Skim seperti pengaturan kerja fleksibel atau latihan kemahiran diperlukan bagi memastikan wanita kekal dalam pasaran pekerja.
Ini memandangkan mereka masih memikul banyak tanggungjawab domestik, kata mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, pada 28 Oktober.
“Jika mahu wanita terus menjalani kehidupan yang berdaya penghasilan dari segi ekonomi, perlu dipastikan skim-skim tersebut ada untuk menyokong mereka,” katanya.
Walaupun wanita semakin ramai dalam tenaga kerja dan maju dalam pendidikan serta kerjaya, tuntutan masyarakat terhadap tugas wanita sebagai penjaga, masih belum banyak berubah, katanya, lapor The Straits Times (ST).
“Beberapa perubahan sedang berlaku untuk kebaikan masyarakat, tetapi tidak cukup cepat,” tambahnya, sambil menyatakan bahawa tanggungjawab menjaga dan mengasuh anak masih banyak dipikul oleh wanita hingga hari ini.
“Secara jujurnya, apabila kita bercakap tentang kemajuan dan pembangunan wanita, ia sentiasa merupakan satu proses yang masih berlaku,” ujar Puan Halimah.
Beliau yang juga Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), berkata demikian ketika berucap dalam sesi perbincangan santai di YWCA Fort Canning.
Lebih banyak boleh dilakukan di tempat kerja untuk menyokong wanita dalam tanggungjawab keluarga dan kerjaya, selaras dengan perubahan dasar, katanya, sambil memberi contoh pada masa lalu yang menyumbang kepada kemajuan hari ini.
Contohnya, dahulu terdapat kuota untuk bilangan pelajar perubatan wanita.
“Pemikiran lapuk” pada masa itu ialah wanita lebih cenderung untuk berhenti atau bekerja sambilan, kata Puan Halimah.
Dasar tersebut dimansuhkan pada 2003.
Kakitangan awam wanita juga dahulunya menerima ganjaran perubatan yang kurang berbanding rakan sekerja lelaki mereka, tambahnya.
Mulai 2005, kakitangan awam wanita yang berkahwin menerima manfaat penjagaan kesihatan tanggungan yang sama dengan rakan sekerja lelaki mereka.
“Anda boleh melihat dasar, peraturan, undang-undang berubah untuk mencerminkan perubahan dalam masyarakat, dan itulah yang perlu kita lakukan sepanjang masa,” katanya.
Berkenaan kerja fleksibel, Puan Halimah berkata salah satu cabaran adalah memastikan gaji kerja sambilan cukup untuk wanita dan keluarga mereka.
Memadankan mereka dengan pekerjaan yang sesuai mengikut kekangan masa mereka dan mengurangkan masa perjalanan juga sangat penting, tambahnya.
Cabaran lain adalah mereka yang kembali memasuki pasaran pekerja selepas menjalankan tugas penjagaan juga perlu memperbaharui atau mengemas kini kemahiran mereka, katanya.
Presiden YWCA, Cik Sim Hwee Hoon, memetik data yang menunjukkan lebih 60 peratus penjaga tidak formal dan lebih 80 peratus yang meninggalkan pasaran pekerja kerana tanggungjawab penjagaan, adalah wanita.
YWCA, badan amal wanita pertama dan yang paling lama berkhidmat di Singapura, akan memperkenalkan pilihan bagi pekerja untuk bekerja hanya setengah minggu mulai Januari 2026.
Ini akan menyokong wanita, khususnya yang menjaga anak dan ibu bapa yang semakin tua, untuk mencapai keseimbangan yang lebih baik antara kerja, keluarga, dengan kesejahteraan peribadi, kata Cik Sim.
Langkah itu diharapkan dapat memberi inspirasi kepada pertubuhan lain agar menerima aturan kerja fleksibel yang serupa, tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg