Topik diikuti
Pergi ke BHkuOrang muda ‘tegur’, BH dengar: Mahu kandungan lebih ‘real’, bukan sekadar viral
Maklum balas sekitar 80 peserta perbincangan kumpulan fokus jadi panduan BH perbaharui kandungan media sosial dan perkukuh hubungan dengan generasi muda.
Orang muda ‘tegur’, BH dengar: Mahu kandungan lebih ‘real’, bukan sekadar viral
Kurangkan grafik yang membosankan. Jangan terlalu ikut skrip. Gunakan bahasa Melayu yang lebih semula jadi. Dan kalau hendak buat kandungan lucu, janganlah sampai nampak dibuat-buat!
Itulah antara mesej yang disampaikan kepada Berita Harian (BH) dalam dua sesi perbincangan kumpulan fokus (FGD) yang diadakan bagi mendapatkan maklum balas mengenai kandungan media sosial BH dan platform belianya, OMGxBH.
Sesi tersebut melibatkan sekitar 50 belia daripada masyarakat umum dan 30 kakitangan muda BH yang berkongsi pandangan tentang kekuatan, kelemahan serta perubahan yang mereka harapkan.
OMGxBH, yang dilancar secara rasmi pada Ogos 2024, adalah platform yang disediakan BH bagi audiens muda.
Antara dapatan utama ialah keinginan melihat kandungan yang lebih tulen, santai dan relevan dengan kehidupan seharian, tanpa mengorbankan ketepatan dan mutu kewartawanan.
Malah, peserta belia berpandangan bahawa video yang kelihatan terlalu sempurna atau dengan nilai estetik tinggi atau disunting secara berlebihan tidak semestinya lebih menarik.
Sebaliknya, mereka menghargai penyampaian yang spontan dan jujur, seolah-olah sedang berbual dengan seorang abang atau kakak yang memahami cabaran mereka.
Satu lagi dapatan menarik, terutama dari sesi dengan masyarakat umum, ialah golongan muda tidak semestinya menolak penggunaan bahasa Melayu.
Sebaliknya, mereka melihat kandungan OMGxBH sebagai peluang untuk meningkatkan penguasaan bahasa tersebut, asalkan penyampaiannya tidak terlalu formal atau menggunakan campuran bahasa Inggeris secara janggal, atau “dipaksa-paksa”.
Peserta turut mencadangkan sari kata dwibahasa bagi memudahkan mereka mengikuti kandungan.
Editor BH, Encik Nazry Mokhtar berkata, dapatan FGD itu memberi gambaran lebih jelas tentang apa yang diinginkan golongan muda.
Mengenai keinginan bagi sari kata dwibahasa contohnya, beliau berkata BH akan mengekalkan sari kata Melayu sebagai asas, sambil meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi memperluas penyediaan sari kata Melayu dan Inggeris.
“Dari FGD ini, jelas golongan muda bukan sekadar mahukan kandungan yang menghiburkan, tetapi kandungan yang tulen, relevan dan bermanfaat, serta ruang untuk berkongsi pandangan dan membincangkan isu yang dekat dengan kehidupan mereka.
“Maklum balas ini akan menjadi panduan penting dalam memperbaharui kandungan media sosial BH, khususnya OMGxBH. Kami mahu OMGxBH menjadi platform yang bukan sahaja dapat mendekati anak muda, tetapi turut meraikan suara dan aspirasi mereka,” kata beliau.
“Walaupun pendekatan kami lebih santai, kreatif dan spontan, ketepatan serta kredibiliti kewartawanan BH tetap menjadi keutamaan,” tambahnya.
Susulan FGD itu, BH telah merangka pelan tindakan untuk memperjelas identiti dan memperkukuh kandungan kedua-dua platform.
Platform media sosial BH akan terus mengutamakan berita, konteks dan analisis, sementara OMGxBH memberi penekanan kepada perbualan belia, pengalaman kehidupan sebenar dan isu yang dekat dengan generasi muda.
Antara pembaharuan yang dirancang ialah memperkukuh siri penerangan Mari BH Jelaskan, kandungan wawancara jalanan Cakap Sini, Habis Sini, serta video cabaran Cuba Try.
BH juga mahu menjadikan hubungan dengan pengikut lebih bersifat dua hala.
Bagi OMGxBH, ini termasuk membangunkan komuniti Telegram, menghasilkan video berdasarkan komen pengikut serta mengadakan kegiatan bersama belia di kampus dan lokasi masyarakat.
BH pula merancang memperluas sesi interaktif seperti Jom BHerbual dan NoTapis ‘Live’.
Encik Nazry menambah:
“Pendekatan-pendekatan ini mencerminkan satu perubahan penting: daripada sekadar menghasilkan kandungan untuk ditonton, kepada membina komuniti yang turut menyumbang idea, berkongsi pengalaman dan mengambil bahagian dalam perbincangan.
“Kerana dalam dunia media sosial yang dipenuhi pelbagai suara, BH bukan sahaja mahu terus didengari - tetapi juga mendengar.”