Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Palang Merah S’pura tambah $400,000 bantuan kemanusiaan Gaza

Mar 27, 2025 | 3:40 PM
Mereka yang ingin menyumbang kepada Palang Merah Singapura (SRC) bagi bantuan kemanusiaan Gaza boleh berbuat demikian secara dalam talian sehingga 30 April.
Mereka yang ingin menyumbang kepada Palang Merah Singapura (SRC) bagi bantuan kemanusiaan Gaza boleh berbuat demikian secara dalam talian sehingga 30 April. - Foto PERTUBUHAN PALANG MERAH ANTARABANGSA (ICRC)

Palang Merah Singapura (SRC) sedang meningkatkan sokongan kemanusiaannya ke Gaza dengan memberikan bantuan tambahan $400,000, berikutan keganasan yang semakin meningkat pada 18 Mac.

Bantuan tersebut menyokong perkhidmatan kesihatan kecemasan, penjagaan kesihatan utama, sokongan kesihatan mental serta operasi hospital dengan 60 katil di Rafah, Jaluran Gaza.

Menurut kenyataan SRC pada 27 Mac, hospital lapangan itu menyediakan penjagaan trauma yang menyelamatkan nyawa dan penjagaan perubatan penting kepada 200 orang setiap hari pada kapasiti penuh.

Setiausaha Agung yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC, Encik Benjamin William, mengalu-alukan rakyat Singapura agar menghulurkan sokongan mereka kepada masyarakat yang terjejas di Gaza.

“Komitmen kami untuk menyokong masyarakat yang terjejas ini kekal tidak berbelah bagi dan sumbangan terbaru kami ini memberikan sokongan yang amat mereka perlukan berdasarkan keadaan terkini.

“Dengan semangat perpaduan ini, kami mengalu-alukan warga Singapura agar menghulurkan sokongan mereka kepada masyarakat yang terjejas di Gaza,” kata Encik William.

Dalam pada itu, penyelaras operasi, Encik DS Vickram, akan dikerahkan ke Kahirah selama dua minggu mulai 13 April untuk memudahkan pergerakan bantuan kemanusiaan dari Mesir ke Jaluran Gaza dan menyelia segala urusan di situ.

Encik Vikram berkata dalam krisis sebegini, setiap usaha tidak kira besar atau kecil boleh membawa perubahan.

Beliau berharap dapat memainkan peranan dalam memastikan bantuan sampai kepada mereka yang paling memerlukannya.

Awal sebelum ini, SRC telah memberikan bekalan bantuan bernilai $300,000, termasuk bungkusan makanan, kit kebersihan dan bekalan perubatan, semasa gencatan senjata antara Hamas dengan Israel pada 19 Januari.

Sehingga kini, SRC telah menyalurkan hampir $1.5 juta dalam bantuan kemanusiaan, menerusi Pertubuhan Bulan Sabit Merah Mesir (ERCS).

Rayuan mengumpul dana SRC sedang berlangsung sehingga 30 April dan orang ramai boleh menderma dalam talian melalui pautan, https://redcross.sg/donate-gazacrisis

Derma melalui cek atau PayNow boleh dilakukan di laman web, http://redcross.sg/gazacrisis

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg