Pengorbanan pemandu bas wanita demi sesuap nasi
Seawal 3.15 pagi, Kapten Bas SBS Transit, Cik Nurkarmilawati Muhammad Ali, sudah mula menyediakan makanan sahur bagi dirinya dan dua anaknya yang berusia lapan dan sembilan tahun.
Beberapa biji kurma, pisang, bijirin oat dan multivitamin, menjadi makanan ruji setiap pagi sebagai pemberi tenaga dan pengalas perut buat Cik Nurkarmilawati, seorang ibu tunggal berusia 38 tahun.
Beliau kemudian bergegas ke Pusat Pertukaran Bas Sengkang, di mana bermula tugasnya memandu bas 159 dari 6 pagi hingga 2 petang.
Sepenat mana pun, Cik Nurkarmilawati tidak pernah terlintas untuk bertukar pekerjaan.
Minatnya tetap pada kenderaan beroda besar itu kerana tugas itu sudah sebati dengan dirinya sejak 2019.
Beliau malahan mempunyai lesen Kelas 4, yang membolehkannya memandu kenderaan berat, lori dan traktor dengan muatan melebihi 2,500 kilogram, serta bas mahupun bas sekolah.
“Saya memang minat dengan kenderaan berat dan beroda besar dan saya pun ada lesen Kelas 4.
“Sebelum ini, saya bekerja dalam bidang logistik selama enam tahun dan pandu lori besar. Tapi pada suatu hari itu, ibu saya mencadangkan supaya saya cuba pandu bas pula.
“Tak pernah terfikir nak cuba pandu bas kerana pemandu wanita tidak seramai pemandu lelaki. Jadi, kita tak selalu dapat lihat pemandu bas wanita.
“Tapi kerana ibu dah sarankan, jadi saya pun cubalah,” kongsi Cik Nurkarmilawati kepada Berita Harian (BH).
Beliau sebenarnya lega dan bersyukur hasrat ibunya melihatnya memandu bas tercapai sebelum orang kesayangan dalam hidupnya itu menghembuskan nafas terakhir pada Hari Raya Aidiladha pada 2024.
Ini merupakan Ramadan ketujuh Cik Nurkarmilawati menyambutnya sambil menggalas amanah sebagai pemandu bas.
Apabila ditanya tentang cabaran dan kesukaran memandu selama berjam-jam lamanya, beliau berkata kelelahan mula terasa sekitar 12 tengah hari.
Pada saat bahang sinar mentari memijar, di situlah rasa lapar dan dahaga memuncak bagi Cik Nurkarmilawati.
Bagaimanapun, kata-kata perangsang dan keprihatinan penumpang menjadi pendorong bagi dirinya untuk tetap bertahan dan meneruskan ibadah puasa.
“Sering kali penumpang bukan Melayu/Islam akan mengucapkan “Selamat Berpuasa” jika mereka melihat saya memandu.
“Kadangkala ada yang lupa dan tanya jika saya dah makan atau minum tetapi bila saya beritahu saya berpuasa, mereka akan meminta maaf dan memberi kata-kata semangat untuk saya bertahan sampai waktu berbuka.
“Ada juga penumpang yang memberi saya kurma dan minuman peket bila hampir waktu berbuka,” tambah beliau.
Mujurlah, syif beliau memberi Cik Nurkarmilawati ruang menjemput kededua anaknya dari sekolah dan membuat persiapan berbuka puasa dari 2 hingga 5 petang.
Kemudian, beliau akan sambung memandu bas berlainan, iaitu bas 660M, dari Enggor Street di Tanjong Pagar hingga ke perhentian terakhir di Buangkok Crescent, sebelum meletak bas itu di Depoh Bas Sengkang West.
Sebelum bergegas pulang pada 8 malam apabila syifnya tamat, Cik Nurkarmilawati akan berbuka puasa di dalam bas 660M dengan sebotol air dan beberapa biji kurma.
Beliau yang terpaksa meninggalkan anak-anaknya di rumah bagi memenuhi tuntutan tugas syifnya tidak menyifatkan segala yang dilakukan sebagai satu pengorbanan.
Ini kerana pada penghujung minggu apabila Cik Nurkarmilawati tidak bekerja, beliau akan meluangkan setiap detik bersama keluarga tercinta, seolah-olah bagi menggantikan masa yang hilang pada hari biasa.
“
Kadangkala ada yang lupa dan tanya jika saya dah makan atau minum tetapi bila saya beritahu saya berpuasa, mereka akan meminta maaf dan memberi kata semangat untuk saya bertahan sampai waktu berbuka.
