Pegawai khidmat kecemasan lapangan terbang siap siaga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai khidmat kecemasan lapangan terbang siap siaga

Mar 9, 2026 | 5:30 AM

Pegawai khidmat kecemasan lapangan terbang siap siaga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
lapangan terbang change, Singapore, AES, CAQ
Anggota Perkhidmatan Kecemasan Lapangan Terbang (AES), Pegawai Waran Mohammad Zulhelmi Mohammad Roslan, melaporkan diri ke kenderaan kecemasan sambil menyarung seragam keselamatan sebaik sahaja isyarat kecemasan berbunyi. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sebaik sahaja isyarat kecemasan diterima dari menara kawalan Lapangan Terbang Changi, Pegawai Waran Mohammad Zulhelmi Mohammad Roslan, bersama pasukannya dari Balai Bomba 1 akan segera bersiap siaga untuk memberikan tindakan segera.

Balai Bomba 1 itu terletak di sepanjang Landasan 1, Lapangan Terbang Changi, dan bertentangan dengan Terminal 3 di bahagian sebelah udara.

Ia berperanan dalam menguruskan pemadaman kebakaran, menyelamat pesawat dan mampu mengawal kebakaran dalam tempoh seminit selepas tiba di lokasi.

Dengan bunyi semboyan sebagai tanda amaran, anggota Perkhidmatan Kecemasan Lapangan Terbang (AES) itu bergegas menaiki kenderaan sebelum bergerak ke lokasi kecemasan.

Menurut Pegawai Waran Mohammad Zulhelmi, 34 tahun, yang hampir sedekad bertugas di AES, keseluruhan persiapan itu lazimnya diselesaikan dalam tempoh kurang tiga minit.

“Apabila panggilan kecemasan masuk, tumpuan kami adalah memastikan pasukan bersedia dan sampai ke lokasi secepat mungkin.

“Respons pantas itu hanya boleh dicapai melalui tahap kesiapsiagaan yang tinggi,” katanya.

Sebagai Pegawai Waran, beliau turut memikul tanggungjawab memastikan sekitar 20 anggota di bawah penyeliaannya sentiasa berada pada tahap kecekapan mental dan fizikal yang optimum.

Tanggungjawab itu berterusan sepanjang tahun, termasuk ketika Ramadan, apabila syif panjang sekurang-kurangnya 12 jam, boleh memberi tekanan kepada dirinya dan pasukan.

“Dalam menahan lapar dan dahaga, memang secara semula jadi badan akan berasa letih.

“Namun, adalah tanggungjawab saya memastikan semangat pasukan kekal tinggi,” kata bekas anggota Perkhidmatan Negara, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) itu.

Selain pemeriksaan rutin terhadap kenderaan dan peralatan kecemasan, anggota AES juga menjalani latihan simulasi seperti Latihan ‘Table-Top’ (TTX), yang boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja bagi menguji kecekapan operasi.

“Kalau ada panggilan kecemasan, kami hanya ada sekitar dua minit untuk sampai ke hujung landasan. Jadi tahap kesiapsiagaan mesti kekal tinggi walaupun berpuasa,” katanya.

Begitulah tanggungjawab Pegawai Waran Zulhelmi sejak berkhidmat di AES pada 2015.

“Walaupun tugasnya mencabar, rasa tanggungjawab untuk memastikan operasi berjalan selamat membuatkan saya terus bertahan dalam AES,” ujarnya.

Di rumah pula, bapa empat anak berusia antara dua tahun dengan enam tahun itu cuba meluangkan masa bersama keluarga setiap kali mempunyai peluang sebelum atau selepas syif bertugas.

“Namun, apabila ditugaskan syif malam, saya terpaksa mengorbankan masa bersama anak-anak selepas mereka habis sekolah demi melaporkan diri sekitar 6 petang, dan hanya dapat pulang ke rumah sekitar 8 pagi keesokan hari,” kata beliau.

Menurutnya, sokongan isterinya, Cik Nazurah Syazana Nordin, 34 tahun, seorang guru sekolah rendah, banyak membantu memastikan urusan rumah tangga serta jadual persekolahan anak-anak agar berjalan lancar ketika beliau bertugas.

Cik Nazurah memainkan peranan penting dalam mengurus rumah tangga serta jadual persekolahan empat anak mereka.

“Sambil membantu mengurus anak-anak dan rumah ketika suami sibuk di tempat bertugas, saya menjadi tempat beliau melepaskan tekanan dengan mendengar tanpa menghakimi serta memberi kata-kata semangat.

“Ini membantunya meringankan beban fikiran supaya dapat melaksanakan tugas sepenuhnya,” kata Cik Nazurah.

Pegawai Waran Zulhelmi juga berkata sokongan itu memberi ketenangan minda ketika beliau bertugas, terutama sepanjang Ramadan yang menuntut pengurusan tenaga dan masa yang lebih teliti.

“Tugas ini memang menuntut banyak pengorbanan, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan apabila kesiapsiagaan mental dan fizikal diuji.

“Tetapi bila tahu keluarga sentiasa menyokong, ia memberi kekuatan untuk terus berkhidmat dan memastikan setiap operasi berjalan lancar,” tambahnya.

Walaupun tugasnya mencabar, rasa tanggungjawab untuk memastikan operasi berjalan selamat membuatkan saya terus bertahan dalam AES (Perkhidmatan Kecemasan Lapangan Terbang).
Mohammad Zulhelmi Mohammad Roslan, Pegawai Waran Perkhidmatan Kecemasan Lapangan Terbang (AES). 
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg