Pendekatan semuka dengan pelanggan teras identiti perniagaan makan
Pendekatan semuka dengan pelanggan teras identiti perniagaan makan
TigaFolks & Co kembali ke bazar Ramadan Gemilang Kampong Gelam 2026, bakal perkenal hidangan baru
Berbekalkan pengalaman mengendalikan stesen masakan secara langsung, pengasas TigaFolks & Co, Encik Muhammad Faris Khaled, percaya pendekatan bersemuka dengan pelanggan kekal sebagai teras identiti jenamanya.
Ini meskipun landskap perniagaan makanan dan minuman (F&B) kini semakin didorong oleh wadah digital.
Ditubuhkan pada 2016 bersama dua lagi pemilik lain, iaitu Encik Ahlami Sardani dan Encik Muhammad Firdaus Razali, TigaFolks bermula dengan mengendalikan stesen masakan di majlis perkahwinan sebelum melangkah ke festival makanan berskala besar seperti Celebfest.
Menurut Encik Faris, pendekatan seperti itu menjadi peluang yang sering dinantikan kakitangan beliau untuk berinteraksi secara langsung dengan pelanggan mereka.
“Festival makanan memberi kami peluang untuk berinteraksi secara bersemuka dengan pelanggan yang telah lama menyokong kami.
“Bagi saya, interaksi sedemikian sukar digantikan, meskipun operasi kami kini turut dijalankan melalui platform digital,” katanya.
Disebabkan itu, kembalinya syarikat tersebut ke bazar Ramadan Gemilang Kampong Gelam 2026 yang bakal dibuka pada 11 Februari amat dinantikan, setelah terpaksa menangguhkan segala rancangan untuk menyertai bazar secara fizikal akibat pandemik Covid-19.
Dalam tempoh itu, perniagaan itu telah memperluaskan tawarannya kepada perkhidmatan ‘mangkuk tingkat’ dan katering korporat, yang kini menjadi tunjang utama operasinya.
“Sepanjang tempoh itu, kami banyak memberi tumpuan kepada proses di sebalik tabir, termasuk membina dapur pusat kami di Bukit Batok, menguruskan pesanan korporat dan menstabilkan operasi harian.
“Namun begitu, ramai pelanggan kami masih bertanya jika kami akan kembali (membuka gerai secara fizikal) dan bersemuka dengan orang ramai,” ujar beliau.
Meskipun menerima permintaan begitu, keputusan untuk kembali ke bazar berskala besar itu tidak hadir tanpa cabaran tersendiri.
Selain berdepan peningkatan kos bahan mentah dan kekangan tenaga kerja, beliau turut akur kebimbangannya dalam menguruskan beberapa cabang operasi secara serentak sepanjang Ramadan.
“Seperti perniagaan lain, harga bahan mentah terus meningkat, kerana ia semakin sukar untuk mendapatkan pembekal yang mampu memenuhi permintaan kami.
“Pada masa yang sama, kami juga perlu memastikan operasi berjalan secara lancar tanpa menjejaskan kebajikan kakitangan,” katanya.
Dalam menghadapi cabaran tersebut, pasukan itu, yang terdiri daripada hanya tujuh kakitangan, dibahagikan kepada beberapa kumpulan khusus, masing-masing memberi tumpuan kepada operasi bazar Ramadan dan perkhidmatan lain yang ditawarkan.
“Langkah ini diambil bagi memastikan setiap segmen operasi dapat diuruskan dengan lebih tersusun.
“Kami sedar ini satu ujian. Namun, bazar Ramadan kali ini menjadi medan untuk melihat sama ada sistem yang kami bina sepanjang tiga tahun cukup kukuh,” katanya.
Dalam pada itu, Encik Faris turut berkongsi keterujaannya untuk membawa kembali hidangan yang pernah melonjakkan nama TigaFolks, termasuk pasta dan tulang rusuk, dengan beberapa penyesuaian dibuat, mengikut selera semasa.
“Platform seperti bazar Ramadan juga memberi kami peluang untuk memperkenalkan hidangan baru, termasuk juadah ‘fusion’ yang menggabungkan cita rasa Barat dan Jepun,” jelasnya.
Jika sambutan menggalakkan, beliau berharap penyertaan kali ini dapat membuka jalan kepada lebih banyak acara bersemuka pada masa hadapan, sekali gus mengimbangi kekuatan digital dan pengalaman fizikal yang menjadi asas penubuhan TigaFolks hampir sedekad lalu.
“Kami bertekad untuk terus memberi pelanggan pengalaman bermutu seperti sejak hari pertama dan berharap penyertaan di bazar Ramadan ini dapat diterima baik oleh orang ramai,” katanya.
“
Festival makanan memberi kami peluang untuk berinteraksi secara bersemuka dengan pelanggan yang telah lama menyokong kami. Bagi saya, interaksi sedemikian sukar digantikan, meskipun operasi kami kini turut dijalankan melalui platform digital.
