Topik diikuti
Pergi ke BHkuOrang ramai diundang sumbang idea reka hias lampu Hari Raya Geylang Serai 2027
Orang ramai diundang sumbang idea reka hias lampu Hari Raya Geylang Serai 2027
Pertama kali reka gerbang utama dibuka kepada orang ramai, jadikan sambutan dipacu masyarakat
Orang ramai diundang sumbang idea reka hias lampu Hari Raya Geylang Serai 2027
Buat julung-julung kalinya, orang ramai berpeluang menyalurkan idea dan mencorak Pesta Cahaya Hari Raya 2027 menerusi rekaan mereka sendiri, yang kemudian diterjemahkan menjadi rekaan lampu hiasan di sekitar Geylang Serai, sempena Ramadan dan Hari Raya tahun 2027.
Inisiatif bertemakan ‘Raya Bagi Saya’ itu menggalakkan peserta berkongsi takrifan peribadi mereka tentang Hari Raya, melalui kisah, tradisi dan kenangan yang dekat di hati mereka, termasuk detik berkumpul bersama keluarga, amalan turun-temurun, semangat kejiranan, serta nilai kasih sayang dan kebersamaan.
Menurut satu kenyataan bersama Wisma Geylang Serai (WGS) dan Persatuan Rakyat (PA), inisiatif itu diharap dapat menjadikan sambutan Hari Raya lebih terangkum dan dipacu masyarakat, di samping memberi peluang kepada orang ramai menyumbang kepada acara yang sekian lama menjadi antara simbol paling ikonik musim perayaan di Singapura.
Pengurus Besar WGS, Encik Mokhtar Jaffar, berkata Pesta Cahaya Hari Raya 2027 itu bukan sekadar paparan lampu hiasan tetapi mencerminkan kisah, tradisi dan pengalaman bersama yang menyatukan masyarakat setiap tahun.
“Melalui panggilan terbuka yang kali pertama diadakan ini, kami berharap dapat mengajak semua yang menganggap Singapura sebagai kediaman mereka, untuk menjadi sebahagian daripada kisah tersebut, dengan berkongsi takrifan mereka tentang makna Hari Raya.
“Kami berharap dapat melihat pelbagai idea dan perspektif yang akan membantu mencorak sambutan Hari Raya 2027,” katanya.
Penyertaan dibuka kepada semua tanpa mengira usia, latar belakang seni atau pengalaman dalam bidang reka bentuk.
Bagaimanapun, peserta dikehendaki mengemukakan dua rekaan gerbang utama dan satu rekaan gerbang kecil, menggunakan templat rasmi yang disediakan.
Rekaan boleh dihasilkan dalam pelbagai medium termasuk ilustrasi digital, kerja seni lukisan tangan atau gabungan media, dan perlu disertakan dengan penerangan ringkas mengenai inspirasi di sebalik rekaan tersebut.
Rekaan yang dipilih akan diolah menjadi rekaan hiasan pemasangan lampu sekitar Geylang Serai itu.
Pemenang peraduan bakal menerima hadiah serta diundang bagi menghadiri majlis pelancaran Pesta Cahaya Hari Raya 2027.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mengemukakan penyertaan menerusi saluran rasmi WGS.
Penyertaan dibuka hingga 19 Julai 2026, pada 11.59 malam.
“
“Melalui panggilan terbuka yang kali pertama diadakan ini, kami berharap dapat mengajak semua yang menganggap Singapura sebagai kediaman mereka, untuk menjadi sebahagian daripada kisah tersebut, dengan berkongsi takrifan mereka tentang makna Hari Raya.”