Rela berjauhan dari keluarga demi buka gerai ‘beef roti’ di bazar Kampong Gelam
Rela berjauhan dari keluarga demi buka gerai ‘beef roti’ di bazar Kampong Gelam
Dengan bersandarkan pelaburan modal melebihi $50,000, resipi dari kampung halaman di barat laut China serta keberanian mencuba nasib di negara baharu, Encik Harun Min membuka gerai makanan jalanan, DeYuan Imperial Beef Roti, di bazar Kampong Gelam buat kali pertama pada 2026.
Jenama roti nipis rangup berintikan daging ini mungkin bukan asing lagi dalam kalangan peminat hidangan Cina itu, memandangkan beliau turut mengendalikan dua lagi perniagaan di Cineleisure Orchard dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Namun, bagi usahawan berusia 34 tahun yang berasal dari wilayah Gansu, China, keputusan menyertai bazar Ramadan buat julung-julung kalinya merupakan langkah berani demi memperkenalkan snek halal dari wilayah itu kepada pelanggan Singapura.
Encik Harun mengakui pelaburan besar yang dibuat pada awalnya menimbulkan rasa bimbang, terutama sekali kerana beliau masih baharu dalam memahami proses serta operasi bazar tempatan.
“Pada awalnya, saya agak risau kerana pelaburannya besar dan saya tidak pasti sama ada orang di sini akan suka makanan ini atau tidak,” katanya.
Namun kebimbangan itu sedikit demi sedikit terlerai apabila gerainya mula menarik perhatian pengunjung sejak hari pertama operasi pada 11 Februari, malah digelar antara gerai ‘pop-up’ Muslim Cina yang paling diperkatakan di bazar Ramadan Gemilang Kampong Gelam 2026.
Menurut Encik Harun, ‘beef roti’ yang dijualnya merupakan antara snek jalanan halal yang popular di kampung halamannya di Gansu, sebuah wilayah berhampiran Xinjiang yang terkenal dengan pelbagai hidangan masyarakat Muslim Cina.
“Garing di luar dan berintikan daging lembu cencang berempah di dalam, ‘beef roti’ Cina merupakan snek jalanan halal yang cukup popular dalam kalangan masyarakat Muslim di barat laut China.
“Saya juga pernah melihat makanan ini sangat popular di Kuala Lumpur, jadi saya terfikir untuk membawa hidangan ini ke pasaran Singapura,” kata beliau.
Dalam nada sebak apabila ditanya tentang perjalanannya hampir dua minggu selepas pembukaan gerainya, Encik Harun, yang berada di Singapura dengan visa kerja, dilihat menahan emosi apabila mengenangkan keluarganya yang kini menetap di Johor Bahru.
Isterinya, 27 tahun, bekerja sambilan di Johor sementara anak sulungnya yang berusia tujuh tahun sedang bersekolah di bandar itu.
Dalam kesibukan ingin menjayakan gerai bazar ini, beliau belum sempat mengunjungi keluarganya.
Keadaan itu pastinya jauh berbeza berbanding sebelum ini, apabila beliau masih dapat bertemu mereka sekurang-kurangnya sekali seminggu.
“Kos kehidupan di Johor Bahru lebih rendah. Bagi saya yang baru memulakan perniagaan di bazar Singapura, agak mencabar untuk tinggal di sini bersama keluarga buat masa ini.
“Biasanya saya akan melawat mereka setiap minggu, tetapi sepanjang Ramadan ini saya sangat sibuk. Saya memang rindu anak-anak saya.
“Setiap kali anak perempuan saya menelefon saya, dia akan kira berapa hari lagi bazar ini akan berakhir supaya dia boleh jumpa saya semula.
“Sebagai seorang bapa, memang berat berjauhan dengan anak-anak, tetapi saya berharap segala pengorbanan ini akhirnya akan memberi masa depan yang lebih baik untuk mereka,” katanya lagi yang turut mempunyai seorang anak berusia empat tahun.
Namun, Encik Harun berkata keadaan itu hanyalah sementara, sambil berkongsi rancangan beliau untuk terus menetap di Singapura sekiranya perniagaannya berkembang.
“Selepas bazar ini berakhir, saya bercadang untuk terus menetap di Singapura. Kami juga merancang membuka sebuah kedai tetap berhampiran Masjid Sultan, malah kami sudah mempunyai lokasi yang berpotensi,” tambahnya.
Beliau turut tertarik dengan budaya kerja di Singapura, yang menurutnya, menitikberatkan nilai meritokrasi dan integriti.
“Saya suka budaya di Singapura kerana orang di sini menepati janji. Jika seseorang berkata sesuatu, mereka akan berpegang pada kata-kata itu. Jika anda berusaha bersungguh-sungguh, pasti akan ada ganjarannya,” ujarnya.
Pengorbanan itu kini mula membuahkan hasil apabila gerainya menerima barisan pelanggan setiap hari, malah ada pelanggan yang kembali semula sambil memberikan maklum balas positif.
“Saya berharap apabila orang mencuba makanan ini, mereka akan ingat ia adalah salah satu snek halal Cina yang ikonik,” katanya.

