Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muis: 76% pemohon S’pura disahkan sihat tunai haji, 10% pilih tangguh rancangan

Sekitar 1% ambil keputusan batalkan rancangan haji mereka; 13% belum beri respons
Nov 25, 2025 | 3:32 PM
Sehingga 21 November, sekitar 76 peratus warga Singapura yang telah memohon untuk menunaikan haji telah mengisytiharkan kepada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bahawa mereka disahkan sihat dari segi perubatan untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu.
Sehingga 21 November, sekitar 76 peratus warga Singapura yang telah memohon untuk menunaikan haji telah mengisytiharkan kepada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bahawa mereka disahkan sihat dari segi perubatan untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu. - Foto fail

Sekitar 76 peratus warga Singapura yang telah memohon untuk menunaikan ibadah haji telah mengisytiharkan kepada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sehingga 21 November lalu bahawa mereka disahkan sihat dari segi perubatan untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu setelah menerima Surat Hasrat (LOI) mereka.

Baki 10 peratus pemohon telah memilih untuk menangguh ibadah haji mereka, manakala 1 peratus telah mengambil keputusan untuk membatalkan rancangan haji mereka, kata jurucakap Muis kepada pertanyaan Berita Harian (BH).

Sementara itu, lagi 13 peratus pemohon pula belum memberi respons untuk mengesahkan hasrat menunaikan haji atau tidak.

Mulai musim haji bagi 2026, individu yang ingin menunaikan haji perlu mendapatkan sijil kesihatan dari doktor yang mengesahkan bahawa mereka bebas daripada penyakit kronik – langkah baru yang dilaksanakan menyusuli penetapan kriteria terkini yang diumumkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Secara keseluruhannya, Muis telah mengeluarkan LOI kepada sekitar 2,000 pemohon melalui laman ‘MyHajSG’ mulai 31 Oktober.

Individu seterusnya perlu mendapatkan sijil kesihatan sebelum membuat keputusan sama ada mahu menerima, menangguh atau membatalkan hasrat haji mereka, selewat-lewatnya pada 21 November.

“Muis akan mengambil tindakan lanjut bagi pemohon berikut: menghubungi mereka yang telah membatalkan hasrat berhubung proses bayaran balik; mendekati jumlah 13 peratus pemohon yang belum memberi respons untuk mengesahkan hasrat mereka menunaikan haji; dan mengeluarkan Surat Tawaran kepada pemohon yang berjaya mulai 1 Disember 2025,” kata jurucakap Muis.

Jurucakap itu turut menjelaskan bahawa terdapat pelbagai faktor di sebalik keputusan individu menangguh atau membatalkan hasrat menunaikan ibadah haji selain masalah kesihatan.

Ini seperti perubahan dalam keadaan peribadi, pertimbangan masa, kekangan kewangan dan sebab-sebab peribadi lain.

Mulai musim haji 2026, semua jemaah haji dari Singapura perlu mendapatkan sijil kesihatan dari doktor yang mengesahkan bahawa mereka bebas daripada penyakit kronik – seperti penyakit buah pinggang dan masalah jantung kronik – sebelum menunaikan haji.

Ini menyusuli peraturan baru yang diumumkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, di mana semua bakal jemaah mesti disahkan tidak mengalami penyakit kronik, tidak terdiri daripada wanita hamil dalam trimester terakhir, dan tidak berkerusi roda.

Mereka yang menghidap penyakit seperti kencing manis, darah tinggi atau kolesterol tinggi masih layak menunaikan ibadah haji, selagi mereka dapat menguruskan keadaan mereka dan memperoleh sijil kesihatan itu.

Dalam sidang media pada 24 Oktober, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, telah menjelaskan bahawa sijil kesihatan itu mandatori bagi kesemua pemohon di seluruh dunia.

Ini dilakukan dengan tujuan untuk melindungi keselamatan dan kesejahteraan semua yang menunaikan haji, yang merupakan ibadah yang memerlukan daya fizikal.

Jawatankuasa Fatwa juga telah mengeluarkan fatwa terkini pada hari yang sama, di mana individu yang tidak diberikan visa haji disebabkan masalah kesihatan dibenarkan menangguhkan ibadah haji mereka sehingga sembuh.

Mereka yang tidak berkemungkinan sembuh daripada penyakit boleh mewakilkan orang lain untuk menunaikan haji bagi pihak mereka atau badal haji, tetapi mesti dilaksanakan mengikut peraturan haji yang ditetapkan pihak berkuasa.

Namun, jika badal haji tersebut tidak dapat dilaksanakan walaupun setelah berusaha sedaya upaya, kewajipan haji bagi individu tersebut gugur, selaras dengan prinsip mengelak kemudaratan dan kesukaran dalam Islam.

Senarai ejen pelancongan atau ejen penjualan (GSA) yang dilantik Muis serta pakej haji bagi musim haji 2026 – dijangka berlangsung pada Mei 2026 – akan diumumkan seminggu sebelum 1 Disember.

Singapura telah diperuntukkan kuota rasmi 900 jemaah bagi musim haji 2026, sama seperti tahun-tahun sebelum ini.

Bagaimanapun, BH sebelum ini telah melaporkan bahawa Dr Faishal telah mengemukakan permintaan tambahan bagi kuota haji negara ini semasa lawatannya ke Arab Saudi baru-baru ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg