Selama sedekad, pemilik bersama dan pengarah Dutch Colony Coffee Co, Encik Mohamad Suhaimi Sukiman, telah mengorak langkah memulakan kumpulan berkepentingan yang mendedahkan pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) kepada pembikinan kopi.
Bermula daripada Kolej Timur pada 2014, program itu berkembang kepada dua lagi kawasan – Kolej Barat dan Kolej Central sehingga 2024.
Ia bukan sekadar bertujuan mengajar cara membuat kopi, tetapi juga menanam keyakinan dalam diri pelajar bahawa mereka mampu berjaya dalam bidang lain, sama sepertinya yang merupakan graduan ITE yang telah melalui cabaran pembelajaran serta buta warna.
Hasilnya, pelajar mendapat pekerjaan di bawah beliau di Dutch Colony dan kafe lain.
Dengan berkat usaha tersebut, Encik Suhaimi merupakan antara 12 felow program persahabatan (fellowship) yang pertama di bawah Cabaran Presiden (PC).
Beliau akan menerima dana sebanyak $10,000 bagi melaksanakan program bagi membangunkan pelajar, dan dengan sokongan dana tambahan, beliau berhasrat untuk memperkukuh lagi program tersebut.
“Program yang saya jalankan sejak 2014 telah beri impak kepada ratusan peserta.
“Menerima fellowship ini ialah sesuatu yang sangat hebat kerana kami berpeluang untuk bekerjasama dengan ITE secara langsung, dan benar-benar membuat perbezaan,” ujar bapa empat anak yang berusia 42 tahun itu kepada Berita Harian (BH).
Felow program itu diumumkan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam di acara yang berlangsung di Mediacorp pada 2 November.
Bercakap kepada wartawan di acara tersebut, Tuan Presiden berkata:
“Mereka dipilih kerana masing-masing merupakan contoh teladan dan pemangkin kepada kebaikan sosial.
“Kami memilih individu daripada pelbagai latar belakang, ada yang melalui kehidupan yang sangat mencabar, tetapi semuanya komited untuk melakukan kebaikan sosial, dan ada di antara mereka yang menghadapi zaman kanak-kanak yang sangat sukar.”
Fellowship itu mempunyai tiga laluan utama – Manfaat Sosial (Civic Action), Pemerkasaan Semula Potensi (Springboard) dan Inspirasi ITE (ITE Inspire).
Manfaat Sosial memberi kuasa kepada karyawan dan sukarelawan sektor sosial bagi memperdalam kepakaran dan membangunkan pendekatan baru demi mencapai kebaikan sosial.
Mereka diberi peluang cuti sepenuh atau separuh masa selama satu hingga dua tahun.
Pemerkasaan Semula Potensi pula memberi kuasa kepada individu yang bangkit daripada kesukaran besar, dan membantu mereka meneroka laluan baru melalui pendidikan, pembangunan kemahiran atau latihan keusahawanan.
Sementara itu, Inspirasi ITE, mengiktiraf individu yang berjaya dalam kerjaya atau keusahawanan selepas pendidikan teknikal, dan menjadikan mereka sebagai mentor serta contoh kepada belia dan masyarakat.
President’s Challenge bekerjasama dengan Yayasan Quantedge, Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Temasek dan Yayasan Temasek, Institut Pengurusan Singapura (SIM), ITE serta Yayasan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBFF) bagi menyokong program Fellowship ini dengan memanfaatkan kepakaran, rangkaian, dan keupayaan masing-masing.
Tuan Presiden turut menyebut dua individu Melayu/Islam yang menerima pengiktirafan fellowship itu – Encik Suhaimi dan Cik Nur Shahirah Omar.
“Encik Mohamad Suhaimi menghadapi kesukaran mengimbangi pelajaran dan menjaga ibunya yang sakit, selain mengalami kesan daripada buta warna ketika belajar di ITE.
“Manakala Nur Shahirah, seorang ibu tunggal tiga anak, telah melalui hubungan penderaan,” katanya.
Tuan Presiden menambah persamaan di kalangan 12 felow itu ialah mereka semua berkomited untuk memperbaiki diri, menimba ilmu, dan membantu orang lain mengatasi cabaran serupa.
“Itulah sebabnya mereka dipilih sebagai felow bagi Fellowship Cabaran Presiden,” ujar beliau.
Semasa dihubungi, Encik Suhaimi, yang diberi laluan Inspirasi ITE berkata, beliau gembira dengan penghormatan tersebut yang menurutnya “satu keyakinan teguh bahawa secawan kopi mampu memberi impak yang besar dalam kehidupan seseorang”.
“Mendapat fellowship ini terasa seperti ‘full circle’.
“Daripada seorang pelajar ITE yang pernah perlu buktikan kemampuan bahawa saya juga mampu berjaya walaupun prestasi akademik saya tidak begitu cemerlang, kepada kesempatan untuk mencipta peluang bagi orang lain pula.
“Kopi boleh menjadi lebih daripada sekadar minuman; ia boleh menjadi jambatan yang menghubungkan tujuan, kemahiran, dan sumbangan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau merancang untuk memperkenalkan program ‘Brew Your Career’ bagi membantu pelajar melihat potensi kerjaya dalam bidang kopi, menjadikannya wadah bagi membina kemahiran boleh alih, serta menggalakkan inovasi dan keusahawanan.
Dana yang diterimanya juga akan digunakan dalam bidang seperti pelaburan bagi peralatan dan tenaga pengajar untuk menjalankan bengkel kopi bagi pelajar ITE tentang ideasi dan keusahawanan.
Idea beliau termasuk galeri yang berkongsi mengenai kopi, menubuhkan gerai kopi di ITE yang dikendalikan oleh pelajar, menubuhkan podcast untuk pelajar ITE oleh pelajar ITE, dan menubuhkan CCA berkaitan kopi bagi ITE dan institusi pendidikan lain.
Bagi Cik Shahirah pula – yang diberi laluan Pemerkasaan Semula Potensi – beliau bertekad melanjutkan pengajian sarjana muda separuh masa dalam jurusan Kaunseling di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) pada 2026.
Melalui laluan itu, beliau akan diberi seorang mentor untuk membimbingnya ke arah apa yang ingin dicapai dalam pengajiannya serta sokongan kewangan.
Cik Shahirah pernah melalui dua penceraian dan hubungan penderaan, yang mendorong minatnya dalam sektor psikologi. Beliau berhasrat untuk menggunakan ilmu kaunseling bagi membantu kanak-kanak dan wanita yang senasib dengannya.
Tidak menyangka dan bersyukur dengan peluang yang diberikan, beliau berkata, anak-anaknya menjadi pendorong utama untuk terus berusaha.
Berkongsi pengalaman ketika duduk bersama anak perempuannya, Cik Shahirah berkata:
“Saya tanya anak perempuan saya, ‘Apa yang kamu ingin jadi bila besar nanti?’
“Jawapannya agak mengejutkan – dia kata, ‘Saya nak jadi macam mama.’ Saya belum lagi sampai tahap dianggap contoh sempurna, tetapi kata-kata itu memberi saya semangat untuk berusaha sebaik mungkin dalam apa jua yang saya lakukan.”
Beliau bertekad untuk tidak menyerah dalam kehidupan, termasuk membesarkan anak-anak dan bekerja untuk mereka.
“Saya katakan kepadanya, ‘Kalau nak jadi macam mama, jadilah lebih baik daripada mama.’
“Kini, saya bersyukur kerana anak-anak saya dibesarkan dengan adab dan tatatertib asas yang betul, setakat kemampuan saya untuk menyediakan mereka,” tambah beliau.
Di samping itu, Cik Shahirah juga aktif menjadi sukarelawan dengan Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) dan telah menamatkan kursus dalam Kecerdasan Emosi dan Psikologi menerusi SkillsFuture.
Beliau juga mempunyai diploma dalam bidang Perniagaan dari PSB Academy.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg