Mempunyai hiasan warna hitam dan putih, ringkas dan moden, namun tetap berpaksikan sejarah.
Terletak di 719 North Bridge Road, penampilan minimalis kedai makan, Sabar Menanti, yang telah diperbaharui dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menandakan kebangkitan semula bagi salah satu restoran Nasi Padang tertua di Singapura.
Usaha pembaharuan tersebut diterajui Encik Iszahar Tambunan, 46 tahun, pemilik generasi ketiga yang mengambil alih perniagaan keluarga pada hujung 2022 selepas lebih sedekad bekerja dalam industri perkapalan.
Dikendalikan pada 1990-an oleh ibunya, Cik Maryulis Bagindo Marlian, kini 71 tahun, Sabar Menanti bermula sebagai kedai makan kecil yang menyajikan makanan kepada pelaut dan jemaah haji yang singgah di pelabuhan Singapura.
Nama restoran itu, secara terjemahannya, melambangkan cara penyediaan hidangan yang perlahan dan teliti, serta semangat ketabahan keluarga itu yang kekal utuh sepanjang dekad.
Pada 9 Oktober, perniagaan itu tersenarai sebagai antara 42 perusahaan warisan yang diiktiraf di bawah Skim Perniagaan Warisan SG, yang menghargai jenama tempatan lama serta menyokong usaha mereka kekal mampan sambil memelihara warisan budaya negara.
Satu majlis khas telah diadakan pada 9 Oktober di Panggung Capitol, dengan Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, yang juga Menteri Negara Kanan (Pendidikan), hadir selaku tetamu terhormat.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), Encik Iszahar berkata: “Apabila orang bercakap tentang Nasi Padang di Singapura, nama pertama yang terlintas pasti Sabar Menanti.
“Kami telah bertaut di hati masyarakat Singapura selama beberapa generasi dan pengiktirafan ini mengingatkan kami juga sebahagian daripada sejarah Singapura.”
Namun, Encik Iszahar menyedari jurang antara generasi yang wujud, dengan dirinya bertekad menarik lebih ramai golongan muda datang merasai sejarah, dan mengenali apa itu Nasi Padang sebenar.
Keinginan untuk mendekati pelanggan muda itulah antara faktor yang mendorong perubahan rupa restorannya.
Reka bentuk hitam putih yang diperkenalkan selepas pandemik memberi sentuhan moden tetapi tetap klasik, menarik pelanggan baru tanpa menyingkirkan pelanggan lama.
Foto-foto lama berbingkai menghiasi dinding, memaparkan sejarah awal kedai makan itu.
Walaupun wajah restoran berubah, Encik Iszahar menegaskan inti Sabar Menanti terletak pada makanan dan kesabaran yang diperlukan untuk menyediakannya.
“Saya berpegang teguh kepada resipi ibu dan nenek saya.
“Kalau seseorang mahu makanan ‘fusion’, tempat ini bukan untuk mereka. Bila datang ke sini, bukan sekadar untuk makan — tetapi untuk merasai sejarah.”
Ibunya masih datang setiap hari untuk merasa dan memperhalusi setiap hidangan.
Rendang daging, hidangan istimewa restoran itu, terus dimasak mengikut cara tradisional, direbus dan dimasak secara perlahan di atas api kecil hingga mencapai warna pekat dan rasa karamel yang tersendiri.
“Kami masih menggunakan cara lama untuk lauk rendang kami.
“Ia perlahan, mengambil masa berjam-jam, dan tak boleh tergesa-gesa. Kesabaran di sebalik setiap periuk — itulah yang menjadikannya istimewa,” kata beliau yang merupakan pengganti tukang masak apabila perlu.
Seperti banyak perniagaan keluarga lain, Sabar Menanti turut berdepan pelbagai cabaran, daripada kos operasi yang meningkat, perubahan tabiat makan pelanggan hingga kekangan tenaga kerja.
Namun keupayaan restoran itu menyesuaikan diri tanpa mengorbankan identitinya memastikan ia terus bertahan bertahun.
Di bawah pimpinan Encik Iszahar, restoran itu kini menarik pelanggan lebih rencam.
Lawatan warisan juga sering berhenti di situ, memperkenalkan pengunjung kepada akar budaya Melayu-Indonesia di Kampong Gelam melalui makanan.
“Kami melihat pelancong dan juga pelajar tempatan datang untuk belajar tentang sejarah Nasi Padang. Apabila sudah mencubanya, barulah mereka faham mengapa orang terus kembali,” ujar beliau.
Bagi memastikan jenama itu kekal relevan, Encik Iszahar turut melancarkan Surya, sebuah cabang baru dinamakan sempena arwah adik perempuannya.
Ia menawarkan versi lebih ringan hidangan Padang dengan lebih banyak sayur-sayuran dan pilihan sihat — satu cara beliau bereksperimen tanpa menjejaskan identiti utama Sabar Menanti.
“Sabar Menanti akan kekal tradisional, tetapi Surya membolehkan saya mencuba sesuatu yang baru tanpa mengubah apa yang tempat ini wakili,” katanya.
Selepas berdekad lamanya, satu perkara tidak pernah berubah — tekad keluarga ini untuk mengekalkan semangat Sabar Menanti.
Mengenang semula, Encik Iszahar berkongsi: “Ibu saya bermula dengan hanya $20,000. Ada bulan beliau tak mampu bayar gaji pekerja, tapi beliau tidak pernah berputus asa. Ketabahan itu, itulah yang saya ingin teruskan.”
Beliau berharap agar anak kembarnya, yang berusia 13 tahun, akan menghargai nilai tersebut dan meneruskan legasi itu pada suatu hari kelak.
“Saya tidak memaksa mereka untuk mengambil alih. Tapi saya mahu mereka faham bahawa Sabar Menanti bukan sekadar perniagaan. Ia kisah tentang kesabaran, ketekunan dan kebanggaan.
“Itu sesuatu yang wajar dikekalkan,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg