Pegawai pengiring bermotosikal Aetos harungi syif 12 jam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai pengiring bermotosikal Aetos harungi syif 12 jam

Mar 9, 2026 | 5:30 AM

Pegawai pengiring bermotosikal Aetos harungi syif 12 jam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
pegawai pengiring, Aetos
Tatkala ramai masih dibuai tidur lena sebelum waktu sahur, pegawai polis tambahan Aetos, Sarjan (APF) Ihzha ‘A-Isy Al Mountazhar Haji Sarif, sudah bersiap sedia memulakan syif sebagai pegawai pengiring bermotosikal atau ‘outrider’ yang lazimnya menjangkau 12 jam. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Jam di tangan Sarjan (APF) Ihzha ‘A-Isy Al Mountazhar Haji Sarif menunjukkan 2 pagi.

Tatkala ramai masih dibuai mimpi, pegawai polis tambahan Aetos itu sudah bersiap sedia di pejabat Aetos di West Coast Road sambil berdiri di sisi motosikal rondanya.

Lengkap dengan sarung tangan, topi keledar dan jaket lut sinar, ia menandakan bermulanya syif yang lazimnya menjangkau 12 jam sebagai pegawai pengiring bermotosikal.

Begitulah rutin harian anak keempat dalam tujuh beradik itu.

Namun pada Ramadan, sebotol air mineral dan beberapa biji kurma yang disimpan dalam koceknya menjadi santapan ringkas apabila beliau bersahur atau berbuka di jalan raya ketika menjalankan tugas.

“Walaupun berpuasa, tuntutan operasi tetap sama kerana keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan.

“Ada masanya saya bersahur atau berbuka ringkas di tepi jalan dengan kurma dan air sebelum kami sambung rondaan,” katanya.

Sebagai pegawai pengiring bermotosikal, Sarjan Ihzha, 28 tahun, bertanggungjawab mengurus aliran trafik, mengiringi kargo bersaiz besar serta memberi bantuan kepada mereka yang terlibat dalam kemalangan dan kerosakan kenderaan di lebuh raya.

Lengkap dengan sarung tangan, topi keledar dan jaket lut sinar, ia menandakan bermulanya tugasan syif pegawai polis tambahan Aetos, Sarjan (APF) Ihzha ‘A-Isy Al Mountazhar Haji Sarif, sebagai pegawai pengiring bermotosikal atau outrider selama 12 jam.
Lengkap dengan sarung tangan, topi keledar dan jaket lut sinar, ia menandakan bermulanya tugasan syif pegawai polis tambahan Aetos, Sarjan (APF) Ihzha ‘A-Isy Al Mountazhar Haji Sarif, sebagai pegawai pengiring bermotosikal atau outrider selama 12 jam. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Tugasan itu tidak mengira waktu atau keadaan, sekali gus menuntut beliau sentiasa bersedia walaupun ketika orang lain sedang menikmati sajian sahur atau berbuka.

“Memang lebih mencabar berpuasa ketika syif panjang, tetapi setiap kali tamat tugas, saya bersyukur kerana dapat berkhidmat dan pulang dengan rasa puas,” kata bekas pegawai perhotelan itu, yang kini memasuki tahun keempat bersama Aetos.

Menurutnya, disiplin diri dan persediaan awal menjadi kunci untuk mengekalkan tumpuan sepanjang syif yang panjang.

Pada masa sama, semangat setiakawan dalam kalangan rakan sepasukan turut menjadi sumber kekuatan utama.

“Disiplin diri penting supaya kami kekal fokus, tetapi sokongan rakan sepasukan juga banyak membantu, terutama sepanjang Ramadan,” katanya.

Beliau masih mengingati satu kejadian ketika mengawal trafik di Pusat Pemeriksaan Woodlands, apabila waktu berbuka hampir tiba, namun beliau dan seorang lagi rakan masih bertugas di persimpangan imigresen bagi memastikan aliran kenderaan kekal lancar.

Menyedari mereka tidak dapat meninggalkan pos masing-masing, beberapa rakan yang sedang berehat membawa air dan kurma tepat pada waktunya, supaya mereka dapat berbuka secara ringkas di tepi jalan tanpa menjejas amanah mereka.

“Perkara kecil seperti itu buat kita rasa dihargai. Walaupun sibuk bertugas, kami tetap saling menjaga antara satu sama lain,” katanya, sambil menambah kerjasama sebegitu mencerminkan semangat saling memahami dalam pasukan, termasuk daripada rakan bukan Muslim.

Sarjan (APF) Ihzha berkata, pengalaman melalui cabaran berpuasa bersama rakan setugas menjadikan hubungan sesama mereka semakin erat.

“Rasa penat memang ada, tetapi bila tengok semua orang saling membantu, ia jadi lebih ringan,” ujarnya.

Baginya, menjalani ibadah dalam bulan Ramadan di jalan raya bukan tentang perhatian atau pengorbanan yang besar, tetapi tentang menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab seperti hari-hari lain.

“Apa yang penting, kami kekal fokus dan saling menyokong supaya semua orang dapat sampai ke destinasi masing-masing dengan selamat,” katanya.

Memang lebih mencabar berpuasa ketika syif panjang, tetapi setiap kali tamat tugas, saya bersyukur kerana dapat berkhidmat dan pulang dengan rasa puas.
Sarjan (APF) Ihzha ‘A-Isy Al Mountazhar Haji Sarif, pegawai polis tambahan Aetos.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg