SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pelajar ITE ubah perspektif kejayaan hasil bimbingan mentor

Pelajar ITE ubah perspektif kejayaan hasil bimbingan mentor

Apr 12, 2026 | 8:01 PM

Pelajar ITE ubah perspektif kejayaan hasil bimbingan mentor

Dua tahun lalu, pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Nitec, Muhammad Ryan Danial Riduan seperti ramai rakan sebayanya – masih tercari-cari arah kehidupan dan belum mempunyai gambaran jelas tentang masa depan.

Kini, pada usia 19 tahun, dirinya sudah berubah sama sekali. Malah, beliau memiliki azam yang kuat untuk melanjutkan pengajian ke politeknik dan seterusnya ke universiti.

Ini, menurutnya, merupakan satu aspirasi yang dahulunya tidak pernah terlintas di fikirannya.

Semasa ditemui semasa Majlis Hari Raya Mendaki pada 12 April di Dusit Thani Laguna Singapore, Ryan berkata perubahan tersebut berlaku kerana bimbingan yang diberikan oleh mentornya, Encik Ian Teo, melalui program #amPowered@ITE anjuran Mendaki.

“Sebelum ini, saya hanya fikir untuk habiskan ITE, jalani Perkhidmatan Negara (NS) dan terus bekerja. Tanpa bimbingan beliau, saya mungkin tidak mempunyai hala tuju yang jelas,” ujar Ryan.

Encik Teo, 60 tahun, yang menjadi sukarelawan Mendaki sejak 2024, percaya pendekatan berteraskan empati dan keikhlasan merupakan kunci dalam membimbing pelajar.

Nilai-nilai menjadi sandaran Encik Teo dalam menggalakkan pelajar seperti Ryan untuk berkongsi matlamat hidup serta cabaran akademik yang dihadapi, termasuk isu keyakinan diri dalam pelajaran.

“Apabila kita membimbing dengan (ikhlas) hati, kita dapat menyelami cabaran mereka dan membantu mengubah cara mereka melihat diri serta masa depan,” katanya.

Semangat ini bukan sahaja terhad di bilik darjah, malah berterusan di luar sesi rasmi menerusi mesej WhatsApp yang sarat dengan kata-kata perangsang yang dikongsi Encik Teo.

Hasilnya, prestasi akademiknya menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan baru-baru ini.

Antaranya, beliau berjaya memperoleh tajaan pengajian selama tiga tahun daripada syarikat latihan industrinya untuk melanjutkan pelajaran ke politeknik, selain mencatat peningkatan GPA daripada 3.2 kepada 3.5 sepanjang pengajiannya di ITE.

Bagi Encik Teo, melihat perkembangan positif anak didiknya satu kepuasan yang sukar digambarkan.

“Jika mereka mampu melangkaui apa yang kita capai, itu sudah menjadi kebahagiaan terbesar bagi saya,” ujarnya.

Program #amPowered merupakan satu inisiatif bimbingan berstruktur yang bertujuan membantu pelajar Melayu/Islam berusia antara 15 hingga 18 tahun mengenal pasti kekuatan diri serta memaksimumkan potensi mereka.

Ia merangkumi beberapa cabang termasuk #amPowered@MAP bagi pelajar Menengah 3 hingga 5 dalam Program Pencapaian Mendaki (MAP), #amPowered@M3Towns bagi pelajar di kawasan M3Towns, serta #amPowered@ITE bagi pelajar tahun pertama Nitec di ketiga-tiga kolej ITE.

Sejak diperkenalkan pada 2019, program tersebut telah memadankan hampir 1,200 pelajar dengan lebih 400 mentor dalam tempoh setahun.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg