Sekilas pandang, seni membentuk belon mungkin kelihatan seperti aktiviti ringan dan menghiburkan.
Namun bagi Cik Siti Rahmah Shamsudin, impaknya terhadap masyarakat adalah sangat besar.
Melalui seni tersebut, beliau dapat sama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2025 di kawasan kejiranan pada 10 Ogos, di padang bersebelahan One Punggol.
Seorang mantan penjawat awam yang telah mendedikasikan hidupnya untuk memperkasa kanak-kanak dan masyarakat Melayu/Islam itu juga merupakan penerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM).
Beliau, yang berusia 65 tahun, terus berkhidmat dengan sepenuh hati, kali ini melalui seni menghasilkan belon yang dapat menghiburkan pengunjung.
Minat beliau terhadap seni itu bermula daripada zaman kanak-kanaknya.
Namun, kemahiran membentuk belon hanya mula dipelajari semasa beliau menyertai kumpulan sokongan ibu bapa anaknya pada 2012.
Sejak itu, beliau aktif dalam kumpulan minat membentuk belon di bawah Jawatankuasa Perundingan Penduduk (CCC) Siglap.
Cik Siti, ibu dua anak lelaki yang berusia 35 dan 37 tahun, seorang yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan khidmat masyarakat.
Bapanya, Allahyarham Sarjan Mejar Rejimen (RSM) Shamsudin Shadan, merupakan penjawat awam yang dikenali kerana peranan aktifnya sebagai pemimpin akar umbi.
Beliau sering ke luar negara bersama sekumpulan pemimpin akar umbi (GRL) untuk mewakili kumpulan minoriti Melayu dari Singapura.
“Saya masih ingat kata-kata bapa saya, bahawa sebagai golongan minoriti, menjadi tanggungjawab kita melibatkan diri dan menyumbang kepada masyarakat yang bersatu padu dan harmoni,” kata Cik Siti.
Beliau menyedari tentang makna sebenar khidmat masyarakat apabila bapanya memainkan peranan yang besar dalam memupuk perpaduan dalam masyarakat Melayu/Islam tempatan.
Pengaruh itu meninggalkan kesan yang mendalam bagi dirinya hingga mendorong beliau untuk turut berbakti.
“Tidak kira siapa kita, kerja sukarela membantu membina masyarakat harmoni yang membolehkan jiran tetangga pelbagai bangsa, menjalin hubungan rapat dan saling memahami serta mempunyai semangat bergotong-royong,” kata Cik Siti.
Hari ini, minat dan semangat bakti itu disatukan melalui kegiatan membentuk belon, satu hobi yang ringkas tetapi membawa kegembiraan kepada ramai.
“Saya lakukan ini kerana ia menyeronokkan dan boleh membawa senyuman kepada sesiapa yang menerima belon saya.
“Belon dapat mengimbau kenangan masa kecil saya,” tambah Cik Siti sambil tersenyum.
Walaupun kelihatan mudah, seni membentuk belon memerlukan latihan dan ketelitian.
Terdapat pelbagai teknik dan bentuk, daripada bunga dan hati kepada watak kartun.
Menariknya, bukan sahaja kanak-kanak yang beratur untuk menerima belon, malah orang dewasa dan warga emas juga turut teruja untuk mendapatkan belon.
“Belon bukan hanya untuk kanak-kanak. Ramai warga emas juga sukakannya.
“Ada yang minta untuk cucu mereka, ada juga yang simpan untuk diri sendiri,” ujar beliau.
Cik Siti turut berkongsi detik manis bersama ibu mentuanya, yang pada mulanya kurang gemar dengan bunyi letupan belon.
Namun, setelah melihat bagaimana seni membentuk belon dapat membawa kegembiraan kepada orang ramai, persepsinya berubah dan beliau mula menyokong minat menantunya.
Kegiatan itu juga dibawanya ke Malaysia dan Vietnam dan beliau akan sentiasa membawa kit belon apabila ke luar negara.
“Di Vietnam, saya beri belon kepada seorang budak.
“Mula-mula dia menolak, tapi apabila saya hulur belon, dia ambil dan terus tersenyum.
“Itu membuatkan saya rasa sangat berbaloi (membawa kit belon bersama),” ujar Cik Siti.
Bagi beliau, belon alat penyambung kasih sayang antara generasi.
“Bagi budak-budak, bukan rupa bentuk yang penting, tetapi nilai memberi dan menerima itu sendiri.
“Mereka hanya nak rasa gembira,” katanya lagi.
Walaupun pada awalnya beliau sendiri takut akan bunyi letupan belon, ketakutan itu akhirnya bertukar menjadi keterujaan.
Kini, setiap letupan membawa harapan, harapan untuk memberi kegembiraan.
“
Tidak kira siapa kita, kerja sukarela membantu membina masyarakat harmoni yang membolehkan jiran tetangga pelbagai bangsa, menjalin hubungan rapat dan saling memahami serta mempunyai semangat bergotong-royong... Saya lakukan ini kerana ia menyeronokkan dan boleh membawa senyuman kepada sesiapa yang menerima belon saya.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg