Pemohon haji berusia 70 tahun ke atas yang telah menerima Surat Hasrat (LOI) serta disahkan sihat akan diberi keutamaan untuk menunaikan haji pada 2026, umum Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam satu sidang media pada 24 Oktober.
Satu kenyataan Muis berkata ia akan menyemak dan menyesuaikan pendekatan ini mengikut keperluan bagi proses pemilihan haji pada masa hadapan.
Golongan tersebut diberikan keutamaan selepas Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (Mohu) mengenakan kriteria kesihatan perubatan yang lebih ketat untuk ibadah haji 2026.
Muis telah mengumumkan bahawa hanya jemaah yang menerima sijil kesihatan dan bebas daripada penyakit kronik seperti penyakit buah pinggang dan penyakit jantung kronik akan dibenarkan menunaikan haji.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, mengalu-alukan sokongan masyarakat terhadap golongan warga emas serta menggariskan kepentingan menyokong golongan tersebut.
Berucap di sidang media yang diadakan di pejabat Muis, Dr Faishal berkata:
“Saya faham bahawa peraturan (baru) ini akan menjejas sebahagian jemaah kita, terutamanya mereka yang lebih berusia dan yang mempunyai masalah kesihatan.
“Muis akan melaksanakan langkah-langkah untuk menyokong masyarakat kita sepanjang proses ini bagi memastikan setiap orang mempunyai peluang yang adil untuk menunaikan haji.”
Kriteria kesihatan terkini itu adalah untuk mengesahkan bahawa mereka sihat dari segi perubatan, bebas daripada penyakit kronik, serta mempunyai keupayaan fizikal untuk melaksanakan ibadah haji dengan selamat.
Menurut Muis, individu yang berjaya mendaftar sebelum 7 Mac 2014 akan mula menerima LOI mereka untuk ibadah haji 2026 mulai 31 Oktober, menerusi portal Muis, MyHajSG.
Dr Faishal turut menambah menerusi interaksi beliau dengan jemaah haji pada 2025 semasa menghantar dan menyambut mereka pulang ke Singapura, beliau mendapati ramai yang memberikan maklum balas agar keutamaan diberikan kepada mereka yang lebih berusia.
Namun, beliau akur perlu adanya pendekatan yang seimbang disebabkan sistem giliran yang tersedia.
“Selepas menerima maklum balas ini, saya telah mengetengahkannya kepada Muis.
“Namun, untuk melakukannya (keutamaan kepada warga emas), kita juga perlu mengambil kira sistem giliran yang sedia ada dan, sambil memberi keutamaan, kita juga memastikan pendekatan yang seimbang dapat dicapai,” tambahnya.
Sementara itu, Dr Faishal turut berkongsi beliau akan meneruskan usaha memohon penambahan kuota haji untuk jemaah Singapura, dan akan ke Arab Saudi pada November untuk meneruskan perbincangan itu.
Setakat ini, kuota yang disediakan untuk jemaah Singapura pada 2026 ialah sebanyak 900.
“Kami sedang aktif berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi untuk memohon kuota yang lebih tinggi supaya lebih ramai masyarakat kami berpeluang mendapat peluang ini (menunaikan haji).
“Pada November, saya akan ke Arab Saudi di mana saya akan bertemu rakan sejawat untuk meneruskan perbincangan ini, dan melakukan segala yang boleh bagi memastikan lebih ramai orang dapat menunaikan ibadah yang penting ini,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg