Kehilangan pendapatan bukanlah perkara yang paling membebankan fikiran Cik Hani Isnin-Racine apabila beliau terpaksa menutup gerainya selama hampir dua bulan.

Sebaliknya, keprihatinan beliau tertumpu kepada pelanggan yang selama ini bergantung pada makanan mampu milik di The $2.50 Shop, khususnya warga emas dan keluarga yang tinggal di flat sewa sekitar Jalan Kukoh.

Maka, meskipun gerainya ditutup dua bulan bagi membolehkannya menjaga ibu bapanya yang uzur, peniaga berusia 41 tahun itu telah menyediakan juadah seperti mi goreng dan nasi lemak yang diletakkan di luar gerainya yang terletak di Pusat Penjaja Kukoh 21.

Makanan itu tidak dijual, tetapi dihadiahkan secara percuma setiap hari kepada penduduk di estet kejiranan itu sehingga gerai dibuka semula pada 6 Julai.

Sepanjang tempoh hampir dua bulan gerainya tidak beroperasi, Cik Hani Isnin-Racine tetap menyediakan makanan percuma setiap pagi kepada penduduk sekitar Jalan Kukoh yang bergantung pada gerainya untuk mendapatkan hidangan harian.
Sepanjang tempoh hampir dua bulan gerainya tidak beroperasi, Cik Hani Isnin-Racine tetap menyediakan makanan percuma setiap pagi kepada penduduk sekitar Jalan Kukoh yang bergantung pada gerainya untuk mendapatkan hidangan harian. - Foto HANI ISNIN- RACINE

“Saya lebih risau kalau mereka tiada makanan... sudah bertahun saya mengenali mereka. Ada yang bergantung pada gerai saya untuk mendapatkan makanan harian sebelum mengambil ubat dan ada juga yang tinggal bersendirian.

“Jadi, kalau saya tutup sepenuhnya, mereka nak makan apa? ” katanya.

Menggunakan makanan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat sebenarnya terpaut pada ‘DNA’ kedai The $2.50 Shop itu.

Enam tahun lalu, ia ditubuhkan dengan tujuan menjual makanan pada harga yang dimampui penduduk di kejiranan tersebut.

Pada mulanya, hidangan Melayu seperti nasi lemak, nasi rawon, mi rebus, mi soto, nasi ayam dan lontong dijual pada harga antara $3 hingga $4.50.

Pada November 2023, Cik Hani kemudian mengambil keputusan untuk menetapkan harga $2.50 bagi setiap hidangan.

Harga itu kekal sehingga kini dan beliau bertekad untuk tidak mengubahnya walaupun berdepan peningkatan kos bahan mentah dan operasi.

“Saya buka gerai ini untuk masyarakat. Saya hanya mahu menyumbang seadanya dan berbuat apa yang termampu untuk masyarakat di sini,” kata Cik Hani.

“Saya mahu mereka masih ada maruah dan kebebasan memilih. Dengan $10 mereka masih boleh beli empat hidangan. Mereka tidak rasa mereka sedang meminta-minta,” tambahnya lagi.

Berita Harian (BH) kali pertama menerbitkan laporan mengenai Cik Hani dan gerainya pada 2023, apabila beliau menurunkan harga semua hidangan di gerainya kepada $2.50 sebagai respons terhadap peningkatan kos sara hidup.

Sejak itu, gerainya telah dipaparkan secara lebih kerap di pelbagai wadah media.

Namun, beliau berkongsi pendapatannya telah merosot dalam tempoh itu. Malah, bagi kebanyakan hari, beliau langsung tidak meraih sebarang pendapatan, kata Cik Hani.

Malah, keadaan menjadi lebih meruncing sejak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dinaikkan kepada sembilan peratus pada Januari 2024, dengan tekanan kos ini semakin dirasakan apabila harga bahan mentah, utiliti dan perbelanjaan operasi terus meningkat, kata Cik Hani lagi.

Beliau kini membelanjakan sekitar $500 sehari untuk membeli bahan mentah seperti daging, sayur-sayuran dan keperluan memasak lain. Ini tidak termasuk harga kira-kira 50 kilogram beras yang dibelinya setiap empat hari.

Membeli bahan mentah dan beras secara pukal lebih menjimatkan, kata Cik Hani, tetapi beliau mempunyai ruang yang terhad dan terpaksa membeli bekalan dalam kuantiti kecil hampir setiap hari.

Menurut Cik Hani, ada yang tertanya-tanya sama ada harga $2.50 realistik bagi juadah yang dijualnya. Namun Cik Hani berkata harga yang dianggap rendah itu mungkin terlalu tinggi bagi golongan yang kurang mampu.

“Masih ada pelanggan yang datang dengan 80 sen sahaja. Saya tak sampai hati suruh mereka makan sekeping kuih sahaja, dan beri mereka makanan yang lebih mengenyangkan, “ katanya.

Sepanjang hampir enam tahun mengendalikan The $2.50 Shop, pelanggan-pelanggannya bukan lagi sekadar pelanggan, malah sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya ujar Cik Hani

“Gerai ini sudah menjadi sebahagian hidup saya. Selama ini, tujuan saya bukan sekadar menjual makanan, tetapi berkhidmat kepada masyarakat di sini. Sebab itu, kalau satu hari nanti saya tidak lagi mampu meneruskannya, saya rasa seperti kehilangan tujuan hidup,” katanya.