Bahasa Melayu diangkat martabatnya di Singapura sebagai bahasa kebangsaan – menggariskan statusnya bukan semata-mata sebagai alat komunikasi, tetapi sebagai simbol sejarah, warisan dan identiti negara ini.
Seperti mana yang pernah ditegaskan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong: “Bahasa Melayu mempunyai kedudukan istimewa di Singapura – sebagai bahasa kebangsaan kita, dan sebagai jambatan kepada sejarah serta budaya yang kita kongsi bersama.”
Namun, hari ini kita berdepan satu hakikat yang tidak boleh disangkal: tahap penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Melayu di Singapura semakin merosot, bahkan menunjukkan tanda-tanda amaran.
Tanpa langkah intervensi yang tegas dan berstruktur, kita berisiko kehilangan satu aspek penting iaitu identiti kita sebagai bangsa Melayu. Implikasi ini bukan sahaja terhadap masyarakat Melayu itu sendiri, bahkan kepada prinsip dan keutuhan masyarakat majmuk negara kita.
Bagaimana cara kita meningkatkan penggunaan, sekali gus penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat kita?
Di peringkat sekolah, Kementerian Pendidikan (MOE) telah melakukan apa yang diperlukan untuk memastikan bahasa ibunda, termasuk bahasa Melayu, terus diberi penekanan yang secukupnya.
Malah, kaedah dan standard bahasa Melayu juga telah diubah suai untuk mengimbangi realiti kehidupan di Singapura hari ini dan keperluan untuk memastikan anak-anak bermotivasi untuk mendalami bahasa ibunda mereka.
Di peringkat prasekolah, penekanan pendidikan tidak begitu setara. Namun, dengan lebih banyak tempat di prasekolah yang dikendalikan MOE ditawarkan pada masa akan datang dan dengan usaha melatih lebih ramai guru bahasa Melayu di peringkat prasekolah, isu tersebut dapat ditangani.
Yang menjadi permasalahan ialah apabila anak-anak kita meninggalkan sistem persekolahan – termasuk apabila mereka melanjutkan pengajian di institut pendidikan tinggi (IHL).
Bagi golongan ini, banyak inisiatif yang diusahakan untuk mendorong penggunaan bahasa Melayu, termasuklah usaha yang dilakukan di peringkat nasional menerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dan usaha berterusan yang dilaksanakan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat seperti Persatuan Rakyat (PA).
Namun, sejauh ini, ia gagal meninggalkan kesan yang diharapkan.
Statistik Banci Penduduk Singapura 2020 menunjukkan, hanya 9.2 peratus penduduk berumur lima tahun dan ke atas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa yang paling kerap di rumah. Ini merupakan satu kemerosotan berbanding 12.2 peratus sedekad sebelumnya.
Keluarga Melayu yang menggunakan bahasa Melayu di rumah sebagai bahasa kedua pula ialah sekitar 5.1 peratus.
Seorang pemimpin negara bukan-Melayu, yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai cabaran bahasa ibunda, menyifatkan keadaan yang dihadapi bahasa Melayu sebagai “amat membimbangkan”.
Kebimbangan beliau yang dikongsi dalam satu dialog tertutup itu tidak salah tempat.
Jika dibandingkan, bahasa Mandarin contohnya beruntung kerana diberi nafas baru sejak sedekad, dua yang lalu dek kebangkitan negara China. Justeru ramai ibu bapa Cina semakin menggalakkan anak-anak mereka menguasai bahasa Mandarin.
Perkara ini disokong statistik. Hampir 30 peratus keluarga Cina menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa utama di rumah, menurut Banci Penduduk yang sama, manakala 56 peratus keluarga Cina menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa kedua paling kerap ditutur di rumah.
Dari sudut bahasa Tamil pula, bahasa dan budaya masyarakat India di sini boleh dipelihara dengan pendatang atau warga baru daripada India.
Justeru, berdepan dengan cabaran mendesak ini dan berlatarbelakangkan usaha yang telah pun diambil, apakah lagi yang boleh dilakukan? Atau segala usaha untuk meningkatkan penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu di Kota Singa ini sudah menemui jalan buntu?
Mungkin cara yang belum diteroka sepenuhnya ialah membiasakan penggunaan bahasa Melayu seluas-luasnya di Singapura sebagai sesuatu yang menjadi sebahagian daripada kehidupan, sekali gus memartabatkannya sebagai sesuatu yang penting, bukan dipinggirkan dalam acara-acara bahasa dan kebudayaan sahaja.
Ini memerlukan satu langkah strategik dan boleh diterajui pertubuhan utama Melayu/Islam seperti badan berkanun, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan badan bantu diri, Yayasan Mendaki.
Muis dan Mendaki boleh menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama yang digunakan dalam sebahagian besar komunikasinya dengan masyarakat dan acara-acara rasmi, sekiranya konteks acara tersebut membenarkan.
Saya akur bahawa kededua Muis dan Mendaki turut mendekati masyarakat Islam yang tidak bertutur dalam bahasa Melayu, contohnya masyarakat India dan Cina Muslim.
Namun, sebahagian besar acara yang bersasar kepada masyarakat Melayu boleh dijalankan dalam bahasa Melayu, dengan pilihan dwibahasa bila perlu.
Pertama, ia memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa fungsi dan bukan sekadar simbol semata-mata.
Apabila acara yang diterajui pertubuhan-pertubuhan utama masyarakat dijalankan dalam bahasa ibunda, ini memberi isyarat bahawa bahasa Melayu bukan hanya ‘bahasa tradisi’ tetapi bahasa masa kini, yang hidup dan digunakan sehari-hari.
Kedua, ia membuka peluang bagi pemimpin dan masyarakat Melayu untuk berinteraksi dalam bahasa Melayu secara rasmi dan meluas, sekali gus memperkaya pengalaman linguistik dan meningkatkan keyakinan penggunaan bahasa itu sendiri.
Ketiga, ia menyokong proses membiasakan penggunaan bahasa. Iaitu apabila kita sering mendengar, melihat dan menggunakan bahasa Melayu, maka perlahan-lahan ia mampu menjadi sebahagian daripada ruang sosial kita, bukan sekadar dalam bilik darjah sahaja.
Bahasa adalah salah satu komponen paling asas dalam membentuk dan memperkukuh identiti.
Jika bahasa Melayu terus menguncup dalam penggunaan harian dan rasmi, maka dekad demi dekad kita akan melihat trend kemerosotan yang sama dalam statistik banci penduduk, sebelum akhirnya warisan budaya, nilai dan naratif masyarakat Melayu Singapura terus terhakis.
Dengan lebih banyak acara dijalankan dalam bahasa Melayu sepanjang tahun, generasi muda dan pemimpin masyarakat akan mempunyai lebih banyak platform untuk berlatih, berucap dan berdialog dalam bahasa ibunda.
Masyarakat Melayu yang kukuh jati diri dan yakin berbahasa dan mengamalkan budayanya juga merupakan satu kekuatan bagi negara Singapura, yang berprinsipkan kehidupan pelbagai kaum.
Apabila masyarakat Melayu menunjukkan bahawa bahasa Melayu terus mekar dan relevan, ini mencerminkan bahawa mempertahankan warisan tidak bererti kita ketinggalan, sebaliknya kita menyumbang secara aktif kepada kerencaman nasional.
Tentunya, langkah ini bukanlah mudah.
Ia memerlukan penyesuaian, antara lain, penyediaan bahan yang sesuai, latihan untuk penganjur dan penceramah, dan pertimbangan kepada peserta bukan-Melayu atau yang kurang fasih berbahasa Melayu.
Tujuannya ialah untuk menetapkan dasar bahawa secara umum, acara masyarakat yang fokus kepada pembangunan, pendidikan, warisan dan kepimpinan Melayu - dilaksanakan dalam bahasa Melayu.
Harus wujud penilaian kontekstual bagi memilih acara-acara yang sesuai dan memastikan dalam mengadakannya dalam bahasa Melayu, mereka yang tidak fasih atau belum cukup fasih, tidak rasa diketepikan.
Diharapkan dengan pertubuhan-pertubuhan utama masyarakat melaksanakan dasar bahasa Melayu ini, lain-lain badan masyarakat juga akan mengikut jejak mereka.
Bagi saya, risiko jika kita gagal bertindak adalah nyata.
Bahasa Melayu berisiko menjadi ‘bahasa upacara’ sahaja - digunakan hanya dalam pengumuman atau simbolik - tetapi tidak menjadi instrumen harian.
Akhirnya, identiti masyarakat Melayu akan menjadi lemah - dan dalam kerangka Singapura yang menekankan integrasi dan pluralisme, kehilangannya bermakna satu suara budaya yang sepatutnya hidup akan pudar.
Akhir kalam, dalam era globalisasi dan arus Inggeris yang mendominasi, tugas memperjuangkan bahasa Melayu di Singapura bukanlah sesuatu idea yang ‘romantik’ semata-mata. Malah, ia adalah penting dan strategik.
Seperti yang ditegaskan oleh PM Wong, bahasa Melayu “mempunyai kedudukan istimewa di Singapura” sebagai jambatan sejarah dan budaya.
Pertubuhan seperti Muis dan Mendaki, bersama-sama dengan badan-badan Melayu yang lain, mempunyai peranan penting dalam memulihkan dan mengaktifkan bahasa ini dalam konteks masyarakat kita, dan memelihara kedudukan istimewa tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg