Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenduduk Joo Chiat bantu bentuk visi kelab masyarakat baru
Penduduk Joo Chiat bantu bentuk visi kelab masyarakat baru
Bangunan 4 tingkat tawar kemudahan dewan sukan, studio muzik dan tarian, kedai F&B; bakal siap jelang 2030
Penduduk Joo Chiat bantu bentuk visi kelab masyarakat baru
Keperluan penduduk harus diberi keutamaan dalam membangunkan kelab masyarakat, termasuk mengambil kira keperluan kawasan sekitar dan memahami demografi penduduk, kata Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong.
Ini kerana setiap kawasan berbeza identiti dan keperluan, justeru ada baiknya pendekatan bersifat tempatan diterapkan, antaranya melalui pembentukan majlis penasihat khas, tambahnya.
Encik Tong, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast di kawasan Joo Chiat, membentangkan visi bagi sebuah kelab masyarakat (CC) yang baru untuk penduduk Joo Chiat dalam satu acara pada 18 Julai.
“Kita tidak boleh menganggap bahawa Persatuan Rakyat (PA) tahu apa yang penduduk perlukan, kerana setiap kawasan mempunyai keperluan dan identiti berbeza, dan setiap CC juga terletak bersebelahan dengan kemudahan berbeza.
“Kita mesti memikirkan tentang kemudahan di sekitar CC dan bagaimana ia harus saling melengkapi dan tidak bersaing,” kata Encik Tong apabila ditemui media.
Acara itu diadakan di lelapang bersebelahan bangunan DBS Treasures@Siglap di Upper East Coast Road, yang juga bakal menjadi tapak kelab masyarakat baru itu.
Ia turut dihadiri AP GRC East Coast lain termasuk Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash, dan Cik Hazlina Abdul Halim, serta sekitar 1,200 penduduk.
Acara itu menyaksikan Encik Tong membentangkan reka bentuk dan ciri-ciri yang bakal ditampilkan kelab masyarakat yang baru itu, serta pembentukan Majlis Penasihat Khas Joo Chiat, yang pertama seumpamanya dalam kalangan semua kelab masyarakat di sini.
Majlis penasihat itu menghimpunkan penduduk daripada pelbagai latar belakang termasuk sukan, seni dan perniagaan untuk “menyediakan idea, kepakaran profesional dan nasihat strategik” bagi membentuk program, jalinan kerjasama dan inisiatif masyarakat, kata Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan Pejabat Kawasan Undi Joo Chiat dalam satu kenyataan bersama pada 18 Julai.
Kenyataan itu menambah bahawa pembangunan kelab masyarakat yang baru itu akan menggantikan Kelab Masyarakat Siglap South sedia ada yang dibina pada 1960, terletak kira-kira 600 meter dari tapak baru.
Menurut kenyataan itu lagi, reka bentuk dan fungsi kelab masyarakat baru itu mengambil kira maklum balas penduduk sekitar, dalam apa yang disifatkan kedua-dua badan sebagai “usaha penglibatan masyarakat Joo Chiat yang paling meluas”.
SLA dan Pejabat Kawasan Undi Joo Chiat berkata: “Visi bagi kelab masyarakat yang baru dibentuk bukan sahaja oleh penduduk yang menghadiri dialog, tetapi oleh sukarelawan, pendidik, arkitek, artis, ahli muzik, personaliti sukan, pemilik perniagaan dan pemimpin akar umbi yang dengan rela hati menyumbangkan masa dan kepakaran profesional masing-masing.
“Sumbangan kolektif mereka bantu memperhalusi kemudahan dan hala tuju masa depan kelab masyarakat, sekali gus memastikan ia mencerminkan aspirasi, warisan dan identiti Joo Chiat.”
Pembinaan kelab masyarakat baru ini dijangka bermula pada 2026 dan dijangka mula beroperasi menjelang 2030. Ia bakal meliputi kawasan sekitar 8,000 meter persegi (sqm); merangkumi empat tingkat dan dua aras bawah tanah bagi meletak kereta.
Ini sekitar dua kali ganda lebih luas berbanding kawasan semasa Kelab Masyarakat Siglap South iaitu 4,600sqm, kata kenyataan itu.
Penduduk boleh menjangkakan pelbagai kemudahan termasuk dewan sukan serbaguna yang menyokong badminton, bola pikel dan acara masyarakat, trek joging, gimnasium, studio muzik dan tarian, serta kedai makanan dan minuman.
Menyentuh tentang pembentukan Majlis Penasihat Khas Joo Chiat, Encik Tong berkata pendekatan ini tidak akan dijadikan sebagai satu kewajipan bagi kelab masyarakat baru pada masa akan datang, kerana ia bergantung pada permintaan dan keperluan kelab masyarakat masing-masing.
Namun, ia “inisiatif baik untuk saling berkongsi pendapat dan mengambil pendekatan lebih luas” supaya lebih banyak idea dapat diperolehi, tambahnya lagi.
Sebagai respons kepada pertanyaan Berita Harian (BH), jurucakap PA berkata Majlis Penasihat Khas Joo Chiat ini ditubuhkan “khusus untuk menyokong pengaturcaraan, identiti dan pembangunan jangka panjang” kelab masyarakat baru itu.
Ia berbeza daripada majlis penasihat bagi hab bersepadu masyarakat (ICH) seperti Our Tampines Hub (OTH) dan Wisma Geylang Serai, kata PA, kerana majlis penasihat ICH sebegini menghimpunkan pelbagai agensi dan rakan kongsi di bawah satu bumbung.
Encik Tong menukil contoh idea yang diketengahkan pemain badminton negara, Cik Yeo Jia Min – salah seorang anggota majlis penasihat khas itu dan penduduk Joo Chiat – yang mengusulkan pemasangan lantai gelanggang badminton yang dapat mengurangkan kecederaan lutut dan mesra warga emas.
“Jia Min memberitahu saya lantai gelanggang badminton penting… kerana jika lantainya keras, warga emas lebih cenderung mengalami kecederaan lutut (hasil daripada impak gerakan).
“Kami mengambil maklum balas itu secara serius dan meminta pihak kontraktor dan perunding untuk mendapatkan lantai yang lebih sesuai (untuk dipasang di kelab masyarakat baru),” ujar beliau.
Veteran akar umbi dan seorang lagi anggota Majlis Penasihat Khas Joo Chiat, Encik Abdullah Shafiie Mohamed Sidik, berkata beliau menjangkakan kegiatan di kelab masyarakat baru itu akan lebih berteraskan teknologi dan melibatkan penduduk.
Beliau, yang juga mantan pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat Siglap South, berkata:
“Kegiatan hari ini sangat berbeza (daripada sebelum ini) kerana ia melibatkan penggunaan peranti terkini dan lebih cenderung ke arah penggunaan teknologi. Jadi kegiatan yang ditawarkan kelab masyarakat juga harus ada unsur itu.”
Dalam pada itu, menjawab pertanyaan BH berkenaan masa hadapan Kelab Masyarakat Siglap South, menyusuli pembangunan kelab masyarakat yang baru, jurucakap PA berkata ia sedang mengkaji rancangan lanjut dan butiran akan dikongsi apabila ia tersedia.
