Rakyat Singapura keluar mengundi pada 3 Mei untuk memilih kumpulan Anggota Parlimen seterusnya, di tengah-tengah landskap geopolitik dan cabaran ekonomi yang tidak menentu.
Lebih 2.75 juta warga layak mengundi pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), lebih tinggi berbanding sekitar 2.6 juta pada 2020.
Ini merupakan kali pertama Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, memimpin parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk bertanding dalam pilihan raya umum.
Lebih banyak kerusi dipertandingkan kali ini, naik daripada 93 kerusi pada GE2020 kepada 97 kerusi yang akan dipertandingkan di 33 kawasan undi.
Namun lima kerusi telah dimiliki PAP pada Hari Penamaan Calon, apabila pasukannya di GRC Marine Parade-Braddell Heights tidak ditandingi, kali pertama keadaan sedemikian berlaku sejak 2011.
Parti Pekerja (WP), satu-satunya parti pembangkang yang mempunyai Anggota Parlimen (AP) dipilih di Parlimen, akan menandingi 26 kerusi.
Sepanjang kempen sembilan hari yang berakhir pada 1 Mei, Encik Wong dan beberapa pemimpin kanan pemerintah telah menyuarakan harapan PAP untuk mendapatkan mandat kukuh daripada rakyat untuk menyokong usaha negara menghadapi kededua cabaran domestik dan luar negara.
Selaras dengan itu, Encik Wong juga menekankan kehadiran lebih pembangkang dan kehilangan menteri boleh melemahkan pemerintah.
WP pula berkempen dengan hasrat meyakinkan rakyat peri penting menambah jumlah kerusi pembangkang di Parlimen untuk membangunkan Parlimen yang lebih seimbang dan pemerintah yang bertindak secara lebih bertanggungjawab.
Persaingan di beberapa kawasan undi telah menarik perhatian rakyat semasa tempoh berkempen.
Antaranya ialah persaingan empat penjuru di GRC Tampines, di mana WP, Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP) sedang mencabar PAP yang telah menang di kawasan undi itu sejak ia dibentuk pada 1988.
Turut menarik perhatian ialah persaingan yang melibatkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, 62 tahun, yang memimpin pasukan PAP; dan ketua pasukan WP, Encik Faisal Manap, 49 tahun, yang sejak 2011 berkhidmat sebagai AP di GRC Aljunied.
Di GRC Punggol yang baru dibentuk pula, pasukan PAP yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, bersemuka dengan pasukan WP yang diketuai ‘calon bintang’ Encik Harpreet Singh Nehal, seorang peguam.
Kehadiran Encik Gan di kawasan undi itu antara kejutan paling besar yang berlaku pada Hari Penamaan Calon.
Beliau telah dipindahkan ke kawasan itu dari GRC Chua Chu Kang, dengan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, berpindah dari GRC Marine Parade-Braddell Heights untuk mengambil tempatnya.
Pasukan PAP di GRC Punggol itu dianggotai dua lagi penjawat awam, iaitu Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Dr Janil Puthucheary; dan Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling.
Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Yeo Wan Ling, melengkapkan pasukan empat anggota itu.
Pasukan WP pula menampilkan semua muka baru. Selain Encik Harpreet, ia dianggotai Cik Alia Mattar, Cik Alexis Dang dan Encik Jackson Au.
Isu campur tangan asing dalam pilihan raya juga merampas tajuk berita semasa tempoh berkempen.
Akses kepada hantaran Facebook dua pemimpin Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan seorang bekas rakyat Singapura, yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), diarah disekat kerana didapati telah masuk campur dalam GE2025.
Perkembangan itu mendorong Encik Wong mengadakan sidang media, yang mana beliau menolak politik identiti dan menggesa parti-parti untuk turut menolak politik sedemikian.
Beliau juga menggesa pengundi membuat pertimbangan teliti apabila memilih calon yang akan berkhidmat kepada mereka dan keluarga mereka.
“Itulah pilihan utama yang perlu dipertimbangkan rakyat Singapura... ia bukan keputusan yang mudah diambil, tetapi itu ialah hak istimewa anda. Sebagai warga Singapura, anda memutuskan masa depan negara. Itulah demokrasi,” kata Encik Wong lagi.
Menggulung kempen pilihan raya partinya pada 1 Mei, Encik Pritam telah menekankan bahawa WP merupakan pemacu bagi kebaikan, sambil menegaskan bahawa penambahan AP WP tidak akan melemahkan pemerintah kerana mereka tetap akan menyokong undang-undang yang dicadangkan oleh pemerintah jika ia demi kepentingan Singapura.
Pusat mengundi dibuka dari 8 pagi hingga 8 malam pada 3 Mei.
Lima stadium diperuntuk sebagai pusat perhimpunan untuk penyokong PAP, WP dan Parti Demokratik Singapura (SDP), serta rakyat lain yang ingin mengikuti perkembangan perkiraan undi selepas undi ditutup.
Stadium Bedok, Bukit Gombak dan Yio Chu Kang diperuntuk bagi PAP, sementara Stadium Serangoon diperuntuk kepada WP.
Stadium MOE di Evans Road diperuntuk bagi SDP.
Semua pusat perhimpunan dibuka dari 8 malam sehingga 30 minit selepas pengumuman keputusan undi rasmi terakhir.
Pada GE2020, keputusan rasmi terakhir diumumkan sekitar 3.45 pagi, sehari selepas Hari Mengundi bermula.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg