Topik diikuti
Pergi ke BHkuPasang mikrocip, dapatkan lesen bagi kucing anda sebelum 31 Ogos
Proses pasang mikrocip mudah, ringkas dan tidak jejas kucing; sokongan disedia bagi pemilik kurang mampu
Pemilik kucing yang belum memasang mikrocip dan mendapatkan lesen bagi haiwan peliharaan mereka digesa berbuat demikian secepat mungkin sebelum tempoh peralihan rangka kerja pengurusan kucing berakhir pada 31 Ogos.
Mulai 1 September 2026, menjadi satu kesalahan bagi pemilik memelihara kucing yang tidak mempunyai lesen, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi.
“Mulai 1 September 2026, ia akan merupakan satu kesalahan bagi pemilik-pemilik kucing memelihara kucing yang tidak mempunyai lesen.
“Jadi saya syorkan bagi pemilik-pemilik kucing di sana untuk mendaftarkan kucing mereka, mendapatkan lesen, meletakkan mikrocip secepat mungkin,” katanya.
Dr Syed Harun berkata rangka kerja itu bukan sekadar bertujuan mengawal pemilikan kucing, bahkan mahu meningkatkan kebajikan haiwan serta menggalakkan pemilikan yang bertanggungjawab.
Pendaftaran dan pemasangan mikrocip, misalnya, membolehkan kucing yang hilang dikenal pasti dan dikembalikan kepada pemilik dengan lebih mudah.
Beliau turut memberi jaminan kepada pemilik yang bimbang mengenai proses memasang mikrocip bahawa prosedur itu ringkas.
Menurutnya, mikrocip tersebut hanya sebesar sebutir beras, dimasukkan di bawah kulit dan prosesnya mengambil masa beberapa saat tanpa memerlukan bius.
Bagi keluarga berpendapatan rendah pula, terdapat sokongan untuk membantu mereka melakukan proses mengembiri dan memasang mikrocip pada kucing peliharaan. Lebih 5,200 kucing sejauh ini telah menjalani proses pensterilan di bawah program sokongan tersebut.
Dr Syed Harun turut menekankan pentingnya memasang jaring keselamatan di rumah kerana kucing secara semula jadi gemar meneroka.
Langkah itu dapat mengelakkan kucing daripada terjatuh dari tempat tinggi, selain memastikan haiwan peliharaan tidak mengganggu jiran atau persekitaran sekitar.
Menurut beliau, matlamat keseluruhan rangka kerja itu adalah untuk memupuk pemilikan kucing yang bertanggungjawab, meningkatkan kebajikan haiwan serta menjaga kesihatan awam dan haiwan.
Ia juga diharap dapat meningkatkan sikap ihsan masyarakat terhadap haiwan peliharaan.
Pemilik yang mempunyai lebih daripada dua ekor kucing turut digesa mendapatkan lesen yang diperlukan sebelum 31 Ogos.
