Dengan masa berganti masa, apakah anda terfikir tentang kedai makan lama yang ikonik ataupun kedai singse lama yang dirasakan memerlukan lebih sokongan dari segi penjenamaan?
Mulai 20 Mac, warga Singapura boleh mencalonkan jenama warisan setempat bagi Skim Perniagaan Warisan SG yang baru dan diperkenalkan bagi mengiktiraf jenama Singapura ini di samping menyokong usaha agar ia terus berkembang di alaf baru.
Perniagaan yang dipilih bagi skim ini bahkan boleh meraih manfaat khidmat penjenamaan, pemasaran dan runding cara yang diberi Lembaga Warisan Negara (NHB) dan agensi lain.
Bagi melayakkan diri bagi skim tersebut, sesebuah perniagaan itu mestilah berdaftar di Singapura dan telah beroperasi selama sekurang-kurangnya 30 tahun.
Antara ketetapan lain termasuk mereka mesti terletak dalam kawasan pusat Singapura seperti Chinatown (Kreta Ayer, Bukit Pasoh dan Neil Road), Kampong Gelam, Little India, Daerah Sivik, Bras Basah, Bugis dan Orchard.
Perniagaan yang dipilih akan meraih manfaat daripada jenama mereka agar lebih mudah dikesan bagi meningkatkan kesedaran pengguna.
Pada masa yang sama, satu penanda yang dicipta khusus bagi Perniagaan Warisan SG akan diperkenalkan agar orang ramai mudah mengenal pasti dan menyokong perniagaan warisan itu.
Perniagaan ini boleh menggunakan penanda itu pada saluran pemasaran mereka, sama ada dalam bungkusan produk, paparan dalam kedai atau secara digital mahupun hantaran media sosial.
Senarai perniagaan warisan itu juga akan tertera pada direktori di portal warisan NHB, Roots.gov.sg.
Mereka juga mungkin dipaparkan dalam acara seperti Pesta Malam Singapura, Pesta Warisan Singapura, anjuran NHB mahupun acara anjuran institusi warisan lain.
Perniagaan yang terpilih mungkin boleh menerima sokongan khidmat runding cara dalam membantu mereka membangun atau mengubah ke arah daya tahan pada jangka masa panjang.
Ini termasuk dalam mengusahakan bantuan dalam mengenal pasti peluang perniagaan baru atau menghubungkan perniagaan itu dengan pihak relevan yang mampu menyokong.
Skim Perniagaan Warisan SG oleh NHB itu mula diperkenalkan Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling di Parlimen pada 10 Mac.
Skim tersebut bertujuan mengiktiraf, memacu kesedaran serta memberi penghargaan dan peluang perkembangan lebih besar untuk perniagaan warisan tempatan.
Pencalonan boleh dibuat antara 20 Mac dengan 18 Mei, dengan borang pencalonan boleh diperolehi di laman web NHB.
Rakyat Singapura boleh memainkan peranan dalam menyokong perniagaan warisan dengan mengemukakan pencalonan bagi pihak perniagaan tersebut melalui borang dalam talian ini, tertakluk kepada kelayakan perniagaan untuk skim tersebut.
Perniagaan yang layak juga boleh mencalonkan perniagaan mereka sendiri atau perniagaan lain dalam semangat menyokong masyarakat perniagaan warisan yang lebih luas.
Semua pencalonan akan dinilai NHB dan panel penilaian yang dilantik.
Penerima anugerah akan diumumkan pada suku ketiga 2025.
“Bergantung kepada jurang atau keperluan khusus setiap perniagaan, ia mungkin termasuk melibatkan perniagaan untuk lebih memahami keperluan mereka, mengenal pasti peluang atau projek perniagaan baru dan menghubungkannya dengan bentuk sokongan yang berkaitan,” kata NHB, dalam kenyataannya.
“Daripada penglibatan dan penyelidikan kami, kesedaran awam yang rendah tentang perniagaan warisan ini dan nilainya merupakan halangan penting bagi perniagaan, di antara pelbagai cabaran lain.
“Oleh itu, adalah tepat pada masanya kami melancarkan Skim Perniagaan Warisan SG untuk menarik perhatian lebih kepada perniagaan warisan dan membantu mereka mendapatkan lebih banyak sokongan daripada rakyat Singapura,” kata Pengarah (Dasar dan Penyelidikan Warisan), NHB, Cik Melissa Tan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg