Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rombongan pertama jemaah haji S’pura berangkat ke tanah suci

May 22, 2025 | 7:44 PM
kadir maideen, rombongan haji, singapura, 2025
Ketua Delegasi Haji Singapura 2025, Encik Kadir Maideen (tengah), menghantar rombongan pertama jemaah haji Singapura yang berangkat ke Jeddah pada 22 Mei. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Dr Albakri Ahmad (tiga dari kiri), di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi. - Foto BH oleh KHALID BABA

Seramai 43 anggota jemaah haji Singapura berangkat ke Arab Saudi pada 22 Mei, diiringi tiga pegawai dan diuruskan oleh Halijah Travel, salah satu firma ejen penjualan (GSA) pakej haji yang dilantik.

Rombongan pertama itu pada awalnya dijadual berlepas dengan penerbangan Scoot pada 4.05 petang menuju ke Jeddah, namun penerbangan tersebut ditangguhkan dan berlepas pada 6 petang.

Mereka akan meneruskan perjalanan ke Makkah sebaik tiba di Jeddah.

Antara yang hadir termasuk anggota keluarga dan rakan-rakan anggota jemaah, selain Ketua Delegasi Haji Singapura 2025, Encik Kadir Maideen dan Timbalan Ketua Eksekutif, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Dr Albakri Ahmad, yang turut berada di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi bagi menghantar rombongan jemaah tersebut.

Antara anggota jemaah yang berangkat ialah Cik Yus Darlynna Md Yusof, 18 tahun, yang akan menunaikan ibadah haji bersama ibu bapanya, Cik Rozita Selamat, 61 tahun dan Encik Md Yusuf Hassan, 63 tahun.

Meskipun kebanyakan anggota jemaah lain lebih berusia, Cik Yus Darlynna merupakan yang termuda dalam kumpulan tersebut.

Semasa ditemui Berita Harian (BH), pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) itu berkata: “Saya bersyukur dengan peluang ini, tetapi dalam masa yang sama, saya juga berasa gementar kerana saya masih muda.

“Haji satu perjalanan yang mencabar dan menuntut fizikal dan emosi kuat. Namun insya-Allah saya akan kuatkan semangat untuk menunaikannya bersama kededua orang tua saya.”

Anak bongsu dua beradik itu tidak dapat menyembunyikan debaran yang dirasainya, dengan jari-jemarinya menggeletar sepanjang diwawancara wartawan.

Meskipun kelas masih berjalan, Cik Yus Darlynna, yang sedang mengikuti jurusan pendidikan am secara privet di ITE, berkata ibadah yang akan dilaluinya itu tidak terlalu mengganggu jadual pembelajarannya.

“Saya perlu berusaha lebih untuk mengejar pelajaran yang tertinggal bila pulang nanti,” ujarnya.

Dia turut berkongsi bahawa ibu bapanya telah mendaftarkan nama beliau sekitar 12 tahun lalu.

Ini bukan lawatan pertamanya ke tanah suci. Sebelum ini beliau sudah dua kali menunaikan umrah.

Untuk persiapan, dia bersenam setiap hari agar kekal cergas dan sihat bersama orang tuanya.

Bapanya, Encik Yusuf berkongsi bahawa mereka sekeluarga mendaftar haji pada 2013 dan menunggu lebih sedekad untuk peluang tersebut.

“Alhamdulillah, hasrat kami untuk menunaikan rukun Islam kelima akhirnya tercapai,” katanya.

Beliau menekankan kepentingan membuat persediaan fizikal dan mental, mengikut panduan yang disediakan oleh agensi pelancongan mereka dan mengekalkan rutin yang sihat melalui berjalan kaki dan bersenam.

Rombongan kedua jemaah haji kali ini dijadual berangkat pada 24 Mei, manakala rombongan terakhir pula akan bertolak pada 2 Jun.

Rombongan terbesar seramai sekitar 280 anggota jemaah, akan berangkat pada 29 Mei melalui penerbangan Saudi Airlines, kata jurucakap Muis yang ditemui.

Terdiri daripada lebih 170 anggota jemaah, rombongan tersebut berdaftar di bawah Shahidah Travel & Tours Pte Ltd, Hamidah Travel & Tours Pte Ltd, Thoha Travels & Tours Pte Ltd, Sha Travel & Tours Pte Ltd dan Azza Travel & Tours.

Kumpulan pertama jemaah haji Singapura dijangka pulang ke tanah air pada 17 Jun.

Antara anggota jemaah lain yang turut berangkat ialah pasangan suami isteri, Cik Marhamah Mohd Sidik, 47 tahun, dan Encik Redzuan Abdullah, 55 tahun.

Pasangan suami isteri, Encik Redzuan Abdullah (kiri) dan Cik Marhamah Mohd Sidik (dua dari kiri) telah mendaftar untuk menunaikan haji sejak Oktober 2013 dan hanya menerima tawaran pada November 2024. Bersama mereka pada hari berangkat ialah Ketua Delegasi Haji Singapura 2025, Encik Kadir Maideen (kanan).
Pasangan suami isteri, Encik Redzuan Abdullah (kiri) dan Cik Marhamah Mohd Sidik (dua dari kiri) telah mendaftar untuk menunaikan haji sejak Oktober 2013 dan hanya menerima tawaran pada November 2024. Bersama mereka pada hari berangkat ialah Ketua Delegasi Haji Singapura 2025, Encik Kadir Maideen (kanan). - Foto BH oleh KHALID BABA

Suri rumah itu berkata: “Memang tidak sangka dapat tahun ini (2025). Saya rasa sangat gembira, hanya air mata sahaja yang dapat gambarkan perasaan itu.”

Pasangan itu mendaftar bersama pada Oktober 2013 dan menerima tawaran untuk menunaikan haji pada November 2024.

Menggambarkan pengalaman setakat ini berlaku dengan pantas, Encik Redzuan kini berusaha mempersiapkan diri sebaik mungkin.

“Kami anggap peluang ini sebagai satu peluang sekali seumur hidup, jadi kami cuba perhatikan apa yang perlu disiapkan.

“Setahu kami, ibadah haji memang mencabar dari segi cuaca dan fizikal. Tapi insya-Allah, kami akan dapat harungi segala cabaran. Kami hanya ikut perancangan-Nya,” ujar pustakawan itu.

Encik Redzuan Abdullah (kiri) dan isterinya, Cik Marhamah Mohd Sidik, mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga yang menghantar mereka di Terminal 1, Lapangan Terbang Changi, pada 22 Mei.
Encik Redzuan Abdullah (kiri) dan isterinya, Cik Marhamah Mohd Sidik, mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga yang menghantar mereka di Terminal 1, Lapangan Terbang Changi, pada 22 Mei. - Foto BH oleh HIDAYAT RAFII
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg