Sekumpulan pekerja migran dari Bangladesh membuat kejutan untuk majikan mereka dengan bergotong-royong dan memasak makanan dari negara mereka bagi sambutan Hari Raya pada 31 Mac.
Beraneka jenis makanan itu dihidangkan dalam satu majlis khas di tempat kerja mereka, iaitu gudang syarikat ubah suai, Direct Contractor Pte Ltd, di Woodlands.
Majlis yang diadakan pada pagi Raya itu dihadiri oleh kira-kira 40 orang pekerja dan anggota keluarga yang turut datang untuk menjamu selera.
Selain pekerja, teman-teman dan saudara-mara yang bekerja di Singapura hadir sama dalam sambutan perayaan tersebut.
Majikan dan pemilik syarikat, Direct Contractor Pte Ltd, Encik Surean Sareman, 38 tahun, juga berbesar hati dijemput pada pagi Raya dan terharu dengan kerjasama pekerjanya itu.
“Saya tahu mereka berjauhan daripada keluarga, maka apabila mereka menganggap kita seperti sebuah keluarga dan mempunyai tempat yang selesa untuk merayakannya bersama, ia adalah sesuatu yang sangat bermakna,” ujar beliau.
Menurut isteri Encik Surean, Cik Azlina Wahid, 38 tahun, ini merupakan kali ketiga mereka bergotong-royong memasak bersama, namun buat kali pertama diadakan di pejabat baru mereka.
Majlis tidak dapat dianjurkan pada 2024 kerana syarikat itu sedang dalam proses pemindahan.
“Kami teruja dan berbesar hati mereka berganding bahu membuat semua persiapan ini atas dasar inisiatif sendiri dan menggunakan wang saku mereka sendiri,” kata Cik Azlina.
Syarikat itu mempunyai 20 pekerja migran yang terdiri daripada 16 pekerja dari Bangladesh yang beragama Islam dan empat pekerja India bukan Muslim.
Tukang masak utama, Encik Ahmad Bulbul, 28 tahun, dan Encik Ali Akbar, 38 tahun, berkata mereka turut menyediakan masakan kari daging kambing bagi menghormati teman sekerja yang beragama Hindu.
Antara masakan yang tersedia ialah nasi pulao, kari kambing, kari lembu, kari ayam, udang dan beberapa jenis manisan.
Sesi masak itu diadakan di dormitori mereka di North Coast Lodge, dan kemudian dibawa ke gudang tempat kerja di Polaris @ Woodlands.
“Kami mengambil lebih kurang empat jam untuk menyediakan kesemua masakan ini.
“Tujuan kami adalah untuk mengenalkan makanan tradisional Bangladesh kepada keluarga kami di sini dan menyambut Hari Raya bersama,” kata Encik Bulbul.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg