Topik diikuti
Pergi ke BHkuFestival Dikir S’pura kembali lagi sempena sambutan 50 tahun dikir barat di S’pura
Festival Dikir S’pura kembali lagi sempena sambutan 50 tahun dikir barat di S’pura
Festival Dikir S’pura kembali lagi sempena sambutan 50 tahun dikir barat di S’pura
Sempena sambutan 50 tahun kegiatan dikir barat di Singapura pada 2026, Festival Dikir Barat kembali untuk edisi kedua di Wisma Geylang Serai (WGS).
Kali ini, festival tersebut diperluaskan menjadi acara selama tiga hari yang akan berlangsung antara 5 dengan 7 Jun 2026.
Festival itu juga bakal berkembang sebagai wadah yang lebih besar dan lebih mendalam, menghimpunkan para penggiat seni, pengamal budaya dan masyarakat umum dalam satu sambutan yang meraikan warisan, kreativiti dan identiti.
Sepanjang tiga hari penganjurannya, para pengunjung boleh menjangkakan gabungan persembahan yang direka khas, pertandingan, sesi dialog serta pertukaran budaya rentas sempadan di rantau ini.
Dianjurkan WGS dengan kerjasama Serumpun DK SG, Gabungan Kumpulan Dikir Barat Singapura (SDBF) dan kumpulan dikir barat, Andika Kencana, festival ini mencerminkan evolusi berterusan kesenian dikir barat sebagai tradisi persembahan yang dikongsi bersama.
Tirai Festival Dikir 2026 akan dibuka pada 5 Jun dengan Malam Anugerah Dikir, sebuah acara yang meraikan sumbangan dan pencapaian cemerlang dalam kalangan ahli masyarakat dikir barat di Singapura.
Penstriman langsung melalui saluran YouTube WGS serta tayangan langsung di lokasi, Anjung@WGS, juga diadakan.
Pada 6 Jun pula, tumpuan acara ini akan beralih kepada bengkel dan program yang diterajui golongan belia seperti acara perbincangan yang bertajuk Arus Dikir: Trend, Teknologi dan Masa Depan Warisan Kita.
Acara itu kemudian disusuli dengan Pertandingan Dikir Senja, yang menampilkan penggiat dikir barat berusia 35 tahun dan ke atas.
Festival itu akan melabuhkan tirainya pada 7 Jun, dengan beberapa segmen yang bakal disajikan pada hari terakhir.
Sebuah sesi perbincangan atau wacana berjudul Gelanggang Wacana bakal diadakan untuk memacu persoalan yang sekian lama dibincangkan dalam kalangan penggiat dikir barat.
Kemudian, festival tersebut akan diteruskan dengan salah satu acara utama yang bakal menggegarkan WGS iaitu Gelanggang Dikir.
Gelanggang Dikir bakal menampilkan peserta dari Singapura bersama rakan sebudaya dari Malaysia, menghimpunkan sehingga 60 penggiat di pentas.
Segmen itu bakal menawarkan persembahan dikir barat berskala besar yang dinamik dan interaktif, sekali gus menyerlahkan sifat kebersamaan dalam seni tersebut.
Seiring dengan festival dikir di WGS, sebuah festival makanan, Selera Nusantara, bakal dianjurkan MakBesar, sebuah syarikat penganjur acara, dan akan berlangsung sepanjang tiga hari festival tersebut diadakan.
Selaku Pengarah Festival, Encik Firdaus Fid Faisal, berkongsi:
“Festival Dikir Singapura 2026 merupakan penghormatan kami terhadap perjalanan dikir barat di Singapura selama 50 tahun yang luar biasa ini.
“Saya amat menghargai sokongan teguh WGS terhadap seni ini.”
Pengurus Besar WGS, Encik Mokhtar Jaffar, turut berkata:
“Festival ini amat selaras dengan misi kami di WGS, iaitu menampilkan kemeriahan budaya Melayu Singapura serta memelihara tradisinya, bukan sekadar sebagai rekod sejarah, tetapi sebagai sesuatu yang terus hidup dan dapat dialami oleh masyarakat.”
