26 Mei.
Bagi suri rumah itu, ia menandakan terlaksananya hasrat keluarganya untuk menyaksikan sendiri pelaksanaan akikah di Singapura buat kali pertama.
Selepas bertahun-tahun melaksanakan akikah bagi tiga anak lelakinya yang kini berusia antara dua dengan empat tahun di luar negara, Cik Siti akhirnya berpeluang mengikuti sendiri proses penyembelihan akikah untuk anak bongsunya yang berusia enam bulan secara langsung di negara ini tahun ini (2026).
Ibu empat anak berusia 29 tahun itu merupakan antara 11 orang yang hadir di masjid tersebut bagi menyaksikan sendiri pelaksanaan akikah keluarga masing-masing sempena sambutan Hari Raya Haji 2026.
Sebanyak 17 kambing dan empat ekor domba (kibas) yang tiba dari Australia dan dikendalikan firma, Aliyah Rizq Holdings (ARH), kemudian ditempatkan di masjid itu bagi tujuan akikah pada pagi itu.
Secara keseluruhan, sekitar 1,100 haiwan korban dan akikah tiba di Singapura sekitar 1 pagi 26 Mei di Pusat Pengendalian Kargo Udara Changi (CAC) sempena Hari Raya Aidiladha 2026.
Maka, penyembelihan pertama yang dijalankan tepat pada 11 pagi di masjid tersebut sekali gus menandakan bermulanya pelaksanaan ibadah korban dan akikah di serata Singapura bagi sambutan Hari Raya Haji 2026.
Selain Masjid Omar Salmah, masjid lain yang turut menyertai ibadah sunah itu terdiri dari Masjid Al-Istighfar, Masjid Tentera Diraja dan Masjid Jamae Chulia.
Encik Alireza Mazouchian, 33 tahun, merupakan antara lebih 100 sukarelawan yang tampil membantu menjayakan pelaksanaan ibadah tersebut di Masjid Omar Salmah.
Sebahagian sukarelawan terlibat dalam pelbagai tugas, termasuk mengendalikan urusan pendaftaran, penyediaan daging serta membantu proses penyembelihan.
“Misi kami sebenarnya mudah sahaja, iaitu untuk sama-sama menyokong pelaksanaan ibadah ini supaya semuanya dapat dijalankan dengan lancar dan sempurna.
“Apa yang kami utamakan adalah memastikan keseluruhan operasi berjalan lancar dari awal hingga akhir, dan yang paling penting semuanya dilaksanakan mengikut syarat halal serta peraturan yang ditetapkan,” ujar beliau.
Daging daripada ibadah korban yang dijalankan pada 26 Mei akan dimasak menjadi hidangan beriani untuk dinikmati para sukarelawan pada Hari Raya Aidiladha (27 Mei).
Perkara itu disambut baik oleh ayah Cik Siti Hajar, Encik Osman Raza, 71 tahun, yang juga menyifatkan pengalaman menyaksikan sendiri proses penyembelihan itu sebagai mengimbau kembali kenangan lamanya ketika kecil.
“Selama ini, kebanyakannya kami lakukan di luar negara kerana kos di Singapura lebih tinggi.
“Tetapi sejak dahulu lagi, saya memang teringin hendak saksikan sendiri proses penyembelihan di sini.
“Lebih meriah kalau kita sendiri saksikan ibadah ini,” kata beliau, seorang pemandu teksi.
Bagi Cik Siti Hajar, tempahan akikah sebelum ini, lazimnya dilakukan di Malaysia atau Indonesia kerana kosnya lebih rendah.
Beliau berkata pelaksanaan akikah secara langsung di Singapura memberi pengalaman lebih bermakna kerana seluruh ahli keluarga dapat menyaksikan sendiri keseluruhan proses tersebut.
Beliau berkata pelaksanaan akikah secara langsung di Singapura memberi pengalaman lebih bermakna kerana seluruh ahli keluarga dapat menyaksikan sendiri keseluruhan proses tersebut.
“Kalau buat di Singapura, satu bahagian boleh mencecah lebih $700.
“Tetapi alhamdulillah, kali ini kami diberi rezeki untuk melaksanakannya di sini,” kata beliau.
“Kalau ada kemampuan, saya rasa ramai orang Singapura mahu lakukan korban di negara sendiri kerana ia lebih dekat dengan masyarakat dan suasananya juga lebih terasa,” tambah beliau.
Menurut istilah bahasa, akikah merujuk kepada rambut yang tumbuh di kepala bayi ketika dilahirkan.
Dari sudut hukum syarak pula, akikah ialah penyembelihan haiwan tertentu bagi anak yang baru dilahirkan, di samping amalan mencukur rambut serta pemberian nama kepada bayi tersebut.
Berbeza dengan ibadah korban yang hanya dilaksanakan dari 10 hingga 13 Zulhijah setiap tahun, akikah boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai, meskipun ia sunat dilaksanakan pada hari ketujuh selepas kelahiran bayi.
“Meskipun anak saya masih kecil, saya berharap dengan keberkatan ibadah akikah ini, dia akan membesar menjadi insan yang soleh serta dapat memberi manfaat kepada masyarakat,” kata Cik Siti Hajar.
