Institusi Melayu/Islam perlu menyemak dan memikirkan semula peranan dan fungsi serta pendekatan komunikasi mereka supaya dapat berkhidmat dan menangani keprihatinan serta isu yang dihadapi masyarakat dengan lebih baik, kata para pengamat.
Berkongsi pandangan dalam podcast NoTapis BHerbual baru-baru ini, Zamil Kanan dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata komunikasi adalah penting dalam membantu masyarakat memahami matlamat dan rancangan jangka panjang.
Penggiat masyarakat, Encik Imran Mohd Taib, pula menekankan bahawa institusi masyarakat perlu mencari cara lebih berkesan dalam pendekatan mereka.
Menurut Encik Imran, meskipun agensi M Kuasa Tiga (M³) telah melakukan banyak usaha baik untuk masyarakat, “hanya sebahagian yang mungkin mendapat manfaat daripada pendekatan M³ dan itu membuat mungkin sebahagian masyarakat umum berasa mereka tidak mendapat tempat dan tidak didengari”.
Beliau menambah bahawa ini terlihat terutama ketika calon parti pembangkang mengutarakan isu itu semasa berkempen dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025, sambil berhujah bahawa mereka akan memainkan peranan dalam menjadi suara masyarakat Melayu/Islam.
M³ terdiri daripada Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra).
“M³ yang sepatutnya menyatukan masyarakat Melayu/Islam… pastinya ada perkara-perkara yang baik dari situ, tetapi secara umumnya, kita juga lihat ia sebenarnya tidak sangat efektif dalam menyatukan masyarakat untuk menggembleng tenaga,” kata Encik Imran, yang juga Pengarah Pengasas, Dialogue Centre Limited.
“Jadi kita harus melihat bagaimana institusi-institusi yang sedia ada itu, termasuk pendekatan yang sedia ada, harus difikirkan semula dan diperkuatkan ataupun diperbaharui.
“Itu tugas yang lebih utama dan ia bukan tentang individu, ia tentang masyarakat,” tambah beliau.
Encik Imran berkata pemimpin masyarakat harus bekerja dengan lebih keras untuk mengambil hati masyarakat, dan menunjukkan sikap bahawa mereka benar-benar mendengar rintihan dan mendengar sudut pandangan berbeza, dan bukan hanya tertumpu pada cara komunikasi “dari atas ke bawah”.
Dalam sidang media Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diadakan pada 4 Mei menyusuli pengumuman keputusan rasmi GE2025, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, telah menyatakan beliau akan melakar pendekatan baru untuk mendekati masyarakat Melayu/Islam dengan lebih baik.
Ini demi mengenal pasti keprihatinan serta isu-isu yang dihadapi supaya tindakan lanjut dapat diambil.
Encik Masagos turut berkata beliau menyedari akan pelbagai keprihatinan yang diutarakan, terutama dalam media sosial, dalam kempen GE2025 dan akan berusaha menangani kebimbangan tersebut.
Berkongsi pandangan, Dr Norshahril berkata dalam mencari penyelesaian, terdapat dua perkara utama yang perlu difikirkan – komunikasi dan kepimpinan.
Sementara banyak dasar dan rancangan telah sedia ada, beliau menarik perhatian mengenai apakah matlamat dan rancangan yang ingin dicapai dalam masa lima hingga 10 tahun mendatang benar-benar sampai kepada masyarakat.
Dalam pada itu, kepimpinan itu sendiri memainkan peranan penting, kata Dr Norshahril.
“Apakah sekadar berjumpa ataupun berbincang dengan pemimpin-pemimpin badan-badan Melayu/Islam (MMO) sahaja itu mencukupi? Apakah yang disebutkan sebagai kepimpinan dalam masyarakat Melayu?
“Sekarang ini dalam situasi di mana ada lebih banyak akses, misalnya, untuk berkomunikasi secara langsung dengan masyarakat, bagaimanakah proses komunikasi dan pendekatan itu boleh diperhalusi dan diperbaiki?
“Jadi ini satu perkara yang perlu difikirkan, bukan hanya dasar-dasar, tetapi cara dan juga naratif yang ingin disampaikan,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg