Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengantin ubah suai jadual majlis, beri ruang hadirin pergi undi

May 3, 2025 | 10:35 PM
kahwin, GE2025, Hari Mengundi
Mempelai, Cik Nur Eliqah Mohd Ali, 31 tahun, datang mengundi dengan busana pengantin di Sekolah Rendah Chong Zheng di 1 Tampines Street 21 pada 3 Mei, dan reda majlis perkahwinannya tidak semeriah yang dijangka kerana sebilangan rakan dan saudara-maranya perlu bertugas pada Hari Mengundi sempena Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025). - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Hasrat Cik Nur Eliqah Mohd Ali untuk menyaksikan kehadiran saudara-mara dan sahabat handai sama-sama meraikan majlis perkahwinannya pada 3 Mei tidak seperti yang dibayangkan.

Ini kerana tarikh majlis istimewanya pada 3 Mei jatuh serentak dengan Hari Mengundi bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Lebih 150 rakan dan anggota keluarga daripada 800 tetamu yang diundang, tidak dapat hadir kerana perlu bertugas pada hari penting bagi warganegara Singapura itu.

“Apabila mendapat tahu tarikh Hari Mengundi bertembung dengan hari majlis kahwin saya, memang rasa tertekan,” luah Cik Nur Eliqah, 31 tahun, seorang kakitangan lembaga berkanun, yang enggan mendedahkan jawatannya.

Cik Nur Eliqah mengakui beliau perlu membuat penyesuaian, melakukan pelbagai pertimbangan bagi memastikan majlisnya itu tidak akan menjejas jadual setiap tetamu yang perlu bekerja atau perlu keluar mengundi.

Ini termasuk memberi masa kepada tetamu dan pelbagai penyedia khidmat majlis kahwinnya, agar mereka sempat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

“Saya bukan sahaja perlu fikirkan tentang diri saya sendiri, bahkan juga perlu pastikan tetamu saya sempat keluar mengundi,” tambah beliau.

Namun begitu, beliau tetap bersikap positif.

“Mengundi adalah satu hak rakyat Singapura dan saya rasa penting untuk semua yang hadir diberikan peluang menunaikan tanggungjawab mereka,” ujar beliau yang hadir di Sekolah Rendah Chong Zheng, di 1 Tampines Street 21, untuk mengundi bagi GRC Tampines.

Sementara itu, 3 Mei juga menandakan tarikh istimewa bagi Cik Fatin Nasyitah Putri Mohammed Ridwan, 26 tahun.

Beliau merupakan penduduk GRC Tampines yang mengundi buat kali pertama bagi GE2025.

Lengkap dengan busana nikahnya, beliau mengundi di Blok 497F, Tampines Street 45, seawal 8 pagi.

Majlis pernikahan Cik Fatin diadakan pada 2 Mei, sementara majlis persandingannya pula berlangsung pada 3 Mei di National Service Resort & Country Club (NSRCC).

Menurutnya, segala urutan jadual upacara pada hari itu terpaksa dilambatkan sekurang-kurangnya 30 minit, demi memastikan setiap orang yang terlibat dapat mengundi dahulu.

“Apabila saya dapat tahu Hari Mengundi jatuh pada 3 Mei, saya tidak berapa terkejut, tetapi asyik tertanya apa yang saya harus atur semula?” jelas Cik Fatin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg