Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelan induk Marsiling 2030 tawar infrastruktur baru, inisiatif sosial buat penduduk

May 25, 2025 | 5:04 PM
Pelan Induk Marsiling 2030 (M2030) memberi tumpuan kepada usaha memperkasa masyarakat melalui penambahbaikan prasarana dan pelaksanaan inisiatif sokongan sosial, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad (tengah), yang juga Penasihat GRC Marsiling-Yew Tee.
Pelan Induk Marsiling 2030 (M2030) memberi tumpuan kepada usaha memperkasa masyarakat melalui penambahbaikan prasarana dan pelaksanaan inisiatif sokongan sosial, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad (tengah), yang juga Penasihat GRC Marsiling-Yew Tee. - Foto ZAOBAO

Estet perumahan Marsiling bakal menjalani usaha penambahbaikan menerusi pelan induk lima tahun yang menggabungkan peningkatan prasarana fizikal dengan langkah sokongan sosial, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.

Pelan Induk Marsiling 2030 (M2030) tersebut dilancarkan secara rasmi semasa acara ‘MY Marsiling $1 Deal’ yang diadakan dekat stesen MRT Marsiling pada 25 Mei.

Selain peningkatan infrastruktur, pelan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkasa penduduk dengan memperkukuh mobiliti sosial, keterhubungan dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh, tambah Encik Zaqy.

Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee itu berkata:

“Kita bukan sahaja ingin memberi sokongan kebajikan, malah memberi aspirasi dan harapan kepada mereka.

“Kita mahu memberi visi kepada penduduk Marsiling bahawa terdapat peluang untuk melakukan transformasi kepada estet perumahan matang.”

Di bawah pelan tersebut, sebanyak 11 laluan berbumbung baru dan 24 kemudahan akan diperkenal, termasuk Kelab Masyarakat Marsiling baru yang bertujuan menggalak lebih banyak kegiatan akar umbi dan memupuk hubungan erat antara penduduk.

Kelab masyarakat tersebut akan diperkenal menjelang 2026.

“Penambaikan tersebut diharap dapat membawa Marsiling ke tahap seterusnya,” ujar Encik Zaqy.

Sebuah kebun yang dinamakan Marsiling Urban Farm juga akan dibangunkan di Blok 2 Marsiling Drive, dengan kerjasama Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE). 

Menggunakan kaedah hidroponik, kemudahan tersebut akan mengagihkan hasil tanaman kepada penduduk setiap bulan, dengan jumlah pengeluaran sebanyak 400 kilogram setahun.

Inisiatif pertanian bandar itu bertujuan memupuk kemampanan dan daya tahan makanan, di samping mengukuhkan semangat kekitaan dalam kalangan penduduk.

Encik Zaqy berkata: “Ini adalah inisiatif daripada penduduk untuk penduduk.

“Kita mahu berkongsi hasil tanaman supaya penduduk juga dapat meraih manfaat daripada pertanian bandar ini.”

Penambahbaikan lain termasuk pembinaan 18 laluan berbasikal baru yang bertujuan meningkatkan keterhubungan di kawasan Marsiling.

Selain penambahbaikan infrastruktur, projek bilik darjah kontena akan diperkenal di Blok 180 Marsiling Road.

Bilik darjah kontena itu bertujuan menyediakan ruang yang selesa bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk belajar serta mengikuti kelas tuisyen dan program pembangunan diri.

Ia merupakan peluasan di bawah inisiatif ComLink+, susulan kejayaan pusat rintis Comlink di Blok 182A Marsiling Greenview.

Bagi membantu meringankan beban kos sara hidup yang dirasakan penduduk, Encik Zaqy berkata inisiatif ‘MY Marsiling $1 Deal’ yang dilancarkan pada 2025 menawarkan barangan keperluan harian seperti telur, tisu dan sabun pada harga hanya $1.

Inisiatif ‘MY Marsiling $1 Deal’ membantu penduduk Marsiling mengurangkan beban kos sara hidup dengan menawarkan barangan keperluan harian seperti sabun pada harga hanya $1.
Inisiatif ‘MY Marsiling $1 Deal’ membantu penduduk Marsiling mengurangkan beban kos sara hidup dengan menawarkan barangan keperluan harian seperti sabun pada harga hanya $1. - Foto ZAOBAO

“Kita akan meneruskan program ini selagi penduduk mempunyai kebimbangan mengenai kos sara hidup,” tambah beliau yang turut hadir di acara itu pada 25 Mei.

Dua sesi inisiatif itu telah dilaksanakan sejauh ini, dengan lebih 10,000 isi rumah dapat meraih manfaat daripadanya bagi setiap sesi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg