Lazimnya masyarakat Melayu/Islam Singapura melihat Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir dalam suasana formal – memberi khutbah, menyampaikan ceramah agama, atau muncul di kaca televisyen dengan wajah serius.
Tapi kali ini, para Pegawai Agama Masjid (MRO) yang menyertai Rahat Dwitahunan MRO 2025 dapat melihat sisi lain beliau, sebagai seorang yang giat aktif dan berlari.
Rahat yang dianjurkan oleh Pejabat Mufti dengan kerjasama Sektor Satu Masjid (OMS) itu diadakan pada 9 Julai di Orchid Country Club dan disertai kira-kira 100 MRO dari pelbagai masjid.
Selepas perbincangan tentang hala tuju masjid untuk masa depan, serta penyampaian khidmat masjid kepada jemaah, Dr Nazirudin dan para peserta mengambil angin dan berjalan sepanjang Kolam Air Lower Seletar.
Namun, apa yang tidak dijangka adalah Dr Nazirudin mula ajak MRO berlari.
Salah seorang MRO yang hadir, Pegawai Pendekatan Masyarakat Digital dari Masjid Al-Istighfar, Encik Muhammad Hakim Roslee, 27 tahun, memberitahu Berita Harian (BH) bahawa tiada siapa pun yang menjangkakannya.
“Semua sangka kami jalan bersantai sahaja, tetapi Mufti tiba-tiba ajak lari! Saya terpaksa lari dengan kasut Vans saya!” gelaknya.
Encik Hakim telah merakamkan sesi berlari itu dan memuat naiknya ke TikTok. Setakat ini, video itu sudah ditonton sekitar 38,000 kali dan mempunyai sekitar 2,500 ‘like’.
Dalam video itu, Dr Nazirudin berlari memakai topi, baju polo dan jaket tipis – jauh berbeza dengan pakaiannya dalam acara formal.
“Seronok dapat lihat Mufti dalam suasana santai, biasanya kami nampak beliau di kaca televisyen dengan wajah serius,” ujar Encik Hakim, yang sudah bekerja di Masjid Al-Istighfar genap setahun pada 10 Julai.
Ketika berlari, Dr Nazirudin juga berkongsi dalam video itu bahawa beliau gemar mendaki gunung.
Encik Hakim sempat berseloroh dengannya agar mereka mendaki Gunung Everest pula pada masa hadapan.
Dr Nazirudin membalas: “Saya ada niat juga, tapi belum lagi.”
Larian spontan itu, yang kira-kira menjangkau 3.5 kilometer dan memakan masa kira-kira 30 minit, diakhiri di Orchid Country Club selepas mereka bergambar beramai-ramai di jambatan Taman Kolam Air Lower Seletar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg