Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengagihkan sebanyak $4.3 juta secara keseluruhan kepada lebih 6,000 isi rumah berpendapatan rendah bagi membantu mereka dalam perbelanjaan hujung tahun di bawah inisiatif bayaran bantuan Pengagihan Akhir Tahun khas.
Ia termasuk peruntukan berjumlah $1.3 juta bagi membantu sekitar 8,600 kanak-kanak berusia 18 tahun dan ke bawah di bawah asnaf Reqab – setiap kanak-kanak akan menerima sekitar $150, kata Muis dalam satu kenyataan pada 22 Disember.
Jumlah keseluruhan itu setara dengan jumlah tertinggi yang diagihkan Muis pada 2024 sejak inisiatif tersebut diperkenalkan pada 2012.
Badan itu menambah setiap isi rumah yang layak akan turut menerima agihan zakat tambahan sebanyak $600, di samping bantuan kewangan sebanyak $300 yang diterima secara bulanan.
Oleh demikian, keluarga lima beranak misalnya – ibu bapa dan tiga orang anak – menerima agihan zakat keseluruhan berjumlah $1,350 pada Disember.
Muis berkata bayaran bantuan Pengagihan Akhir Tahun dan Reqab akan diagihkan antara 12 Disember dengan hujung Disember secara tunai melalui kaedah pembayaran Giro.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menggesa agar penerima agihan memanfaatkan sokongan sedia ada.
Dalam satu catatan Facebook pada 22 Disember, beliau berkata lebih daripada sekadar rukun Islam, zakat menerapkan “nilai keprihatinan, belas ihsan serta tanggungjawab bersama” terhadap sekalian insan.
Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), berkata: “Bantuan akhir tahun ini dapat meringankan tekanan kewangan keluarga.
“Untuk keluarga yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, bantuan ini dapat membantu mereka membuat persediaan bagi tahun persekolahan yang akan datang, agar anak-anak kita memperoleh permulaan yang kukuh.
“Pelaburan dalam pendidikan ini bukan sahaja menyokong keluarga hari ini, malah turut memperkukuh asas masyarakat kita dengan membina daya tahan untuk masa hadapan.”
Bantuan hujung tahun ini bertujuan membantu isi rumah berpendapatan rendah menguruskan perbelanjaan akhir tahun seperti bil terkumpul, bayaran tertunggak dan pinjaman.
Awal dari itu pada Mac, Muis telah menyalurkan $3.08 juta kepada 8,200 penerima bantuan, termasuk 1,350 pelajar institusi pengajian tinggi dari keluarga berpendapatan rendah, sebagai agihan khas sempena Ramadan 2025.
Peruntukan itu juga bantu menangani masalah ketidakcukupan makanan dalam kalangan keluarga yang kurang berkemampuan menerusi sokongan fidyah.
Pada 2024, sebanyak $1.28 juta telah diperuntukkan bagi Reqab dan memanfaatkan sekitar 8,500 kanak-kanak.
Tahun itu menyaksikan setiap anak di bawah asnaf Reqab menerima kadar standard $150, naik daripada $70 hingga $100 bagi setiap anak sebelum ini.
Reqab merupakan komponen penting dalam program bantuan kewangan zakat Muis bagi bantu meringankan beban kewangan perbelanjaan sekolah untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Sokongan tersebut meliputi perbelanjaan bagi keperluan seperti seragam, buku dan bekalan lain yang diperlukan, demi memastikan anak-anak dilengkapi dengan baik bagi permulaan yang kukuh dalam tahun akademik baru mereka.
Pada 2023, Muis mengagihkan sebanyak $3.7 juta di bawah inisiatif bayaran bantuan Pengagihan Akhir Tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg