Topik diikuti
Pergi ke BHkuMUIS tubuh unit khusus tumpu kepada wanita Islam, keluarga
Rangkaian asatizah turut dilancar; perkukuh kerjasama antara pendidik di masjid, madrasah dengan institusi agama lain
MUIS tubuh unit khusus tumpu kepada wanita Islam, keluarga
Satu unit khusus yang memberi tumpuan kepada isu agama berkaitan wanita Islam dan keluarga telah ditubuhkan di bawah Pejabat Mufti bagi menyelaras penyelidikan, usaha mendampingi masyarakat serta kerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan.
Dinamakan Unit Ehwal Wanita, unit tersebut diselia Timbalan Pengarah Dasar dan Pembangunan Ugama (Fatwa), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Ustazah Raihanah Halid, merangkumi empat pegawai.
Unit itu akan menjalankan penyelidikan berasaskan perundangan Islam, meneliti semula panduan agama sedia ada, serta bekerjasama dengan pertubuhan Islam dan rakan kongsi lain untuk mengkaji isu semasa berkaitan wanita dan keluarga.
Selain itu, satu rangkaian asatizah wanita bagi memperkukuh kerjasama antara pendidik agama wanita daripada masjid, madrasah dengan institusi agama lain juga telah dilancarkan.
Kedua-dua inisiatif tersebut diumumkan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, semasa Seminar Wanita dan Keluarga dalam Islam yang diadakan di hotel Crowne Plaza Changi Airport, yang terletak di Lapangan Terbang Changi, pada 15 Oktober.
Dianjurkan Pejabat Mufti dengan sokongan penyelidikan dan kandungan daripada PPIS menerusi Jabatan Penyelidikan dan Penglibatannya (RED), seminar itu menghimpunkan sekitar 50 pemimpin masyarakat, rakan kongsi masyarakat sivil dan penggubal dasar bagi membincangkan isu-isu semasa yang menjejas wanita Islam dan keluarga.
Antara mereka yang hadir termasuk Presiden PPIS, Profesor Madya Razwana Begum; Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed; dan Pengarah Urusan, Crescent Law Chambers LLC, Encik Ahmad Nizam Abbas.
Semasa satu sesi perbincangan yang diadakan semasa seminar tersebut, ia antara lain menyentuh kepentingan memastikan usaha memperkukuh peranan wanita dalam keluarga tidak secara tidak sengaja mengetepikan keperluan lelaki untuk turut menerima bimbingan.
Semasa berucap, Dr Nazirudin berkata kedua-dua inisiatif itu mencerminkan usaha MUIS untuk memperkukuh sumbangan wanita dalam perbincangan dan penggubalan dasar berkaitan hal ehwal agama, khususnya isu yang menjejas wanita dan keluarga.
Beliau memberi contoh perwakilan wanita dalam kepimpinan agama, khususnya peluasan Jawatankuasa Fatwa daripada lima kepada lapan anggota pada 2024, dengan wanita membentuk tiga daripada lapan anggota tersebut.
“Statistik ini menunjukkan bahawa kita perlu mengambil serius peranan dan sumbangan wanita dalam penggubalan dasar berkaitan sektor agama dan isu-isu keagamaan.
“Justeru, berdasarkan perkembangan ini, saya amat berbesar hati kerana Pejabat Mufti baru-baru ini telah menubuhkan unit tersebut.
“Melalui unit ini, matlamat kami juga adalah untuk menggabungkan hasil penyelidikan dan sumber Pejabat Mufti dengan kepakaran pekerja sosial, Pegawai Pembangunan Keluarga (FDO) serta pelbagai pertubuhan masyarakat seperti PPIS dan rakan-rakan yang terlibat dalam seminar hari ini,” ujar Dr Nazirudin.
Berkongsi kepada media semasa seminar tersebut, Ustazah Raihanah berkata unit tersebut merasmikan usaha yang sebelum ini dilaksanakan secara berasingan oleh pegawai-pegawai di unit berlainan dalam Pejabat Mufti.
“Unit tersebut ditubuhkan sebagai sebahagian daripada unit dasar di dalam Pejabat Mufti.
“Ia merupakan terusan kepada kerja yang sudah lama dilakukan oleh pegawai individu yang berasingan.
“Dengan adanya unit sedemikian, pegawai di dalamnya boleh memberi lebih tumpuan kepada tugas-tugas yang akan dilaksanakan oleh unit itu,” kongsi beliau.
Mengulas lanjut, Ustazah Raihanah berkata:
“Antara tugas yang akan dilaksanakan oleh unit ini ialah melaksanakan kajian berpandukan hukum dan analisis data.
“Ini dapat memastikan bahawa sebarang panduan agama yang diberi Pejabat Mufti berpandukan konteks dan realiti kehidupan masyarakat khususnya wanita dan keluarga di Singapura.”
Menerangkan tentang pelancaran rangkaian asatizah wanita yang dikenali sebagai Ustazaat Network (Rangkaian Ustazaat), Dr Nazirudin berharap rangkaian tersebut dapat menghubungkan asatizah dalam satu jaringan lebih kukuh.
Menyifatkan mereka sebagai nadi kepada pembelajaran Islam dan sokongan kerohanian di negara ini, beliau berkata:
“Sejak sekian lama, ramai dalam kalangan asatizah wanita kita bekerja secara bersendirian di bilik darjah masing-masing.
“Mereka melaksanakan usaha yang hebat dengan cara mereka tersendiri.
“Kami berharap keadaan ini akan berubah dengan menghubungkan mereka semua ke dalam satu masyarakat yang padu; satu ruang di mana mereka dapat menghubungkan aspek bimbingan kerohanian di peringkat akar umbi dengan pemikiran di peringkat dasar,” jelas Dr Nazirudin.
“Dengan cara ini, kita akan memperoleh pandangan yang amat berharga, yang mampu memimpin serta membimbing masyarakat kita ke arah kemajuan,” tambah beliau.
Ketika ditemui media pada seminar itu, Ustazah Nurhannah Irwan, berkata beliau menyambut baik penubuhan rangkaian itu kerana ia membolehkan asatizah mendapatkan sokongan dengan merujuk kepada rakan-rakan asatizah yang lain apabila berdepan persoalan agama yang pelbagai.
“Seorang ustazah sering menjadi tempat rujukan pertama bagi orang ramai dan soalan yang ditanya kepada kami mempunyai jawapan yang sangat luas.
“Jadi hakikatnya, tiada satu ustazah yang pakar dalam semua perkara.
“Jadi, dengan adanya rangkaian ini, kita tahu ada rakan-rakan yang boleh dirujuk dan membantu kami dalam mengendalikan soalan-soalan ini,” kongsi beliau, yang juga seorang pengurus pembangunan dasar global di sebuah syarikat teknologi.
“
“Melalui unit ini, matlamat kami juga adalah untuk menggabungkan hasil penyelidikan dan sumber Pejabat Mufti dengan kepakaran pekerja sosial, Pegawai Pembangunan Keluarga (FDO) serta pelbagai pertubuhan masyarakat seperti PPIS dan rakan-rakan yang terlibat dalam seminar hari ini.”“
Antara tugas-tugas yang akan dilaksanakan oleh unit ini ialah melaksanakan kajian yang berpandukan hukum dan analisa data. Ini supaya ia memastikan bahawa sebarang panduan agama yang diberi oleh Pejabat Mufti ialah berpandukan kepada konteks dan realiti kehidupan masyarakat khususnya wanita dan keluarga di Singapura.