Mulanya mengganggur, kini jadi usahawan fesyen Loveaisyah
Mulanya mengganggur, kini jadi usahawan fesyen Loveaisyah
Pengasas jenama Loveaisyah raih pengalaman berharga interaksi dengan pelanggan di bazar Ramadan
Selepas lebih enam bulan menganggur tanpa sebarang kepastian tentang pekerjaan seterusnya, mualaf dan usahawan jenama fesyen Loveaisyah, Cik Aisyah Lim, mengambil keputusan berani menggunakan simpanannya untuk membeli tiket penerbangan ke China pada 2017.
Perjalanan itu pada awalnya sekadar untuk bertemu seorang rakan yang memperkenalkannya kepada beberapa pemilik kilang tekstil tempatan.
Namun tanpa dirancang, lawatan tersebut akhirnya menjadi titik permulaan kepada jenama Loveaisyah sebagai perniagaan dalam talian, dan yang kini telah bertapak lebih sembilan tahun dalam industri fesyen.
Berbekalkan pengalaman luas dalam industri fesyen antarabangsa, beliau menghasilkan rekaan baju kurung dengan sentuhan kontemporari serta elemen Eropah, dengan matlamat menjadikannya pakaian yang selesa dan boleh digayakan bukan hanya pada Hari Raya.
“Saya rasa sayang jika baju kurung hanya dipakai sekali setahun. Jadi saya reka koleksi yang boleh dipadankan dengan pakaian lain supaya ia boleh dipakai berkali-kali,” katanya.
Jenama tersebut kembali bertemu pelanggan buat kali keempat di bazar Kampong Gelam yang dilancarkan secara rasmi pada 11 Februari.
Berkongsi kisahnya kepada Berita Harian (BH) dua minggu selepas pembukaan bazar itu, Cik Aisyah, 49 tahun, berkata keputusan memulakan perniagaan sendiri pada waktu itu bukan sesuatu yang dirancang.
“Sebenarnya apabila saya berhenti kerja pada 2017, saya tidak berniat memulakan perniagaan. Saya hanya mahu berehat selepas lebih 20 tahun bekerja serta memberi lebih masa kepada keluarga dan mendalami agama,” kata beliau.
Namun sambutan serta maklum balas positif daripada pelanggan terus mendorongnya meneruskan perniagaan tersebut, meskipun beliau mengakui pernah berasa letih sepanjang perjalanan membangunkan jenama berkenaan.
Pengalaman itu juga berbeza sama sekali daripada kerjaya lamanya sebagai pembeli barangan fesyen yang memerlukan beliau kerap mengembara ke luar negara bagi memilih koleksi pakaian untuk pasaran Singapura.
Kesibukan kerjaya tersebut akhirnya membuatkan beliau merasakan sudah tiba masanya memperlahankan rentak kehidupan serta memberi perhatian kepada keluarga, kata ibu seorang anak perempuan itu.
Sepanjang perjalanan membangunkan jenama tersebut, bazar Ramadan telah memainkan peranan penting dalam memperkenalkan koleksi kepada pelanggan secara bersemuka.
Bagi Cik Aisyah, interaksi secara langsung dengan pelanggan di bazar memberikan pengalaman berbeza berbanding jualan dalam talian.
“Kadang-kadang perniagaan ini bukan hanya tentang menjual pakaian, tetapi tentang berkongsi pengalaman dan memberi keyakinan kepada orang lain,” tambahnya.
Beliau turut berkongsi beberapa interaksi yang meninggalkan kesan mendalam, termasuk pertemuan dengan seorang wanita Cina yang sedang mempertimbangkan untuk memeluk Islam.
“Dia datang untuk membeli baju kurung pertamanya dan berkongsi kebimbangannya tentang pandangan orang sekeliling. Saya hanya berkongsi pengalaman perjalanan saya sebagai seorang mualaf dan menggalakkannya memahami agama terlebih dahulu sebelum membuat keputusan,” katanya.
Dengan sambutan yang terus menggalakkan di bazar 2026, beliau berharap jenama Loveaisyah dapat terus berkembang dan memperkenalkan rekaan yang menggabungkan tradisi dengan sentuhan moden kepada lebih ramai pelanggan pada masa hadapan.

