Sekitar 13,400 keluarga Melayu/Islam, termasuk isi rumah berpendapatan rendah akan menerima pek berisi makanan runcit yang lebih sihat pada 2025, di bawah rangkaian Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU) – peningkatan sekitar 3,000 keluarga, berbanding 2024, kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Beliau berkongsi demikian semasa acara mengagih pek berisi makanan runcit lebih sihat kepada 200 penerima berbilang bangsa dan agama di Kelab Masyarakat Gek Poh Ville pada 23 Mac.
Cik Rahayu menambah bahawa pek tersebut dialu-alukan oleh benefisiari sempena bulan Ramadan dan ia adalah peluang untuk turut mendidik dan berkongsi pengetahuan tentang cara mengekalkan gaya hidup sihat.
“Tahun ini (2025), kami melihat peningkatan dalam jumlah penerima. Kami menjangkau kira-kira 13,400 keluarga dan ini merupakan peningkatan sebanyak 3,000 keluarga daripada tahun lepas (2024).
“Kami juga telah bekerjasama dengan Caregivers Alliance Limited, Pasukan Peningkatan Perkhidmatan Strok (SSI) dan MSD Pharma (Singapura) untuk memberi ceramah kesihatan bagi menggalakkan penduduk mendaftar untuk (program) SG Lebih Sihat (Healthier SG), dan berfikir tentang kehidupan yang lebih sihat, dan memasak makanan yang lebih sihat,” kata Cik Rahayu kepada wartawan.
Acara tersebut, yang juga merupakan acara berbuka puasa, turut disertai Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast Cik Foo Mee Har dan pakar bedah ortopedik, Dr Hamid Razak, wajah baru Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dilihat mendekati masyarakat di Jurong.
Pek yang diagihkan mengandungi barangan runcit dengan Simbol Pilihan Lebih Sihat seperti garam rendah natrium, sos dan perasa, minyak masak yang lebih sihat, ruji seperti beras perang bijian sempurna (wholegrain) dan bihun, serta minuman yang lebih rendah kandungan lemak dan gula tepunya.
Usaha tersebut bertujuan untuk menggalakkan keluarga mengamalkan tabiat pemakanan yang lebih sihat,
seperti mengurangkan penggunaan gula dan natrium, serta memilih pilihan makanan yang lebih sihat, menurut kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) pada 23 Mac.
Sebanyak 68 rakan kongsi masyarakat di bawah rangkaian JKJU telah bekerjasama dengan HPB untuk mengagihkan pek tersebut selama sebulan sejak 22 Februari hingga akhir Mac.
Sehingga 23 Mac 2025, lebih daripada 12,900 keluarga telah menerima pek berisi makanan runcit yang lebih sihat di kira-kira 70 lokasi, seluruh pulau.
Dalam pada itu, ditanya mengenai persiapannya untuk Pilihan Raya Umum (GE) menyusul laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) yang dikeluarkan pada 11 Mac, Cik Rahayu berkata:
“Ini adalah tempoh masa untuk kami bertemu dengan penduduk dan menyokong mereka. Kami sedang sibuk dan gigih melakukan itu.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg