Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Palang Merah S’pura tingkat bantuan kemanusiaan Gaza susulan gencatan senjata

Jan 20, 2025 | 6:39 PM
Palang Merah Singapura (SRC) tingkatkan usaha bantuan kemanusiaan sempena gencatan senjata Gaza dilaksanakan pada 19 Januari.
Palang Merah Singapura (SRC) tingkatkan usaha bantuan kemanusiaan sempena gencatan senjata Gaza dilaksanakan pada 19 Januari. - Foto REUTERS

Palang Merah Singapura (SRC) meningkatkan usaha kemanusiaannya dengan memberikan bekalan bantuan bernilai $300,000 untuk menyokong keperluan masyarakat terjejas susulan gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 19 Januari di Gaza.

Bantuan kemanusiaan terbaru itu termasuk bungkusan makanan, kit kebersihan dan bekalan perubatan.

“Palang Merah Singapura gembira bahawa gencatan senjata kini dilaksanakan dan ini memberikan peluang penting untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan bagi menangani keperluan mendesak orang awam yang terjejas oleh krisis ini,” kata Setiausaha Agung dan Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Encik Benjamin William.

Bagaimanapun, tumpuannya tetap pada penyediaan sokongan yang pantas dan menyelamatkan nyawa – memastikan mereka yang memerlukan rawatan perubatan segera, sokongan psikologi dan bantuan penting akan menerima bantuan yang diperlukan.

Untuk memastikan bahawa matlamat itu tercapai, SRC akan terus bekerjasama dengan pergerakan Palang Merah Bulan Sabit Merah (RCRC), termasuk Pertubuhan Bulan Sabit Merah Mesir (ERCS).

Menurut kenyataan media, SRC bersedia mengerahkan kakitangan untuk bekerjasama dengan rakan kongsi yang berada di tempat terjejas untuk menyelaraskan bahagian bantuan kemanusiaan terbaru ini.

Sejak 7 Oktober 2023, SRC secara aktif telah bekerjasama dengan ERCS untuk mendapatkan dan menghantarkan barangan bantuan keperluan seperti bungkusan makanan, kit kebersihan dan bekalan perubatan melalui Rafah.

Semasa tempoh gencatan senjata itu, ERCS akan bekerjasama dengan lebih rapat lagi dengan pihak berkuasa untuk meningkatkan lagi penghantaran bantuan kepada Gaza.

Menurut ERCS, bantuan yang telah dikumpulkan berdekatan dengan lintasan sempadan Rafah bersedia dihantar dengan segera sejurus sempadan itu dibuka semula.

Bantuan dan bahan api sejumlah 600 lori sehari akan dihulurkan semasa fasa pertama gencatan senjata ini.

SRC telah menghulurkan bantuan bernilai hampir satu juta dolar melalui ERCS, termasuk penempatan penyelaras operasi dan pasukan lapan orang untuk membantu ERCS dengan operasi bantuan pada 2024.

SRC mengalu-alukan orang ramai untuk kekal menyumbang dengan dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk membantu masyarakat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Gaza secara langsung.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg