Pengerusi Bersama SalamSG Korban 2025, Encik Muhammad Fahrur Razi Hamid, berkata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah melakukan pelbagai penyesuaian berdasarkan maklum balas masyarakat sebelum memutuskan melaksanakan model dwipilihan korban, iaitu pelaksanaan ibadah korban di dalam dan luar negara.
Perubahan ini menurutnya, merupakan satu usaha bagi memenuhi keperluan umat Islam tempatan yang semakin beragam dari segi pilihan dan kemampuan, sambil mengekalkan kesucian serta semangat ibadah korban itu sendiri.
Sejak pandemik Covid-19 melanda, sektor ibadah korban di Singapura telah melalui pelbagai perubahan ketara.
“Keseimbangan yang dilihat hari ini adalah hasil penilaian dan pertimbangan beberapa faktor utama seperti kos, logistik, ruang penyembelihan serta sifat ihsan kepada haiwan.
“Apa yang penting juga ialah jaminan daripada Pejabat Mufti bahawa ganjaran ibadah korban adalah setara sama, baik dilakukan di dalam mahupun di luar Singapura,” ujar Encik Muhammad Fahrur Razi.
Sebelum 2020, ibadah korban dilaksanakan secara langsung di masjid setempat dan diselaraskan oleh Jawatankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura (JKMS).
Namun, apabila pandemik melanda, korban bertukar pendekatan dan operasi penyembelihan dilakukan dan diselenggara sepenuhnya di rumah penyembelihan bertauliah di Australia dari 2020 hingga 2022.
Pada 2023, model dwipilihan diperkenal – korban tempatan mula dilaksanakan semula di beberapa masjid yang memenuhi garis panduan keselamatan yang disyorkan pihak berkuasa, manakala majoriti tempahan masih dilaksanakan di luar negara atas pertimbangan kos, logistik dan kemudahan.
Meskipun kembali dilaksanakan secara langsung oleh sekumpulan masjid terpilih dan dijalankan di bawah penyelarasan ketat, operasi di masjid-masjid itu kini dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak operator swasta – bukan lagi pihak masjid.
Ini merupakan satu perubahan ketara dengan pihak masjid kini hanya menawarkan tempat penyembelihan sahaja.
Pada 2025 enam masjid mendapat kebenaran untuk menjalankan korban di kawasan masjid.
Model korban dipertingkat dan menyeluruh
Bagi majoriti penduduk yang menempah ibadah korban melalui SalamSG, pihaknya menerima purata lebih 4,500 tempahan setiap tahun menerusi lebih 50 masjid yang mengambil bahagian, menjadikannya program korban terbesar di Singapura.
Pada 2025, sebanyak 53 masjid menyertai daya usaha itu.
Satu kelebihan utama melakukan korban melalui SalamSG, umat Islam di sini bukan saja dapat menunaikan ibadah, malah hasil korban dapat disalurkan kepada masjid dalam senarai SalamSG dan juga keluarga yang memerlukan di bawah naungan masjid tersebut serta penerima zakat.
Istimewanya kali ini, terdapat pilihan agar daging korban boleh turut dikongsi bersama masyarakat luar yang terjejas dengan konflik di Gaza.
Bagi memastikan pelbagai pilihan disediakan untuk sohibul korban, atau peserta korban, SalamSG telah memperkenalkan tiga haiwan ternakan untuk korban – kambing biri-biri, anak kambing biri-biri dan lembu.
Ia ditawarkan sejak 2024 menyusuli maklum balas orang ramai yang inginkan lebih banyak pilihan.
Program yang dipercayai
Seorang peserta setia SalamSG, Encik Mohamad Ismail, 84 tahun, menyatakan bahawa beliau menaruh kepercayaan tinggi ibadah korban yang dilaksanakan bersama masjid-masjid melalui SalamSG ini akan dilakukan dengan baik, kemas dan teratur serta mengikut syariat Islam.
“Atas kepercayaan ini, saya terus menyokong masjid melalui SalamSG dan melakukan korban di luar negara sejak Covid-19.
“Saya juga berasa usaha membantu umat Islam di Gaza, pada 2025 ini lebih bermakna kerana dapat membantu umat Islam yang memerlukan.
“Saya amat menggalak daya usaha ikhlas seperti ini,” ujar Encik Mohamad.
SEKILAS
Sejauh ini lebih 50 peratus kuota haiwan korban telah ditempah dan masyarakat Islam digalak supaya membuat tempahan segera agar tidak kecewa.
Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian di www.ourmasjid.sg/korban atau dengan mengunjungi salah satu daripada 53 masjid yang menyertai program SalamSG Korban 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg