Masyarakat Melayu/Islam boleh menjangkakan pelbagai perkembangan penting dalam lima tahun mendatang, hasil sumbangan dan usaha masyarakat sendiri untuk terus membangun dan menjadi sebuah masyarakat gemilang, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Berkongsi dengan Berita Harian (BH) dalam wawancara ‘Sembang’ pada 28 April, Encik Masagos berkata lebih $10 juta telah berjaya dikumpul dan diikrarkan bagi Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) sejauh ini.
Hasil pulangan wakaf tersebut antara lain akan menjadi sumber pendanaan bagi Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), membiayai sebahagian kos pajakan tanah bagi masjid dan madrasah serta menyokong program sosioagama bagi generasi akan datang.
Sementara itu, beberapa struktur pentadbiran telah pun diwujudkan bagi SCIS, kata Encik Masagos, dengan beberapa ulama tersohor akan bersidang di Singapura pada Jun untuk sama-sama membincangkan bentuk kurikulum, prinsip dan pendekatan bagi kolej tersebut.
Mengulas lanjut tentang WMS, Encik Masagos berkata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sedang mendekati individu dalam masyarakat yang mempunyai kelebihan dan aset untuk menggalak mereka mewariskan sebahagian harta mereka kepada wakaf itu demi kebaikan masyarakat di masa depan.
“Saya gembira pada pertemuan yang pertama, mereka menyokong pembangunan WMS kerana ini adalah satu peluang bagi mereka mendapatkan pahala amal jariah dengan peninggalan (harta) mereka.
“Tetapi yang penting, mereka juga tahu bahawa memandang ke hadapan, kita perlu memperbaharui tempoh pajakan masjid kita yang mungkin dalam 40, 50 tahun dari sekarang.
“Kalau kita membebankannya kepada masyarakat akan datang, mungkin mereka tak dapat pikul. Tapi kalau kita kumpul sekarang dan kita menghasilkan juga pulangan yang baik, ini akan mengurangkan beban mereka,” kata beliau, sambil menambah masyarakat juga perlu menyumbang.
Dengan adanya bantuan sumbangan daripada generasi masyarakat hari ini, Encik Masagos berkata “ini bukan hanya dapat mengurangkan beban yang harus dipikul oleh generasi akan datang tetapi juga memberikan kita satu keyakinan bahawa masjid kita bukan hanya setakat 99 tahun, tetapi adalah wakaf yang berterusan (buat) selama-lamanya insya-Allah”.
Dalam pada itu, masyarakat juga boleh menanti-nantikan pembinaan dua masjid baru – satu di tapak sepanjang Tampines North Drive 5 yang akan dibina mulai 2027, dan satu lagi di estet baru Tengah.
Dahulu, apabila masjid pertama dibina pada sekitar 1973, kos pembangunan dan tanahnya berharga sekitar $1 juta. Namun, masjid di Tampines North yang akan dibina mulai 2027 nanti dianggarkan akan menelan belanja puluhan juta dolar.
“Jadi, bayangkan 50 tahun dari sekarang, apakah kos yang akan perlu ditanggung generasi akan datang? Kita tak boleh bina sahaja.
“Kita harus memikirkan juga bagaimana untuk memperbaharui (masjid) dan bagaimana ia menjejas masyarakat akan datang. Mungkin $50 juta, $60 juta yang harus diwujudkan untuk masjid-masjid lama yang harus diperbaharui,” kata beliau.
Mengenasi dua masjid baru yang akan dibina pula, Encik Masagos berkata belum ada lagi butiran lanjut tentang lokasi untuk masjid di Tengah, namun masjid itu dijangka terbina menjelang 2030.
Berkenaan SCIS pula, Encik Masagos berkata para ulama tersohor dari Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi, Universiti Al-Azhar di Mesir dan Universiti Jordan, serta ulama dari Arab Saudi juga akan berkumpul dengan ulama Singapura untuk membincangkan pembangunan kolej itu, yang akan menerima kohort pertama pelajar pada 2028.
Beliau turut menyenaraikan beberapa lagi perkembangan yang boleh dijangkakan masyarakat dalam lima tahun ini.
Antaranya, menteri dari Filipina, Thailand, Kemboja dan Singapura akan bertemu pada 2025 untuk membincangkan pembentukan forum pembangunan Masyarakat Gemilang di negara masing-masing.
Pada 2026, Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) yang ketiga akan diadakan – satu wadah untuk membincangkan cara bagi masyarakat minoriti maju dan hidup dalam masyarakat majmuk yang unik di negara masing-masing.
Pada 2026, kerja-kerja pembangunan semula di Taman Warisan Melayu, manakala pada 2027, kerja peningkatan Masjid Sultan akan selesai dijalankan, memberikan sinaran baru di kawasan Kampung Glam.
Sementara itu, pusat beli-belah Tanjong Katong Complex akan siap menjalani kerja-kerja peningkatan pada 2029, melengkapi Jalur Budaya Geylang Serai.
“Selepas itu, pada 2030, kita fikirkan pula bagaimana membina legasi di atas pencapaian tersebut.
“Oleh itu, banyak sekali yang boleh dicapai masyarakat apabila kita bersatu, apabila kita ada suasana damai dan juga mempunyai dana yang cukup kerana kekuatan ekonomi dan kesatuan kita untuk membangun semua mercu tanda yang kita perlukan,” kata beliau.
“
Tetapi yang penting, mereka juga tahu bahawa memandang ke hadapan, kita perlu memperbaharui tempoh pajakan masjid kita yang mungkin dalam 40, 50 tahun dari sekarang. Kalau kita membebankannya kepada masyarakat akan datang, mungkin mereka tak dapat pikul. Tapi kalau kita kumpul sekarang dan kita menghasilkan juga pulangan yang baik, ini akan mengurangkan beban mereka.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg