Masyarakat Melayu/Islam Singapura telah kehilangan penaung dan penyokong kuat bagi banyak pertubuhan khidmat sosial yang tidak putus-putus berusaha menaiktarafkan masyarakat.
Sumbangan bererti Allahyarhamha Puan Noor Aishah Mohammad Salim kepada masyarakat, khususnya dalam menyokong golongan kurang upaya dan memperjuangkan hak wanita, telah mewujudkan kesan mendalam kepada kehidupan masyarakat Muslim di Singapura serta seisi negara sekali gus.
Demikian jelas Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam satu kenyataannya pada 22 April menyusuli pemergian balu Presiden Singapura pertama, Allahyarham Yusof Ishak, pada 4.28 pagi, 22 April.
Allahyarhamha Puan Noor Aishah, 91 tahun, meninggal dunia kerana radang paru-paru dan jangkitan, dan telah dirawat di hospital selama lebih sebulan sejak 6 Mac lalu.
“Kami rasa amat sedih dengan pemergian isteri Allahyarham Presiden Yusof Ishak.
“Puan Noor Aishah berkhidmat dengan kelembutan dan menyokong Allahyarham Presiden Yusof Ishak dalam semua acara rasmi beliau.
“Beliau adalah penyokong kuat inisiatif dan pertubuhan yang menyumbang pada keperluan segmen masyarakat tertentu, termasuk Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Persatuan Kanak-Kanak dan Persatuan Orang Pekak Singapura,” jelas Muis.
Apabila rancangan membina Masjid Yusof Ishak diumumkan pada 2014, Puan Noor Aishah juga menghulur sokongan bagi setiap langkah pembinaannya hingga siap terbina masjid berkenaan - dari detik usaha pengumpulan dana dan mendekati masyarakat, hinggalah mendermakan pepohonan daripada tanaman semaian peribadinya bagi menambah baik ciri landskap di Masjid Yusof Ishak.
“Sejak pembukaan masjid itu pada 2017, Puan Noor Aishah adalah tokoh ulung di banyak acara penting di Masjid Yusof Ishak.
“Kehadirannya sering dialu-alukan jemaah yang mengingati Puan Noor Aishah atas sokongan tidak putus-putusnya buat masyarakat.
“Muis ingin menyampaikan salam takziah kepada keluarga Puan Noor Aishah di atas kehilangan mereka.
“Moga Allah swt melimpahkan rahmat-Nya yang terbaik atas semua budi baiknya
dan sumbangan kepada masyarakat dan negara,” tambah Muis.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg