Parti Pekerja (WP) telah mengetengahkan beberapa calon yang dianggap sebagai ‘star catches’ pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) termasuk rakan kongsi pengurusan di firma guaman Audent Chambers LLC, Encik Harpreet Singh, dan graduan Universiti Harvard, Encik Michael Thng.
Ini menunjukkan parti pembangkang – terutama WP – telah berjaya menarik golongan muda dan karyawan berjaya memasuki arena politik, sekali gus meningkatkan kayu ukur bagi parti pembangkang.
Dalam podcast NoTapis BHerbual pasca-GE, penggiat masyarakat yang juga Pengarah Pengasas, Dialogue Centre Limited, Encik Imran Mohd Taib berkata ini merupakan perubahan dari era 80-an dan 90-an di mana ramai yang khususnya golongan karyawan yang teragak-agak untuk memasuki politik, apatah lagi sebagai anggota parti pembangkang.
“Dalam kalangan muda contohnya agak menarik kerana kita lihat mereka mula menjadi sukarelawan di parti pembangkang yang dilihat sebagai boleh dipercayai seperti Parti Demokratik Singapura (SDP) atau WP.
“Pada masa yang sama kita lihat juga ada persoalan semangat. Jadi parti pembangkang kelihatan boleh menarik anak-anak muda yang memang bersemangat untuk memasuki arena politik dan ini berbeza dengan mereka yang memasuki politik kerana melihatnya sebagai kemajuan kerjaya.
“Saya lihat kematangan politik dan juga kesedaran politik yang semakin meningkat ini sebenarnya bagus bagi Singapura, cuma bagaimana parti-parti dapat menyalurkan semangat itu kepada pertarungan yang baik dan bukan yang merosakkan,” kata Encik Imran.
Namun, beliau menambah mungkin kurang baik jika calon-calon baru yang diperkenalkan parti politik terdiri daripada golongan karyawan sahaja.
“Pada jangka masa yang panjang, rakyat akan terasa ini golongan elit dan mereka agak terpisah dengan realiti kehidupan golongan bawahan.
“Jadi antara perkara yang perlu difikirkan ialah bagaimana calon itu aktif di akar umbi, bergerak dalam kalangan masyarakat bawahan dan bergaul dengan lebih luas, dan bukan hanya seorang profesional yang dapat memikirkan isu-isu besar, tetapi tidak memahami situasi masyarakat bawahan.
“Kalau tidak, masyarakat bawahan akan merasakan sama ada calon parti pembangkang ataupun pemerintah bersifat elitis dan tidak merasakan keperitan yang mereka rasakan dan mereka akan bergerak kepada parti-parti yang dapat memainkan sentimen-sentimen populis. Itu juga saya rasa tidak bagus untuk jangka masa yang panjang,” ujarnya.
Seorang lagi tamu dalam episod podcast tersebut, Zamil Kanan dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata sistem Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) membolehkan keseimbangan dalam latar belakang calon yang diketengahkan.
Kata beliau: “Mungkin ada sesetengah (calon) yang boleh memimpin GRC yang merupakan profesional tetapi... boleh juga memasukkan golongan daripada akar umbi seperti pemimpin akar umbi yang betul-betul berkhidmat di peringkat sosial masyarakat. Ini saya fikir perlu difikirkan oleh semua parti politik.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg